Wednesday, March 12, 2014

Misi Pencarian Malaysia Airline MH370 diteruskan

Kawasan operasi diperluas

HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama Azharuddin Abdul Rahman (dua, kanan) dan Zulkifeli Mohd. Zin (dua, kiri) pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, Sepang, semalam. Turut hadir Ahmad Jauhari Yahya (kanan) dan Rodzali Daud. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
SEPANG 12 Mac - Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima hari ini diperluaskan sehingga 27,000 batu nautika melibatkan perairan Laut China Selatan (14,440 batu nautika) dan Selat Melaka (12,425 batu nautika).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara keseluruhan untuk operasi hari ini sebanyak 42 kapal dan 39 pesawat telah digunakan untuk mengesan kedudukan pesawat MH370.
Beliau berkata, sebanyak 12 negara turut terbabit dalam operasi tersebut dan yang terbaharu melibatkan penyertaan India, Jepun dan Brunei.
"Operasi ini merupakan operasi yang melibatkan banyak negara dan kita amat berterima kasih dengan segala bantuan yang telah diberikan.
"Kita juga sedang bekerjasama dengan pakar-pakar termasuk daripada Boeing, pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS untuk turut serta menyiasat kejadian tersebut," katanya dalam sidang akhbar di pusat media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefili Mohd. Zin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.
Dalam perkembangan berkaitan Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata, beliau cukup bersimpati terhadap keluarga penumpang serta anak kapal yang sehingga kini nasib mereka masih belum diketahui.
"Saya memberi jaminan yang kerajaan tidak akan mengurangkan tempoh atau mengurangkan segala usaha dalam kita mencari pesawat yang hilang ini.
"Kita akan berusaha sedaya upaya dengan menggunakan segala aset dan keperluan yang ada sehingga pesawat ini ditemui," ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan gerakan mencari dan menyelamat diperluaskan Sabtu lalu, pihaknya setakat ini masih belum menemui pesawat berkenaan termasuk di kawasan baru berdasarkan rekod radar tentera.
"Apabila kita dapati ada kemungkinan pesawat ini dikatakan telah melintasi Selat Melaka, pihak kerajaan terus menghantar kapal-kapal dan pesawat-pesawat untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat," katanya lagi.
Menjawab satu soalan berhubung penemuan mayat di Selat Melaka beliau berkata, perkara itu tidak benar.
Selain itu Hishammuddin turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berhubung kes kehilangan pesawat MH370 daripada pengetahuan umum terutama ahli keluarga.
"Segala maklumat akan disalurkan kepada umum melalui media. Saya sendiri akan berada di sini dalam pukul 5 petang hingga 5.30 petang untuk menyalurkan maklumat terkini kes kehilangan pesawat MAS MH370," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_04/Kawasan-operasi-diperluas#ixzz2vnloolMp
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Mencari MH370: Najib minta bersabar, bertenang dan berdoa

KUALA LUMPUR 12 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia bertenang, bersabar dan berdoa agar pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu dapat ditemui semula.
Menurut Perdana Menteri, pencarian pesawat yang hilang itu tidak hanya memerlukan usaha melalui peralatan dan teknologi canggih tetapi juga pertolongan daripada Allah.
"Tawakal adalah prinsip orang Islam yang beriman, jangan kita tidak berusaha kerana berusaha itu juga adalah perintah Allah.
"Kita telah lakukannya secara besar-besaran, kita telah tambah pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, saya yakin lambat laun kita akan jumpa juga, tetapi persoalannya bila? Sekarang kita kena bersabar, berdoa dan insya-Allah kita akan jumpa," katanya ketika menjadi tetamu khas dalam program televisyen Assalamualaikum terbitan TV Alhijrah di sini hari ini.
Menurut Najib, umat Islam diajar menerima hakikat bahawa Allah menentukan segala-galanya dan perlu menerima qada dan qadar.
Katanya, walaupun Boeing 777 adalah antara pesawat tercanggih dan mempunyai rekod pencapaian yang amat baik, namun ketentuan Allah perlu diterima kerana manusia tetap insan biasa yang lemah dan kerdil.
"Kita perlu menghadapi ujian besar Allah ini dengan penuh ketenangan. Kita mesti berusaha sedaya upaya dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada. Ini yang sedang diusahakan habis-habisan oleh kerajaan," katanya.
Tegas beliau, kerajaan dengan bantuan sembilan buah negara telah bertungkus-lumus menggunakan pelbagai aset dan peralatan canggih dalam usaha mencari pesawat berkenaan.
"Kita kena bersama-sama dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan, bersatu hati dan berdoa, mudah-mudahan, insya-Allah apa yang kita harapkan dapat kesan tidak lama lagi," katanya.
Menurut Najib, beliau juga amat memahami perasaan keluarga penumpang pesawat berkenaan yang kesedihan dan tidak akan berpuas hati selagi tidak mendapat maklumat tepat mengenai nasib orang tersayang.
"Keluarga yang terlibat juga perlu sedar ini satu kejadian yang tak diduga sama sekali dan kita kena faham bahawa segala usaha sedang dilakukan secara bersungguh-sungguh.
"Macam mana pun sebagai orang Islam, kita kena terima hakikat bahawa Allah yang menentukan segala-galanya. Ujian Allah ini ketika kita sedang senang dan mewah pun diuji, ketika kita menghadapi musibah atau bala pun kita diuji," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_02/Mencari-MH370-Najib-minta-bersabar-bertenang-dan-berdoa#ixzz2vnm3mTTz
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Umat Islam diingatkan tidak sebar maklumat salah

KUALA LUMPUR 12 Mac - Para mufti mengingatkan umat Islam supaya tidak menyebarkan maklumat salah yang boleh menimbulkan kesangsian berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 kerana ia satu perbuatan berdosa.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, ketika menerima sesuatu berita, umat Islam diajar supaya menyelidik terlebih dahulu sebelum mempercayai, apatah lagi menyebarkannya.
"Sepatutnya kita berdoa memohon setiap daripada kita dijauhi perkara yang tidak elok, bukan dengan membuat sangkaan macam-macam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad ketika dihubungi pula berkata, perkara yang pada asasnya hanya bersifat khabar angin atau kabur tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya bagi mengelak implikasi buruk sama ada kepada diri sendiri atau pihak lain yang terlibat.
Hassan berkata, dalam situasi kehilangan pesawat MH370, sebarang perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya yang dikongsi secara meluas di media sosial memberi kesan besar kepada keluarga mangsa terlibat.
Menurut beliau, perkara itu adalah sesuatu yang mengecewakan jika dilakukan oleh umat Islam kerana keluarga mangsa sepatutnya diberi sokongan dan semangat yang boleh menenangkan mereka dalam berdepan situasi sukar seperti ketika ini.
"Malangnya, laporan-laporan tidak berasas yang disebarkan itu semakin mendatangkan keresahan kepada keluarga mangsa," katanya.
Sementara itu Mufti Sabah, Bungsu Aziz Jaafar berkata, sekiranya andaian negatif itu memburuk-buruk dan memperlekehkan usaha pihak tertentu, tindakan itu juga merupakan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
"Agama Islam menuntut setiap umatnya supaya saling menjaga perasaan antara satu dengan lain, kita juga dituntut supaya menilai sesuatu berita itu dan jangan terus diambil bulat-bulat dan menyebarkannya.
"Selain itu sudah termaktub dalam al-Quran supaya kita menjauhi prasangka kerana perasaan itu sebahagian daripada dosa," katanya.
Beliau secara peribadi melihat andaian-andaian negatif mengenai kejadian itu yang tersebar secara melampau dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp amat membimbangkan.
"Teknologi yang ada perlu digunakan dengan bijak dan bukannya untuk menyebarkan andaian-andaian tidak sahih. Serahkan kepada pakar untuk merungkai kesulitan yang kita alami ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_05/Umat-Islam-diingatkan-tidak-sebar-maklumat-salah#ixzz2vnmBo8nD
© Utusan Melayu (M) Bhd 


13 negara beri kerjasama intensif

KUALA LUMPUR 12 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lalu melibatkan kerjasama intensif 13 negara termasuk dua negara kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.
Negara lain yang terlibat secara aktif ialah Vietnam, Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Filipina, New Zealand dan Australia yang bersama-sama dengan Malaysia.
Sebanyak 42 kapal laut dan 35 pesawat terlibat dalam operasi mencari secara besar-besaran itu.
Terbaru pada hari kelima operasi, India mengesahkan penyertaannya menerusi kapal-kapal tentera lautnya dari Selat Melaka, Jepun menghantar empat pesawat daripada pasukan pertahanan serta agensi pengawal pantai negara itu serta bantuan aset dari negara jiran, Brunei.
Selain pemantauan satelit daripada AS serta komitmen tinggi 10 satelit daripada China, India juga bersetuju menggerakkan kedudukan satelit tentera lautnya Rukmini atau GSAT-7 untuk mengesan lokasi pesawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Malaysia yang mengetuai operasi itu telah menggerakkan asetnya iaitu 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725 dan dua helikopter Augusta selain 16 kapal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta empat kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pesawat Bombardier CL415.
TLDM antaranya menggerakkan KD Mahawangsa, KD Kasturi, KD Lekiu, KD Pahang, KD Selangor, MV Mega Bakti yang mempunyai keupayaan mengesan objek dalam air sehingga kedalaman 1,000 meter serta pesawat Fennec dan pesawat Super Lynx.
Pembabitan negara luar untuk membantu operasi pencarian MH370 amat dihargai kerajaan Malaysia kerana kawasan lautan luas yang perlu diteliti di Laut China Selatan dan juga Selat Melaka.
Sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Twitter hari ini, beliau telah memanggil untuk taklimat dengan pasukan SAR MH370 dan menekankan bahawa semua pihak akan berusaha bersungguh-sungguh dan bekerjasama secara multinasional.
"Saya bersyukur begitu banyak negara membantu dalam mencari MH370. Sesungguhnya ini adalah operasi multinasional berskala besar," katanya.
Dari segi kecanggihan aset yang terlibat dalam operasi itu, AS antaranya menghantar dua kapal pemusnah iaitu USS Pinckney dan USS Kidd yang dilengkapkan dengan helikopter Sikorsky MH-60R Seahawk yang mempunyai keupayaan pencarian waktu malam serta pesawat P-3C Orion yang merupakan pesawat pemantauan maritim dan pengesan kapal selam.
China pula menghantar kapal pemusnah Haikou, kapal perang friget Mianyang serta dua kapal pengangkutan amfibia yang masing-masing dilengkapkan dengan helikopter di samping tiga kapal daripada Pentadbiran Keselamatan Maritim negara itu.
Australia pula menghantar dua pesawat AP-3C Orion dan New Zealand pula menghantar sebuah pesawat P-3K2 Orion sebagai bantuan untuk mengesan daripada udara.
Taiwan juga tidak ketinggalan menyalurkan bantuan dengan menghantar pesawat pengangkutan C-130, sebuah kapal friget ROCS Tian Dan dan dua kapal agensi pengawal pantai negara itu.
Negara jiran Malaysia iaitu Vietnam, Singapura, Thailand dan Indonesia juga tidak putus-putus memberi bantuan menerusi aset pertahanan udara dan laut negara itu bagi menjejak kehilangan pesawat yang sehingga kini masih menjadi misteri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_06/13-negara-beri-kerjasama-intensif#ixzz2vnmIF6nr
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Jakim selar usaha guna bomoh

KUALA LUMPUR 12 Mac - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar usaha pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam mencari pesawat MH370 yang secara jelas bertentangan dengan Islam.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau bantuan bomoh adalah harus di dalam Islam, namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.
Katanya, Jakim terlebih dahulu mengeluarkan garis panduan perbomohan menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan boleh diakses melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my.
"Tatkala pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dari negara kita dan negara luar yang sudi menghulurkan tangan, kita masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh tiga hari ini.
"Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, tiga pengamal perubatan tradisional menawarkan diri membantu mengesan pesawat MH370.
Mereka ialah Mohd. Rodhi Ahmad, 74, atau dikenali sebagai Tok Janggut Bomoh Tauhid dan rakannya, Zainal Hamid, 54, dikenali sebagai Bomoh Warisan dari Permatang Binjai, Butterworth, Pulau Pinang.
Seorang lagi ialah Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang mendakwa pesawat MH370 yang dilaporkan hilang masih tergantung di atas paras Laut China Selatan berhampiran Vietnam.
Mengulas lanjut, Othman menjelaskan, dalam satu mesyuarat panel kajian akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004, memutuskan rawatan perbomohan Ibrahim adalah bercanggah dengan akidah Islam kerana mengandungi unsur syirik, khurafat serta penipuan.
Jika dilihat dari sudut alat yang digunakan Ibrahim pula, kata beliau, menggambarkan bahawa 'raja bomoh' tersebut menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_07/Jakim-selar-usaha-guna-bomoh#ixzz2vnmOwLoN
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Dr. M selar dakwaan Malaysia tidak bijak tangani krisis

SHAH ALAM 12 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar dakwaan media Barat yang mengkritik bahawa Malaysia lambat bertindak dalam menangani kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Katanya, Malaysia sedang berdepan dengan perkara luar biasa dan tidak pernah dialami oleh negara lain pada masa ini, justeru tindakan mengkritik sewenang-wenang adalah tidak wajar.
"Memang mudah untuk mengkritik kerana (mereka) tidak berdepan dengan situasi seperti ini.
"Ia adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi dan dialami oleh negara lain jadi kita perlu untuk menyelesaikannya dengan teliti," katanya dalam sidang akhbar selepas menjadi tetamu jemputan program Sesi Bual Bicara Bersama Profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Tambah Dr. Mahathir, krisis tersebut bukan sahaja ditangani oleh Malaysia, malah dibantu pelbagai negara termasuklah Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat (AS).
"Jadi, jika mereka kata kita gagal laksanakan dengan baik, maka beberapa negara lain yang terlibat juga sama gagal seperti yang dilemparkan oleh mereka kepada Malaysia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_08/Dr-M-selar-dakwaan-Malaysia-tidak-bijak-tangani-krisis#ixzz2vnmTmCkf
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Ahli keluarga China mahu maklumat sahih


CYBERJAYA 12 Mac - Ahli keluarga penumpang pesawat MH370 dari China mahu pihak Malaysia menyediakan maklumat terkini dan tepat berhubung misteri kehilangan kapal terbang itu sejak Sabtu lalu.
Duta China ke Malaysia, Huang Hui Kang berkata, ahli keluarga berpendapat maklumat yang disebarkan pada masa ini agak kelam-kabut dan mengelirukan.
"Selain itu, ahli keluarga dari China juga berharap pihak media tidak melaporkan berita yang kabur dan tidak jelas sehingga mengelirukan mereka.
"Mengenai isu ini, pihak Kedutaan China telah memberi jaminan untuk menyediakan saluran bagi membekalkan maklumat yang tepat dan terkini kepada ahli keluarga yang berada di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui ahli-ahli keluarga dari China di Hotel Cyberview sini malam ini.
Dalam pada itu, Hui Kang turut menafikan khabar angin bahawa ahli keluarga dari China akan dipindahkan ke tempat lain dalam masa terdekat.
Ditanya mengenai jumlah ahli keluarga dari China yang berada di Malaysia, Hui Kang berkata, jumlah itu tidak dapat dipastikan kerana ia bertambah dari semasa ke semasa.
"Pada masa ini kira-kira 24 ahli keluarga dari China berada di Malaysia," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_09/Ahli-keluarga-China-mahu-maklumat-sahih#ixzz2vnmXaT4t
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Operasi liputi seluruh perairan Laut China Selatan

PASIR PUTEH 12 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) belum jumpa petunjuk baharu walaupun operasi mencari dan menyelamat MH370 telah meliputi hampir keseluruhan perairan Laut China Selatan, sejak lima hari lalu.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Amdan Kurish, operasi dijalankan di seluruh kawasan Daerah Maritim (DM) 9 (Terengganu) dan DM10 (Kelantan), yang membabitkan kira-kira 53,000 kilometer persegi termasuk di utara Selat Melaka.
"Malah dalam tinjauan udara saya ke utara Selat Melaka dan perairan Laut China Selatan hari ini, selain rondaan kapal Maritim Malaysia di sektor ditetapkan, juga tiada menemui sebarang petunjuk.
"Kita juga menjalankan operasi di kawasan berdasarkan beberapa laporan polis yang dibuat orang awam termasuk yang terbaharu di Pulau Kapas, Terengganu, namun hasilnya tetap sama," katanya di sini hari ini.
Mohd. Amdan seterusnya berkata, pihaknya akan memikirkan pendekatan terbaik bagi menjalankan operasi dan tidak akan berputus asa sehingga pesawat berkenaan ditemui.
Beliau juga meminta orang awam yang membuat laporan polis bersikap jujur kerana kesemua maklumat dipandang serius oleh pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, beliau menunggu pengesahan daripada Malaysia Airlines (MAS) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berhubung penemuan satu objek yang dikatakan rakit penyelamat kapal terbang oleh nelayan di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.
"Gambar itu bukan daripada pihak kami, jadi saya tidak dapat mengulas mengenainya. Saya sendiri tidak tengok objek tersebut dan hanya melihatnya menerusi online," katanya.
Menurut Mohd. Amdan, anggota Maritim Malaysia yang bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan penemuan itu tidak sempat mengambil gambar dan melihat lebih jelas peralatan dikaitkan dengan pesawat itu kerana objek tersebut tenggelam secara tiba-tiba.
"Berdasarkan gambar yang tersebar, biar DCA atau MAS yang menilai sama ada peralatan itu milik syarikat mereka. Jika betul milik pesawat MAS, kita akan ke lokasi untuk mencari balik peralatan itu.
"Bukan kita tidak berusaha menyelamatkan peralatan itu sebaliknya anggota yang berkejar ke lokasi tidak mempunyai peralatan menyelam," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_10/Operasi-liputi-seluruh-perairan-Laut-China-Selatan#ixzz2vnmglNeC
© Utusan Melayu (M) Bhd 


MH370 terus jadi topik utama laman sosial

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 terus menjadi topik utama perdebatan dalam media sosial seluruh dunia sejak hampir lima hari lalu.
Rata-rata pengguna internet tanpa mengira kedudukan geografi, agama dan kaum tidak putus mendoakan keselamatan penumpang pesawat dan memberi semangat kepada kaum keluarga mereka.
Dalam laman Twitter, hashtag #PrayForMH370 sentiasa dipenuhi dengan doa dan kata-kata semangat daripada pengguna selain memuat naik gambar-gambar berkaitan.
Dianggarkan, sebanyak 30 tweet dibuat mengenai MH370 dalam satu minit.
Kalangan selebriti antarabangsa juga tidak ketinggalan menyatakan rasa simpati terhadap nasib kesemua 227 penumpang dan 12 kru pesawat tersebut serta kaum keluarga mereka.
Antaranya ialah penyanyi Amerika Syarikat, Mary J. Blige dan legenda bola sepak, Ryan Giggs yang menyarankan peminat mereka untuk mendoakan keselamatan penumpang MH370 dan meminta kaum keluarga penumpang tabah menghadapi ujian tersebut.
Artis tempatan antaranya Tiz Zaqyah, Fazura dan Saiful Apek turut meminta semua pihak tidak sesekali berhenti berharap dan terus mendoakan keselamatan penumpang.
Tiz Zaqyah dalam Twitternya berkata: "Walau apa sekalipun yang berlaku sekarang, jangan berhenti berharap."
Sementara itu, seorang pemilik Twitter dari Manchester, England, Helen Muirhead berkata, ingatan dan doanya kini adalah untuk MH370.
"Semua ingatan dan doa adalah untuk MH370," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_11/MH370-terus-jadi-topik-utama-laman-sosial#ixzz2vnmkMzxh
© Utusan Melayu (M) Bhd 


MH370: Solat hajat berterusan

PENDUDUK Taman Kerayong Makmur berdoa selepas menunaikan solat hajat memohon supaya pesawat MH370 yang hilang ditemukan semula di Surau Taman Kerayong Makmur, Bera, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Mac - Selain operasi menggunakan teknologi canggih, usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu diteruskan dengan pelbagai pihak melakukan solat hajat dan doa bagi memohon petunjuk daripada Allah S.W.T.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan, sebagai rakyat yang beriman dan percaya kepada qada dan qadar perlu memohon doa agar dipermudahkan proses pencarian tersebut.
"Kita hanya mampu berdoa memohon belas ehsan-Nya agar dipermudahkan segala usaha mencari pesawat itu.
"Sebagai tanda keprihatinan veteran UMNO terhadap insiden ini, maka veteran UMNO mengajak diadakan solat hajat secara berkumpulan, secara kecil-kecilan di rumah atau di surau mahupun secara beramai-ramai di masjid," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu di KELANTAN, seramai 2,200 pelajar, guru dan ibu bapa mengadakan solat hajat perdana di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Pasir Puteh.
Pengetua sekolah itu, Harun Shafie berkata, solat hajat tersebut diketuai Imam Tua Masjid Mukim Selising, Zain Arif Hassan.
Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada Program Penyayang Sekolah (PPS) sebagai menyatakan simpati terhadap keluarga mangsa selain menyahut saranan pemimpin negara yang meminta solat hajat dilakukan.
"Seramai 1,500 warga SMK Bukit Jawa akan meneruskan solat hajat sebagaimana hari ini pada setiap pagi selepas ini," katanya.
Selain itu, Suara Ulama Pondok Kelantan (Suara Pondok) mengesyorkan kepada kerajaan supaya mengumpul penghafal al-Quran bersama ulama muktabar di negara ini untuk mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk bagi membantu mengesan kehilangan pesawat MH370.
Ketua Penerangannya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, pihaknya mencadangkan supaya solat hajat, zikir dan doa tersebut diadakan selama tiga atau tujuh hari secara berturut-turut.
"Usaha yang telah dilakukan kerajaan memang terbaik dari segi fizikal, namun solat hajat dan doa ini bagi menambahkan kekuatan serta keupayaan melalui pertolongan Allah," katanya.
Di BERA, kira-kira 70 jemaah Taman Kerayong Makmur menunaikan solat hajat malam tadi bagi memohon diberi petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu yang turut melibatkan seorang penduduk taman tersebut, Khairul Amri Salamat.
Imam kawasan perumahan itu, Ahmad Mazahar Mokhti berkata, mereka sepakat mengadakan solat hajat supaya pesawat berkenaan ditemukan semula.
"Kami memohon kepada Allah jika pesawat ini ada ia dikembalikan dan jika sudah tiada pun dikembalikan penumpang-penumpang di dalam pesawat berkenaan agar dapat diuruskan dengan sempurna," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_12/MH370-Solat-hajat-berterusan#ixzz2vnmoLQeP
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Kerjasama dengan pakar perundangan penerbangan

KUALA LUMPUR 12 Mac - Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) mengumumkan kerjasama dengan pakar perundangan penerbangan antarabangsa untuk membantu Malaysian Airlines (MAS), anak kapal, waris dan pihak yang berkepentingan dalam tragedi penerbangan MH370.
Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya telah mengarahkan agar satu sekretariat misi khas ditubuhkan untuk mengkaji aspek perundangan yang bakal timbul pada tempoh pasca pencarian pesawat itu.
Untuk itu katanya, SukaGuam sedang dalam proses mendapatkan kerjasama daripada peguam terkenal dalam kes penerbangan, Steve Marks yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
"Steve Marks ialah seorang peguam yang berpengalaman mengendalikan kes penerbangan dan pernah memberikan perkhidmatan guaman dalam dua kes membabitkan pesawat penerbangan sebelum ini.
"Setelah meneliti tragedi ini dan berdasarkan perkembangan semasa, SukaGuam mendapati akan ada isu perundangan yang bakal timbul, sama ada MH370 dijumpai atau terus kekal misteri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, antara isu perundangan yang bakal timbul selepas ini adalah tuntutan insurans, hak peribadi penumpang serta anak kapal dan hak setiap waris mereka.
"SukaGuam juga meminta orang ramai tidak menyebarkan cerita peribadi mangsa yang terlibat terutama yang memalukan mereka, apatah lagi jika ia berunsur fitnah dan khabar angin.
"Individu yang terlibat memburukkan keadaan boleh terdedah kepada tindakan undang-undang oleh waris mangsa dan akan dikenakan hukuman yang berat," katanya lagi.
Tambahnya, SukaGuam juga sedang mengkaji beberapa insiden penerbangan yang berlaku sebelum ini membabitkan pesawat American Airlines 331 pada tahun 2010, Silk Air (1997), ValuJet 592 (1996), Arrow Air (1985), Air France 447 (2009), Conviasa Airlines (2010) dan Santa Barbara Arlines (2008) untuk rujukan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_13/Kerjasama-dengan-pakar-perundangan-penerbangan#ixzz2vnmsRcuH
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Henti persenda kehilangan MH370

Mukhriz Mahathir diberi penerangan oleh Suraya Yaacob (kanan) mengenai kualiti produk industri kecil dan sederhana pada Pameran Produk Negeri Kedah di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin
ALOR SETAR 12 Mac - Tindakan beberapa individu termasuk dalam kalangan pemimpin pembangkang yang mempersenda kehilangan pesawat MH370 baru-baru ini mendapat teguran Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau yang baharu sahaja bertemu dengan ahli keluarga mangsa di Putrajaya dua hari lalu turut melahirkan rasa kesal apabila diberitahu mengenai tindakan berkenaan yang disifatkannya sebagai 'sangat teruk'.
"Saya tidak faham rasional mereka berbuat demikian kerana isu ini melibatkan keselamatan nasional. Saya fikir teruk sangat mereka ini sampai buat tuduhan yang langsung tidak berasas dan disebabkan itu, rakyat tidak harus mudah percaya dengan kenyataan sedemikian.
"Terdapat empat daripada penumpang terlibat berasal dari Kedah dan paling menyentuh hati apabila seorang ibu menyatakan bahawa penantian mengenai khabar anaknya ketika ini merupakan satu penyiksaan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Pameran Produk Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob.
Kelmarin, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika berceramah di Tapak Karnival Usahawan di Kajang yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kehilangan pesawat MH370 sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima akal.
Malah beliau turut membuat andaian ada kemungkinan peralatan di negara ini yang sepatutnya canggih dan dibeli pada harga mahal mungkin tidak boleh digunakan, menyebabkan pesawat itu gagal dikesan.
Menceritakan pengalamannya bertemu dengan ahli keluarga mangsa, Mukhriz berkata, ada dalam kalangan mereka yang meluahkan rasa 'sakit' setiap kali berdepan dengan penyebaran berita tidak sahih terutamanya daripada media sosial.
"Paling mendukacitakan apabila mereka mendengar berita yang seolah-olah mendatangkan harapan, tetapi akhirnya disahkan berita itu tidak benar. Jadi buat masa ini, mereka sudah membutakan mata dan memekakkan telinga daripada menerima berita-berita sedemikian.
"Sebab itu, sebelum ini saya pesan kepada pengguna media sosial agar lebih bersimpati dan mempunyai sensitiviti dalam menghebahkan maklumat tidak sahih. Kalau kita juga terasa, anda fikirkan mereka bagaimana?" katanya.
Diminta mengulas mengenai pertembungan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, beliau secara peribadi memberitahu, perkara itu tidak seharusnya menjadi tumpuan utama ketika ini memandangkan isu kehilangan pesawat merupakan sesuatu yang jauh lebih penting.
"Saya tidak rasa boleh memberi tumpuan sangat kerana alasan diadakan PRK itu sesuatu yang tidak boleh diterima. Bukannya kerana ada kematian pun sebaliknya hanya semata-mata disebabkan permainan politik pihak tertentu.
"Bagi pengundi Kajang, mereka perlu lihat bagaimana pembangkang sanggup mempermainkan hak rakyat memilih wakil rakyat bagi menyelesaikan masalah dalaman parti sedangkan banyak lagi perkara lebih penting untuk diselesaikan. Itu perlu dipertimbangkan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_16/Henti-persenda-kehilangan-MH370#ixzz2vnmwMKhd
© Utusan Melayu (M) Bhd 


'Simptom takut tegur juruterbang' dedahkan risiko kemalangan

KUALA LUMPUR 12 Mac - Pakar perubatan penerbangan tidak menolak kewujudan simptom 'takut menegur juruterbang' oleh segelintir pembantu juruterbang pesawat komersial di rantau Asia sehingga mendedahkan penerbangan terhadap risiko kemalangan.
Sumber perubatan penerbangan tentera menjelaskan, jurang hubungan tersebut mengakibatkan pembantu juruterbang tidak berani melaporkan sebarang perkembangan pada sistem dan rekod pesawat ketika penerbangan.
Katanya, hubungan tidak rapat itu memandangkan juruterbang dilihat sebagai figura yang sangat agung atau 'superior' dalam kalangan krew penerbangan sehingga menghalang proses integrasi atau kerjasama dalam pesawat.
Meskipun kursus integrasi termasuk pengurusan sumber kokpit atau cockpit resource management dilaksanakan, kata beliau, perkara berkenaan masih boleh wujud dalam segelintir syarikat penerbangan komersial di rantau ini.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, konflik itu tidak berlaku pada pesawat ketenteraan kerana meskipun organisasi tentera bercorak regimental, juruterbang dan pembantu juruterbang tetap mempunyai hubungan rapat memandangkan mereka daripada skuadron yang sama.
"Bagi penerbangan komersial, kebarangkalian juruterbang dan pembantu juruterbang bekerjasama dalam satu pesawat adalah rendah, semua berdasarkan jadual semasa, jadi mereka akan bertemu dengan orang yang lain setiap masa, ini akan menimbulkan kejanggalan dalam psikologi mereka.
"Apa yang pasti, integrasi antara kedua-dua juruterbang dan pembantunya adalah penting, hubungan itu perlu dipertingkatkan bagi menjamin operasi terbaik terhadap penerbangan satu-satu pesawat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, meskipun kesemua krew pesawat menjalani latihan atau kursus termasuk pengurusan sumber krew (CRM) sebelum menjalankan tugas, psikologi mereka tetap terdedah dengan perasaan panik dan kekeliruan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Katanya, hanya mereka yang mempunyai pengalaman sebenar dalam mengurus kejadian tersebut dapat menyerap segala tekanan dan berfikir secara betul.
"Oleh itu, pelaksanaan kursus perlu dimantapkan terutama membawa mereka yang berpengalaman dalam kejadian pesawat memberi gambaran kepada krew penerbangan. Dalam masa sama, perlu dipastikan integrasi antara krew dan juruterbang dipertingkatkan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_17/Simptom-takut-tegur-juruterbang-dedahkan-risiko-kemalangan#ixzz2vnn0rPCG
© Utusan Melayu (M) Bhd 


MAS berikan bantuan kewangan sama rata

SEPANG 12 Mac - Semua ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 yang masih hilang sejak Sabtu lalu akan diberikan bantuan kewangan sama rata untuk perbelanjaan keperluan harian.
Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataan berkata, bantuan tersebut turut diberikan kepada semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal dari Malaysia.
"Jumlah sama rata akan diberikan kepada semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu termasuk dari negara lain untuk keperluan asas mereka.
"Kami berkongsi kesedihan serta simpati yang sama dengan keluarga penumpang pesawat MH370 dan akan melakukan apa saja untuk mengurangkan beban ditanggung mereka," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Semalam, Naib Presiden Kanan MAS Rantau China, Joshua Law Kok Hwa mengumumkan syarikat penerbangan itu akan menyediakan bantuan kewangan permulaan berjumlah 31,000 Yuan (RM16,577) kepada keluarga penumpang pesawat itu dari China bagi keperluan asas.
Menurut kenyataan itu, keutamaan syarikat itu sekarang adalah bagi memastikan kebajikan semua keluarga penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200 itu terjaga.
Kata kenyataan itu, antaranya dengan memberikan maklumat dari semasa ke semasa, membiayai perjalanan, penginapan, makanan, perubatan dan bantuan sokongan emosi dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh MAS.
"Pihak MAS telah mengatur pasukan yang akan menjaga ahli keluarga ini, mereka terdiri daripada kakitangan kami dan Mercy Malaysia serta Yayasan Tzu Chi. Mereka diletakkan di lima lokasi berbeza di Beijing dan empat tempat di Kuala Lumpur.
"Hingga kini, seramai 115 ahli keluarga penumpang pesawat itu berada di Kuala Lumpur dan dijaga oleh 72 kakitangan berbeza,'' kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan berkenaan, sekurang-kurangnya seorang kakitangan diberi tugas mengendalikan setiap keluarga termasuk bantuan penterjemah bahasa Mandarin kepada ahli keluarga dari China.
Mengulas lanjut, kata MAS, tugas pasukan tersebut dari semasa ke semasa akan mengemaskini maklumat operasi mencari dan menyelamat termasuk bantuan sokongan emosi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_18/MAS-berikan-bantuan-kewangan-sama-rata#ixzz2vnn4FErU
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Monday, March 10, 2014

Misteri kehilangan Malaysia Airline MH370 belum terungkai sampaike hari ini.

Laman web beri penghormatan kepada Zaharie

KUALA LUMPUR 10 Mac - Sebuah laman web tentang juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, telah diwujudkan sebagai tanda penghormatan dan untuk menjawab segala tohmahan terhadap beliau.
Laman tersebut menyiarkan maklumat dan penerangan kepada orang ramai untuk mengenali beliau dengan lebih baik sekali gus mengelakkan daripada berlaku sebarang pembunuhan karakter.
Bertajuk TRIBUTE: Who exactly is Malaysia Airlines Captain Zaharie Shah of MH370? (Siapa sebenarnya Kapten MH370 Malaysia Airlines Zaharie Shah?), laman web itu menulis bahawa Zaharie merupakan seorang juruterbang MH370 yang berani dan mereka amat mengetahui betapa minatnya beliau terhadap penerbangan.
Laman penghormatan tersebut turut menegaskan bahawa Zaharie merupakan seorang juruterbang yang boleh dipercayai dengan lebih 18,000 jam pengalaman penerbangan.
"Sebarang kemungkinan bahawa kehilangan pesawat tersebut disebabkan kesilapan juruterbang adalah tidak benar dan bukan punca kehilangan tersebut," kata laman web tersebut.
Gambar yang disiarkan pada laman web tersebut termasuk gambar kehidupan hariannya, koleksi permainan helikopter, sistem simulasi penerbangan Boeing 777 di rumahnya.
Selain minat yang mendalam terhadap penerbangan, sebuah video YouTube yang dimuat naik Zaharie berhubung tips yang berguna untuk memperbaiki peralatan di rumah telah dipaparkan.
Zaharie juga digambarkan sebagai seorang tukang masak amatur tetapi kreatif dengan hidangan yang berbeza setiap kali memasak antaranya bihun, udang mentega, kari ikan dan cendawan brokoli dan sambal tauhu.
Sebanyak 355 komen telah diposkan oleh pembaca pada laman web tersebut dengan yang pertama dibuat 12 jam selepas pesawat berkenaan bertolak ke Beijing, China, kelmarin.
Majoriti pengguna internet menyatakan kesedihan dan terkejut dengan kehilangan pesawat tersebut antaranya adalah: "Apa pun dia adalah seorang lelaki yang berani, dan dia adalah seorang juruterbang yang mengutamakan nyawa penumpangnya."
Satu lagi komen dari pembaca menyatakan: "Tolong jangan membuat sebarang andaian melainkan kita semua dimaklumkan mengenai keadaan sebenar. Rest in peace digunakan hanya jika kita yakin bahawa kapal terbang terhempas. Sekarang mari kita hanya berdoa mereka selamat".


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_18/Laman-web-beri-penghormatan-kepada-Zaharie#ixzz2vcnw09r8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Misteri belum terungkai, kawasan cari dan menyelamat terus diperluas


Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaminkan doa sebelum memulakan operasi mencari pesawat MAS MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan, di Pangkalan Maritim Tok Bali, Kelantan, semalam. - BERNAMA
SEPANG 10 Mac - Usaha mengesan pesawat MH370 hari ini diperluaskan sehingga 100 batu nautika (185.2 kilometer) dari lokasi terakhir pesawat dikesan oleh radar atau dikenali sebagai IGARI.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, operasi mencari dan menyelamat di Selat Melaka juga diperluaskan, termasuk menjangkau kawasan utara Sumatera.
Beliau berkata, setiap aset di udara dan laut telah ditugaskan dengan kawasan dan blok tertentu bagi memudahkan usaha cari dan menyelamat di kawasan yang semakin besar.
"Kita kembangkan kawasan carian selepas usaha mengesan dan mencari yang telah diadakan selama ini gagal menampakkan sebarang petanda.
"Usaha mencari dan menyelamat ini turut mengambil kira kemungkinan pesawat ini berpatah balik, selain laluan-laluan yang mungkin diambil," katanya dalam sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini malam ini.
Dalam pada itu, Azharuddin berkata, usaha mencari yang dijalankan sejak Sabtu lalu masih dikategorikan sebagai misi mengesan pesawat yang hilang.
Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang itu terus buntu dan belum menemui sebarang petanda penting.
Lebih mengecewakan, semua petunjuk awal mengenai kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu gagal dibukti atau tidak dapat disahkan.
Pasukan mencari dan penyelamat umpamanya telah dikerahkan ke satu kawasan perairan sekitar Pulau Tho Chu, Vietnam selepas menerima laporan penemuan objek mirip bot keselamatan di situ, tetapi tiada penemuan dilaporkan setakat malam ini.
Laporan mengenai penemuan serpihan pintu pesawat di sekitar Pulau Tho Chu juga disahkan sebagai seikat kayu yang kelihatan seperti pontun.
Dalam pada itu, kapal turut dihantar untuk menyiasat serpihan di timur perairan Ho Chi Minh, Vietnam dan selatan Hong Kong, tetapi hasilnya belum diketahui.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, pihaknya setakat ini, hanya melakukan uji kaji ke atas satu sampel minyak tetapi disahkan tidak mempunyai kaitan dengan pesawat Boeing.
Beliau berkata, walaupun tompok dan kesan minyak dijumpai di banyak tempat tetapi ia merupakan bahan yang tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.
"Banyak kesan minyak tidak berkaitan ditemui kerana terdapat bengkel kapal, selain kemudahan minyak dan gas di kawasan berhampiran.
"Kita turut mengesahkan bahawa objek yang dicurigai sebagai jaket keselamatan sebelum ini hanya merupakan kanvas berwarna oren," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_19/Misteri-belum-terungkai-kawasan-cari-dan-menyelamat-terus-diperluas#ixzz2vco1BLtk
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Masjid disaran lakukan solat hajat


Imam, Saidi Yusoff mengetuai solat hajat pelajar dan kakitangan Politeknik Kota Bharu membacakan doa bagi memohon keselamatan penumpang pesawat MH370 di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 10 Mac - Masjid-masjid di seluruh negara disaran melakukan solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Beijing Sabtu lalu.
Solat hajat tersebut perlu dilakukan sebagai tanda prihatin serta memohon mempermudahkan usaha pencarian pesawat itu.
Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, semua pihak sedang bersedih dengan kejadian yang berlaku dan beliau berharap umat Islam bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk penumpang pesawat tersebut.
"Selain pihak masjid, ada juga pihak lain seperti pelajar universiti, sekolah, madrasah serta lain-lain lagi yang turut mengadakan solat hajat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, di KUANTAN, kira-kira 600 masjid di negeri ini telah diarahkan menunaikan solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang pesawat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri mengarahkan beliau memaklumkan perkara itu kepada setiap masjid di negeri ini.
"Apa yang berlaku itu bukan kehendak kita, jadi kita perlu sama-sama berdoa memohon kepada Allah supaya tidak terjadi perkara yang tidak diingini.
"Kita seharusnya bersabar dan jangan membuat spekulasi, marilah kita berdoa supaya pesawat itu dijumpai dan keselamatan penumpang yang menaikinya terpelihara," katanya.
Sementara itu, di KOTA BHARU, Jabatan Pengajian Politeknik mengarahkan kira-kira 100,000 warga politeknik di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan kesemua krew dan penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang Sabtu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohlis Jaafar berkata, solat hajat tersebut akan diadakan sehingga pesawat berkenaan ditemui.
Beliau berkata, tindakan itu merupakan ikhtiar dan bentuk sokongan warga politeknik kepada keluarga mangsa terlibat dan gerakan mencari serta menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Kita turut bersedih dengan musibah ini dan mahu bersama-sama mendoakan supaya segalanya dipermudahkan dan semoga penumpang serta anak kapal semua selamat.
"Saya difahamkan Politeknik Kota Bharu (PKB) telah mengadakan solat hajat sebanyak tiga kali bermula semalam dan akan diteruskan sehingga pesawat tersebut ditemui," katanya.
Di IPOH pula, 200 warga Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini mengadakan majlis bacaan surah Yasin dan solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang pesawat berkenaan.
Solat hajat yang diadakan di Pusat Islam PUO itu diimamkan oleh Pensyarah Unit Agama PUO, Mohd. Riffin Mohd.
Penyelaras Program, Mohd. Fadil Abdullah berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Siswa-siswi politeknik itu bagi memohon dipermudahkan usaha mengesan pesawat berkenaan.
"Ini adalah antara ikhtiar yang mampu dilakukan oleh warga PUO dalam sama-sama membantu menyelesaikan kebuntuan mengenai kehilangan pesawat itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_17/Masjid-disaran-lakukan-solat-hajat#ixzz2vco6OI7l
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Keluarga harap Puspanathan pulang dengan selamat

PUTRAJAYA 10 Mac - Walaupun sudah masuk hari ketiga pesawat MH370 hilang, ahli keluarga salah seorang penumpang, S. Puspanathan, 34, masih menaruh harapan agar lelaki itu pulang dengan selamat.
Sepupunya, S. Pusvaneswary, 36, berkata, Puspanathan merupakan seorang jurutera teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta dan menaiki pesawat itu untuk ke Beijing, China atas urusan kerja.
"Biarpun sehingga kini tiada khabar mengenai pesawat tersebut, kami sekeluarga sentiasa positif dan yakin dia akan pulang.
"Kami berharap Puspanathan cepat balik sebab dia adalah harapan keluarga dalam apa jua perkara," katanya ketika ditemui selepas melawat isteri Puspanathan, Seri Devi, 28 di Hotel Everly, di sini hari ini.
Puspanathan merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarganya dan mempunyai dua orang anak lelaki berusia tiga tahun dan setahun.
Mengulas perwatakan sepupu lelakinya itu, Pusvaneswary berkata, Puspanathan seorang yang ceria dan suka berjenaka selain mengambil berat hal ehwal keluarga.
"Dia ibarat adik kandung saya, kami merindui dia lebih-lebih lagi anak sulungnya yang sangat rapat dengannya.
"Puspanathan juga telah berjanji untuk mengadakan sambutan hari lahir adiknya setelah kembali dari Beijing nanti," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_15/Keluarga-harap-Puspanathan-pulang-dengan-selamat#ixzz2vcoAsy1r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sistem keselamatan KLIA patuhi piawaian antarabangsa

SEPANG 10 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai sistem kawalan keselamatan yang selari dengan piawaian antarabangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, KLIA perlu mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh DCA serta Organisasi Penerbangan Awam (ICAO) dan perkara itu diaudit dari semasa ke semasa.
"Selain disemak dan diaudit oleh DCA, sistem keselamatan KLIA turut diaudit oleh pentadbir keselamatan pengangkutan dari Amerika Syarikat dan pihak keselamatan dari Australia baru-baru ini," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azharuddin menegaskan sekali lagi, bagasi milik lima penumpang yang tidak menaiki pesawat MH370 pada saat-saat akhir telah dikeluarkan sebelum kapal terbang milik Malaysia Airlines (MAS) itu berlepas ke Beijing, China.
"Setiap bagasi mempunyai nombor siri yang unik untuk setiap penumpang. Berdasarkan nombor ini, semua bagasi milik lima penumpang yang tidak menaiki pesawat MH370 telah dikeluarkan.
"Ini bermakna semua bagasi di atas pesawat MH370 mempunyai pemiliknya," katanya.
Dalam pada itu, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tahap keselamatan di KLIA tidak diperketatkan kerana kerajaan belum menganggap kehilangan pesawat MH370 sebagai ancaman keselamatan daripada mana-mana pihak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_14/Sistem-keselamatan-KLIA-patuhi-piawaian-antarabangsa#ixzz2vcoFUfRZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Spekulasi RBA keruhkan lagi keadaan

KUALA LUMPUR 10 Mac - Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menyifatkan Red Bean Army (RBA) hanya mengeruhkan lagi keadaan apabila menyebarkan pelbagai spekulasi berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Berikut adalah kenyataan penuh Anuar:
l RBA perlu sensitif serta menghormati perasaan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370. Tidak perlulah mereka mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi yang mengeruhkan lagi keadaan. Tindakan mereka itu ibarat 'memerah limau ke atas luka' yang sedia ada dan tidak langsung membawa kebaikan terhadap semua pihak.
l Sewajarnya kita semua mengetepikan fahaman politik dan menyokong usaha pihak berkuasa mencari penyelesaian terhadap masalah ini. Saya percaya pihak berkuasa menyediakan tindakan terbaik dalam tugasan mereka. Saya juga menasihatkan pihak RBA agar jangan sesekali mendahului kenyataan pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan.
l Adalah lebih baik RBA mengeluarkan kenyataan yang memberi semangat serta perangsang kepada keluarga penumpang serta pihak berkuasa yang menyertai operasi mencari dan menyelamat. Tindakan sebegini tentunya lebih memberi manfaat daripada tindakan mereka yang sentiasa menyalahkan pihak berkuasa yang bertungkus-lumus dalam tugasan mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_13/Spekulasi-RBA-keruhkan-lagi-keadaan#ixzz2vcoKIbc1
© Utusan Melayu (M) Bhd 



20,000 nelayan bantu operasi

PUTRAJAYA 10 Mac - Sebanyak 20,000 nelayan laut dalam di seluruh negara telah digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,788 bot nelayan kelas C dan C2 akan terlibat dalam operasi tersebut yang tertumpu di perairan Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, para nelayan boleh membantu dengan menghubungi pihak berkuasa sekiranya mereka menjumpai sebarang objek di lautan semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut dengan jarak 12 hingga 30 batu nautika.
"Kementerian telah mengarahkan golongan tersebut membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, kita fikir mereka mempunyai kepakaran tersendiri dalam aktiviti di laut kerana di situ adalah kawasan mereka mencari rezeki.
"Arahan ini adalah susulan permintaan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu golongan nelayan turut membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat keluarga penumpang pesawat berkenaan di Hotel Everly, di sini hari ini.
Sempena lawatan itu, beliau turut mengagihkan makanan serta minuman kepada keluarga penumpang pesawat MH370 dan petugas media.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_12/20000-nelayan-bantu-operasi#ixzz2vcoQpu6T
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Bukan hanya Segi Tiga Bermuda

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kawasan Segi Tiga Bermuda seringkali dikaitkan sebagai kawasan misteri berikutan ratusan kapal laut dan kapal terbang dilaporkan hilang di kawasan yang menjangkau keluasan sehingga 1.2 kilometer persegi.
Antara kes-kes kehilangan kapal dan pesawat yang dilaporkan adalah kapal USS Cyclops (1918), kapal Carroll A. Deering (1921), skuadron pesawat pengebom Flight 19 (1945), pesawat British South American Airways (BSAA) Star Tiger (1948) dan pesawat BSAA Star Ariel (1949).
Kawasan yang dibentuk tiga lokasi iaitu Bermuda, Puerto Rico dan unjuran paling selatan Florida itu disifatkan sebagai 'Segi Tiga Syaitan' namun Jabatan Kawalan Perairan Amerika Syarikat (AS) sendiri tidak bersetuju dengan 'kuasa misteri' menjadi punca nahas-nahas yang berlaku.
Pemerhatian yang lebih teliti akan mendapati jumlah kes kapal dan pesawat yang hilang berdekatan kawasan tersebut tidak ada bezanya dengan jumlah kes yang berlaku di laluan utama pengangkutan laut dan udara di seluruh dunia.
Lebih-lebih lagi kawasan itu merupakan laluan trafik utama bagi kapal-kapal komersial dan peribadi dari seluruh dunia untuk menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Amerika Syarikat, Eropah dan kepulauan Caribbean.
Hakikatnya, masyarakat lebih mudah mempercayai kepada pelbagai teori konspirasi daripada kristal aktif yang dikatakan tapak bandar Atlantis yang tenggelam di dasar laut, penculikan oleh makhluk asing ataupun kawasan itu menjadi tempat tinggal Dajjal yang akan muncul pada era dunia kiamat.
Teori-teori popular yang gemar ditimbulkan oleh peminat-peminat sains pula adalah kejanggalan medan magnetik, perubahan dimensi waktu serta pelepasan gas metana dari dasar laut.
Mitos mengenai Segi Tiga Bermuda bermula daripada penjelajah tersohor, Christopher Colombus yang merekodkan pelbagai kejadian aneh disaksikannya di kawasan itu dalam log kapalnya bertarikh 8 Oktober 1492.
Antara catatan Colombus adalah kompasnya tidak berfungsi seperti biasa, anak-anak kapalnya menyaksikan 'cahaya yang menari-nari' di horizon dan Colombus juga menulis tentang bebola cahaya yang jatuh dari langit.
Mitos mengenai Segi Tiga Bermuda mencapai kemuncaknya pada 1950-an apabila artikel ditulis oleh Edward Van Winkle Jones diterbitkan oleh Associated Press. Jones antaranya melaporkan kehilangan tanpa jejak lima pesawat pengebom Flight 19 pada 5 Disember 1945 dan kehilangan pesawat komersial Star Tiger dan Star Ariel pada dekad yang sama.
Dalam artikelnya itu, Jones menyatakan 135 individu telah hilang di Segi Tiga Bermuda yang mana beliau menyifatkannya sebagai 'Ditelan tanpa sebarang kesan'.
Perkembangan sains dalam bidang navigasi dan telekomunikasi telah memungkinkan nahas-nahas pada kurun yang lalu berjaya diatasi dan penjelasan lebih logik mengenai nahas dapat diperoleh seperti faktor cuaca (ribut petir, taufan, tsunami, gempa bumi), kegiatan lanun, kecelaruan navigasi dan sebagainya.
Faktor utama yang menjadi penyumbang kepada kehilangan kapal di Segi Tiga Bermuda adalah arus laut dipanggil gulf stream (aliran teluk) yang berlaku begitu pantas dan bergelora sehingga begitu cepat memadam kesan-kesan bencana.
Arus yang sukar dijangka itu juga berlaku kerana topografi kawasan dasar laut tersebut merangkumi jurang yang dalam.
Sebelum adanya teknologi seperti telegraf, radio dan radar, pelaut tidak akan mengetahui kehadiran ribut dan taufan sehingga ia muncul di hadapan mata.
Misteri kepada nahas yang akhirnya berpunca daripada faktor cuaca ataupun kelemahan navigasi tidak hanya berlaku di Segi Tiga Bermuda namun boleh terjadi di mana-mana lokasi di dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_11/Bukan-hanya-Segi-Tiga-Bermuda#ixzz2vcoWMcwU
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Dr. M temui keluarga mangsa


Dr. Mahathir Mohamad, Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Mukhriz Mahathir (duduk, dua kiri) menziarahi ahli keluarga penumpang MH370 yang hilang sejak pada 8 Mac di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 10 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini bertemu dengan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini ditempatkan di The Everly Hotel di sini.
Pertemuan kira-kira sejam itu turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Datin Seri Norzieta Zakaria.
Ketika ditemui pemberita, Dr. Mahathir berkata, beliau berharap tiada yang menunding jari kepada pihak yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
"Perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah," kata beliau dan enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau bertemu dengan empat keluarga mangsa yang berasal dari Kedah dan menyampaikan rasa simpati serta sokongan moral kepada mereka.
"Saya dapat bayangkan betapa sukarnya... mereka meluahkan perasaan bahawa amat sukar menunggu begitu lama tetapi maklumat yang diperoleh cuma sedikit.
Mereka juga menyatakan tidak mahu menerima maklumat palsu yang membuahkan harapan namun akhirnya kecewa setelah harapan itu tidak menjadi kenyataan.
"Harap-harap mereka yang menggunakan media sosial lebih sensitif dalam perkara ini," katanya.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat dan sepatutnya dijadual tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_10/Dr-M-temui-keluarga-mangsa#ixzz2vcobGFhb
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tompok minyak bukan milik MH370

PASIR PUTEH 10 Mac - Tompokan minyak yang ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 36 kilometer dari lokasi pesawat MH370 dilaporkan hilang semalam, disahkan bukan daripada pesawat tersebut.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Datuk Nasir Adam berkata, perkara itu disahkan selepas keputusan analisis tompokan minyak berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia di Petaling Jaya pada pukul 5 petang ini.
"Keputusan analisis itu adalah negatif iaitu bukan daripada pesawat MH370.
"Sampel itu dikategori sebagai bahan bakar untuk kegunaan tongkang atau kapal laut dan bukannya pesawat udara," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Maritim Malaysia Tok Bali, di sini hari ini.
Semalam, Maritim Malaysia dilaporkan menemukan beberapa tompokan minyak semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat di perairan Laut China Selatan.
Tompokan tersebut dikesan kira-kira pukul 11 pagi selepas agensi berkenaan memulakan operasi selama lima jam.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasir memberitahu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan Maritim Malaysia hari ini meliputi kawasan seluas 2,700 kilometer persegi dengan tumpuan diberi kepada lokasi penemuan tompok minyak serta selatan perairan Besut.
"Operasi hari ini turut melibatkan pesawat CL415 jenis Bombardier yang terbang di ketinggian 1,200 kaki selama kira-kira lima jam bermula pukul 10.45 pagi ini. Bagaimanapun sehingga petang, tiada petunjuk baharu ditemui," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_09/Tompok-minyak-bukan-milik-MH370#ixzz2vcoejxti
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Pakar 'bingung' pesawat hilang


Kapal Penyelamat Kawalan Pantai China (kanan) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan rondaan di kawasan yang dipercayai MH370 hilang dari radar di perairan Laut China Selatan, semalam. - Gambar Ihsan Unit Perhubungan Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR 10 Mac - Rata-rata pakar dan penganalisis penerbangan melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu.
Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya ini selama puluhan tahun.
Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Pertanian Malaysia itu berkata, beliau sedaya upaya mengkaji segala macam kemungkinan yang mungkin terjadi kepada pesawat tersebut namun 'buntu' walaupun sudah masuk hari ketiga.
"Kita tahu dan sedia maklum dengan bencana alam dan tragedi akan berlaku dalam mana-mana lapangan. Namun, ini merupakan kejadian pertama yang mempunyai seribu persoalan.
"Saya sendiri tidak pasti apa lagi yang boleh saya komen. Industri penerbangan masih terkejut dan bingung memikirkan segala kemungkinan yang telah terjadi dengan pesawat MH370," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Industri penerbangan Malaysia semalam dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi.
Sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Jelas beliau, adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam insiden berkenaan, kapal terbang dan menara kawalan tidak berkomunikasi seperti kebiasaan.
"Menara kawalan tidak menerima apa-apa isyarat, tiada bangkai atau serpihan andai terhempas, tiada isyarat kecemasan. Mungkin juga juruterbang patah balik mengikut gerak hati. Sukar untuk membuat sebarang andaian ketika ini. Semuanya nampak seperti mimpi dan mustahil untuk ditafsirkan.
"Mungkin berlaku perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan sehingga menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya.
Tambahnya, beliau dimaklumkan pesawat MH370 sudah diselenggarakan dua minggu lepas dan sekiranya terdapat kerosakan sekalipun, masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan.
Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut.
"Ini hanyalah salah satu andaian, mungkin pesawat terhempas dan hanyut ke arah Teluk Thailand, atau ke perairan Malaysia.
"Walau bagaimanapun, semua andaian ini hanyalah kemungkinan yang berlaku kepada pesawat tersebut. Kejadian ini masih kekal misteri dan sukar dijawab," ujarnya.
Sementara itu, seorang juruterbang veteran yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan mendakwa, dalam tempoh kurang dari 24 jam ini, kemungkinan 'misteri' kehilangan pesawat MH370 akan mendapat petanda penting.
"Saya rasa kita akan dapat dapat sedikit petunjuk dalam tempoh kurang dari 24 jam ini. Kita perlu banyak berdoa dan yakin dengan usaha yang sedang dilakukan oleh semua pihak.
"Tidak mungkin pesawat itu hilang daripada radar begitu sahaja, risiko tersebut sangatlah rendah" katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_08/Pakar-bingung-pesawat-hilang#ixzz2vcojOrXD
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tiada bukti kukuh kaitan Chinese Martyrs Brigade

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan kehilangan pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan kumpulan Chinese Martyrs Brigade.
"Namun demikian, kita tidak akan melepaskan semua maklumat yang ada," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di Putrajaya dekat sini hari ini.
Kumpulan tidak dikenali itu sebelum ini dilaporkan menghantar kenyataan kepada media China mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat tersebut.
Pelbagai pihak bagaimanapun meragui penglibatan kumpulan itu dalam insiden kehilangan pesawat MH370.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua penumpang pesawat tersebut yang menggunakan pasport palsu merupakan warganegara asing tetapi bukan berasal dari wilayah Xinjiang, China.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, salah seorang daripada mereka telah dikenal pasti identitinya dan tidak pernah memasuki negara ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang telah dikenal pasti itu.
"Kita sedang menyiasat transit negara kemasukan mereka sebelum ke negara ini kerana kedua-duanya tiada dalam rekod Jabatan Imigresen.
"Polis juga telah melihat rakaman video dan mengenalpasti melalui gambar namun mereka bukan etnik Uyghur dari Xinjiang seperti yang dihebahkan.
"Selain itu, polis antarabangsa (Interpol) yang turut sama membantu akan memaklumkan kepada kita jika dua individu tersebut dalam senarai pangkalan data pengganas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang bersama 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar Kawalan Trafik Udara Subang, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam.
Khalid berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan Chinese Martyrs Brigade yang mengaku bertanggungjawab atas kehilangan pesawat seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita dari China.
"Kita akan menjalankan siasatan dari semua aspek dan buat masa ini belum dapat mengesahkan pembabitan pengganas dalam insiden ini.
"Polis juga perlu melihat rekod mereka yang kehilangan pasport dan setakat ini terdapat lebih 40.2 juta orang dilaporkan kehilangan pasport di seluruh dunia," ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalid mengalu-alukan penglibatan pihak luar atau badan-badan risikan mahupun penguat kuasa tempatan untuk bersama-sama menyiasat kehilangan pesawat ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_07/Tiada-bukti-kukuh-kaitan-Chinese-Martyrs-Brigade#ixzz2vconMfzg
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Seri Paduka, Raja Permaisuri zahir rasa prihatin, simpati

KUALA LUMPUR 10 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menzahirkan rasa prihatin terhadap insiden pesawat MH370 yang dilaporkan hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pagi Sabtu lalu.
Keprihatinan Seri Paduka itu turut dikongsi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah bersama seluruh rakyat negara ini.
Malah, Tuanku Abdul Halim serta Raja Permaisuri Agong turut melahirkan rasa simpati kepada penumpang-penumpang dan anak kapal pesawat tersebut serta ahli keluarga mereka.
"Pada kesempatan ini, beta dan Raja Permaisuri Agong bersama rakyat Malaysia amat prihatin terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 dan menzahirkan rasa simpati kepada penumpang-penumpang dan anak kapal pesawat tersebut serta keluarga mereka.
"Beta juga berharap ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat dapat bertenang dan tabah menerima ketentuan tersebut," titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di sini hari ini.
Sabtu lalu, pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi.
Pesawat itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dijadualkan mendarat di Beijing, China pada pukul 6.30 pagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_06/Seri-Paduka-Raja-Permaisuri-zahir-rasa-prihatin-simpati#ixzz2vcoqwTC7
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Siasat identiti 2 penumpang misteri


HISHAMMUDDIN Tun Hussein berbincang dengan wakil kerajaan China, Liao Jinrang mengenai kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
PUTRAJAYA 10 Mac - Pihak berkuasa Malaysia berkongsi rekod penumpang, maklumat biometrik dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan agensi perisikan dari China dan Amerika Syarikat (AS) bagi mengenal pasti identiti dua penumpang misteri yang menggunakan pasport palsu menaiki pesawat MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama tersebut penting bagi mendapatkan maklumat untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
"Agensi antarabangsa dari AS dan China telah tiba untuk membantu mengenal pasti identiti mereka dari pelbagai sudut termasuk maklumat biometrik, latar belakang, cap jari, tarikh lahir dan keadaan mental.
"Agensi ini mempunyai aset untuk mengenal pasti maklumat-maklumat ini," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Ditanya sama ada telah melakukan semakan dengan Polis Antarabangsa (Interpol) mengenai dua pasport yang hilang tersebut, Hishammuddin berkata, setakat ini rekod Interpol menunjukkan terdapat 40 juta pasport dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, Hishammuddin tidak mengesahkan dua pemegang pasport palsu tersebut mempunyai ciri-ciri fizikal orang Asia seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Beliau juga tidak mengesahkan dua orang tersebut sebagai warganegara China.
Katanya, rakaman CCTV dua penumpang misteri itu sedang disiasat termasuk oleh agensi perisikan dan akan diumumkan kepada media dalam masa terdekat.
Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak menafikan kemungkinan terdapat unsur penglibatan pihak pengganas dalam kejadian kehilangan pesawat MH370.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya juga tidak menafikan kemungkinan pesawat yang membawa 239 orang termasuk 12 krew itu meletup di udara.
"Kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk yang berkaitan dengan pengganas, siasatan dilakukan dari semua sudut," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pesawat yang hilang perlu dijejaki terlebih dahulu untuk mencari jawapan mengenai pelbagai pertanyaan.
"Kita memerlukan bukti yang konkrit untuk membolehkan siasatan forensik dilakukan, tetapi malangnya kita gagal menemui sebarang serpihan setakat tengah hari ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_05/Siasat-identiti-2-penumpang-misteri#ixzz2vcouY5fb
© Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Dua individu guna pasport curi menyerupai 'Balotelli'?

SEPANG 11 Mac - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mendedahkan dua individu yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370 mempunyai rupa paras pemain bola sepak AC Milan, Mario Balotelli.
Menurut Azharuddin, rakaman video dan gambar dua individu terbabit sudah diserahkan kepada pihak penyiasat untuk tindakan susulan.
"Jadi boleh saya katakan di sini bahawa dua individu berkenaan tidak mempunyai rupa paras orang Asia.
"Kamu kenal Balotelli? Jadi dia bukan memiliki rupa orang Asia," katanya.
Namun ketika ditanya pemberita sama ada dua individu berkenaan berasal dari Afrika, Azharuddin tidak memberikan jawapan dan hanya mengatakan pihak penyiasat sedang menjalankan tugas mereka.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar terakhir hari ketiga kehilangan pesawat Boeing 777 MAS, MH370 di Hotel Sama-Sama di sini malam tadi.
Azharuddin menegaskan bahawa pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) telah mengambil langkah-langkah protokol lengkap bagi aspek keselamatan penerbangan Sabtu lalu ketika semua penumpang menaiki pesawat MH370.
"Pihak penyiasat juga sedang melihat dari sudut di mana dua individu berkenaan mungkin terlibat dengan sindiket pemalsuan pasport," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_01/MH370-Dua-individu-guna-pasport-curi-menyerupai-Balotelli#ixzz2vcoy9Kck
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Pegawai dari China tiba bantu keluarga mangsa

SEPANG 11 Mac - Enam pegawai delegasi dari China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8 pagi ini dipercayai bagi membantu sebahagian ahli keluarga penumpang MH370 yang telah tiba lebih awal pagi semalam.
Kesemua mereka kemudiannya ditempatkan di sebuah bilik khas di tingkat lima lapangan terbang tersebut sebelum dibawa menaiki kenderaan khas Kedutaan China di Malaysia.
Usaha pihak media untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tujuan mereka ke sini menemui jalan buntu kerana mereka enggan ditemubual.
Pihak Malaysia Airline (MAS) juga gagal memberikan kerjasama kepada pihak media bagi mendapatkan maklumat mengenai ketibaan delegasi dan ahli keluarga mangsa. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_28/Pegawai-dari-China-tiba-bantu-keluarga-mangsa#ixzz2vcp25KFj
© Utusan Melayu (M) Bhd