Sunday, September 18, 2011

Zikir nama ‘Guru Yahya’

Kampung Jorak Senawi, Tongkang Pecah menjadi kawasan persembunyian beberapa ahli kumpulan jubah putih yang diburu polis berikutan serangan mereka ke atas Balai Polis Batu Pahat.

AKIBAT ajaran sesat, sekumpulan lelaki berjubah putih bertindak gila dengan menyerang Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980.

Kumpulan itu dikatakan nekad melakukan serangan tersebut kononnya atas nama jihad dengan tujuan menakluk Batu Pahat dan kemudiannya meneruskan penaklukan mereka ke atas kerajaan negara ini.

Ketua kumpulan itu, Ahmad Nasir Ismail yang berasal dari Kemboja dikatakan berjaya mempengaruhi segelintir penduduk tempatan mengikuti ajaran sesat yang dibawanya dengan mengambil kesempatan di atas rasa tidak puas hati beberapa pemimpin kampung.

Antara yang menjadi kemarahan orang kampung adalah ia dikaitkan dengan kegagalan mereka mendapat hak milik tanah, selain imam yang kecewa kerana tidak lagi dilantik memegang jawatan tersebut.

Ahmad Nasir akan merapati golongan pemimpin yang kecewa itu dengan menyatakan rasa simpati dan akhirnya berjaya meresapkan ajaran sesat di kalangan mereka sebelum ia disebarkan pula kepada orang lain.

Mengimbau kembali tragedi ngeri itu, bekas anggota polis yang bertugas di Balai Polis Tongkang Pechah sewaktu kejadian itu berlaku, Ahmad Nasuha, 83, berkata, sebaik sahaja menerima aduan, polis telah menjalankan siasatan tentang kumpulan ajaran sesat yang didakwa itu.

‘‘Penduduk kampung membuat aduan tentang kumpulan itu yang mengamalkan ajaran sesat di puncak Bukit Payung dan merancang untuk menyerang Balai Polis Batu Pahat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, dia juga dimaklumkan bahawa antara ajaran sesat yang dilakukan kumpulan itu adalah membaca zikir dengan menyebut nama ‘Guru Yahya’ berulang-ulang kali dan tidak perlu menunaikan solat Jumaat.

Bagaimanapun jelas Ahmad, usahanya menjejaki kumpulan tersebut dengan turut mendaki Bukit Payung gagal menemui mereka kerana difahamkan kumpulan itu hanya mendaki bukit tersebut pada waktu-waktu tertentu.

‘‘Kumpulan ajaran sesat itu menempah pedang yang digunakan untuk menyerang balai daripada seorang tukang pedang di daerah ini.

‘‘Namun, siasatan mendapati tukang pedang itu tidak bersalah kerana hanya mengambil tempahan tanpa mengetahui niat sebenar kumpulan ajaran sesat itu,” katanya yang ketika kejadian, berpangkat Lans Koperal.

Sementara itu, motif serangan kumpulan tersebut di Pejabat Kadi Batu Pahat dan Mahkamah Syariah setelah mengamuk di balai polis dikatakan berikutan keputusan hakim mengatakan ajaran dibawa kumpulan itu adalah sesat.

Usaha S2 menemui pihak pejabat kadi bukan sahaja dimaklumkan mereka tidak mempunyai rekod tentang kejadian itu, malah pejabat kadi juga telah dipindahkan berdekatan dengan Masjid Jamek Sultan Ismail.

Manakala pejabat asal bangunan itu telah dirobohkan dan didirikan Bangunan Wakaf yang menempatkan kemudahan mesin dialisis.

Seorang saksi kejadian, Suhari Sarjani, 64, berkata, sekumpulan antara empat hingga lima lelaki berjubah putih dengan kesan darah pada pakaian masing-masing telah bertempik ‘Allahu Akbar’ dengan salah seorang daripadanya bergerak menuju ke bilik pejabat hakim mahkamah syariah.

Menurut Suhari, mahkamah syariah ketika itu ‘menumpang’ kawasan bangunan pejabat kadi.

‘‘Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tiada sesiapa pun cedera. Mereka beredar selepas tidak menemui orang yang dicari,” katanya

Suhari yang ketika itu bertugas sebagai pemeriksa zakat mengakui dia langsung tidak menyedari Balai Polis Batu Pahat telah diserang terlebih dahulu dan pada mulanya sekadar menyangka darah yang terlekat pada jubah putih lelaki yang melakukan serangan itu hanya cat berwarna merah.

‘‘Selepas kejadian itu, kami ada berbual dan hakim berkenaan beritahu, setelah selesai berurusan di pejabat pos, beliau sememangnya mahu ke mahkamah tetapi membuat keputusan balik ke rumah untuk mengambil wuduk terlebih dahulu. Jika tidak, tak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Sunday, September 11, 2011

final exam sept 2011

TPT 330 = 19 SEPT 2011
ECO 261 = 20 SEPT 2011
TPT 320 = 28 SEPT 2011
MGT 340 = 30 SEPT 2011
LAW 25I = 1 OCT 2011
MGT 345 = 2 OCT 2011