Thursday, March 17, 2011

Konsep ummi Nabi Muhammad

Oleh DR. MOHD. FARID MOHD. SHARIF

SEBAHAGIAN besar sarjana Islam seperti al-Tabari, al-Razi dan al-Baydawi mengaitkan sifat ummi kepada Nabi Muhammad SAW dengan tujuan untuk membuktikan bahawa kitab al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang bersifat mukjizat dan diturunkan kepada baginda SAW melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.Malah, menurut pandangan Subhi Saleh, al-Quran itu adalah kalam Allah yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril a.s., ditulis dalam beberapa mushaf, dipetik daripada riwayat yang mutawatir dan membacanya merupakan satu ibadat.

Berdasarkan fakta ini, Nabi Muhammad SAW umumnya dikenali sebagai seorang yang bersifat ummi.Menurut mereka, sifat ummi ini termasuk dalam salah satu mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Kerana belajar menulis atau membaca sebenarnya adalah merupakan satu proses yang tidak begitu sukar sehingga orang yang dianggap kurang pintar pun boleh mempelajarinya. Namun, orang yang langsung tidak belajar menulis atau membaca boleh dianggap mempunyai kelemahan yang besar dalam sudut kefahaman. Oleh itu, anugerah kekuatan akal dan kefahaman yang jitu terhadap ilmu seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW boleh dikatakan sebagai satu mukjizat yang besar. Dilihat daripada sudut bahasa, perkataan ummi berasal daripada perkataan umm. Sarjana bahasa mempunyai pandangan yang berbeza tentang maksud ummi: golongan pertama mengatakan bahawa ummi bermaksud orang yang tidak tahu menulis atau membaca. Pandangan ini dikemukakan oleh Ibn Faris, Ibn Manzur, Abu Ishaq dan Ibn al-'Arabi.

Mereka percaya maksud ummi mempunyai kaitan dengan keadaan bayi yang tidak tahu apa-apa termasuklah menulis dan membaca semasa dilahirkan oleh ibunya. Pandangan ini diambil berdasarkan ayat 78 dalam surah al-Nahl, bermaksud: dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati. Golongan kedua mengatakan bahawa ummi bermaksud orang yang tidak tahu menulis atau membaca kitab.

Pandangan ini dinyatakan oleh al-Raghib berdasarkan hadis yang bermaksud: Kami ummah ummiyyah tidak menulis dan tiada bahan-bahan bertulis. (riwayat Bukhari). Golongan ketiga pula yang diwakili oleh al-Farra', al-Zajjaj dan al-Zabidi mengatakan ummi bermaksud orang yang tidak mempelajari atau mempunyai sebarang kitab. Mereka mengemukakan ayat 157 dalam surah al-A'raaf sebagai sandaran iaitu: Orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang namanya tertulis di dalam Taurat dan Injil yang terdapat di sisi mereka. Pengarang Arabic-English Lexicon, E.W. Lane berpendapat, ummi berasal daripada perkataan ummah yang merujuk kepada bangsa Arab (gentile) dan juga merujuk kepada orang yang tidak mempunyai sebarang kitab.. Menurut beliau, perkataan ummi turut boleh digunakan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan yang sama iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Di dalam al-Quran, perkataan ummi disebut sebanyak enam kali. Dua kali disebut dalam bentuk kata tunggal iaitu ummi dan empat kali disebut dalam bentuk kata majmuk iaitu ummiyyun atau ummiyyin. Al-Quran menyebut perkataan ummi pada dua tempat iaitu ayat 157 dan 158 surah al-A'raaf.

Kedua-dua ayat ini merujuk khusus kepada Nabi SAW. Ada pun perkataan ummi dalam bentuk kata majmuk pula disebut pada ayat 78 surah al-Baqarah, ayat 20 dan 75 surah ali 'Imran, dan ayat 2 surah al-Jumuah.Berdasarkan empat ayat al-Quran ini, ayat yang pertama merujuk kepada golongan Yahudi dan tiga ayat yang berikutnya merujuk kepada golongan Arab yang tidak mengikuti kitab-kitab samawi (heathen).Jika dilihat sudut masa penurunan ayat-ayat al-Quran itu pula, dua ayat dalam surah al-A'raaf di atas termasuk di dalam kategori ayat Makkiyyah. Empat ayat lagi yang merujuk kepada golongan Yahudi dan Arab termasuk di dalam kategori ayat Madaniyyah.Oleh itu, berdasarkan pembahagian ini sifat ummi boleh dilihat daripada dua zaman iaitu zaman sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi nabi dan zaman selepasnya. Fakta yang mengatakan bahawa Nabi SAW sebelum menjadi nabi tidak tahu membaca dan menulis berdasarkan ayat 48 surah al-Ankabut: Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya sesuatu kitab pun dan kamu tidak pernah menulis suatu kitab dengan tangan kananmu. Andai kata kamu pernah membaca dan menulis, benar-benar ragulah orang yang mengingkarimu.Maksud ayat ini, Nabi SAW tidak pernah membaca dan menulis sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul. Ayat ini juga menjadi bukti al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi SAW, sekali gus menolak keraguan yang ditimbulkan oleh golongan ahli kitab dan musyrik Mekah. Dalam ayat yang lain, Nabi SAW menolak tuduhan golongan musyrik Mekah dengan berhujah: Jikalau Allah menghendaki, nescaya aku tidak membacakannya kepadamu dan Allah tidak pula memberitahukannya kepadamu. Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu beberapa lama sebelumnya, maka apakah kamu tidak memikirkannya? (Yunus: 16).Menurut al-Razi, tujuan ayat ini adalah menjelaskan bahawa golongan musyrik Mekah tahu Rasulullah yang tinggal di kota yang sama sememangnya tidak tahu membaca dan menulis dan tidak pernah mempelajari ilmu membaca dan menulis daripada sesiapapun.

Justifikasi lain adalah berdasarkan fakta sejarah. Sejarawan Islam telah mencatatkan bahawa proses keilmuan sudah bermula pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Al-Baladhuri, misalannya menyebut bahawa kebanyakan orang Arab Hijaz tidak tahu membaca dan menulis. Beliau telah menyenaraikan seramai 17 lelaki dan tujuh wanita yang mahir dalam membaca dan menulis. Antaranya yang terkenal ialah seperti Umar b. al-Khattab, Ali b. Abi Talib, Uthman b. Affan, Mu'awiyah b. Abi Sufyan, Hafsah bt. Umar, Aishah bt. Abi Bakr dan Umm Salamah. Dalam Tabaqat Ibn Sa'd, terdapat beberapa lagi senarai nama sahabat yang tahu menulis dan membaca. Apabila meneliti tulisan dua sejarawan ini, tidak pula ditemui nama baginda SAW tercatat dalam senarai itu. Fakta menunjukkan Nabi SAW sesudah menjadi nabi boleh membaca dan menulis juga bersandarkan kepada ayat 48 surah al-Ankabut.

Sebahagian sarjana seperti al-Harawi, al-Naysaburi dan al-Sya'bi berpandangan, ayat itu bermaksud Nabi Muhammad SAW hanya tidak tahu membaca dan menulis sebelum menjadi nabi, tetapi selepas menjadi nabi, baginda SAW harus tahu membaca dan menulis. Hujah mereka adalah ayat penafian dalam ayat 48 surah al-Ankabut hanya bertujuan menolak keraguan orang musyrik Mekah tentang kenabiannya. Namun, sesudah baginda SAW dilantik menjadi nabi, isu ini sudah tidak lagi relevan. Oleh itu, berdasarkan pendapat ini, Nabi Muhammad SAW harus tahu membaca dan menulis melalui tunjuk ajar Malaikat Jibril a.s.Terdapat sarjana lain yang berpendapat kemahiran Nabi SAW dalam membaca dan menulis diperolehi tanpa mempelajarinya seperti orang lain dianggap satu mukjizat. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Alusi, al-Baji dan Ibn Abi Syaibah. Mereka juga mengemukakan hadis untuk menyokong hal ini. Hadis itu bermaksud: "Nabi SAW tidak mati sehinggalah baginda tahu menulis dan membaca". Kesimpulannya, perbincangan di atas bolehlah dibahagikan seperti berikut: lTerdapat pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad SAW tetap ummi baik sebelum mahupun selepas menjadi nabi dan sifat ini tidak terjejas dengan kewujudan perkataan 'sebelumnya' dalam ayat 48 surah al-Ankabut.

*Ada pendapat mengatakan Nabi SAW tidak lagi ummi selepas menjadi nabi berdasarkan kewujudan perkataan yang sama dalam ayat yang sama;

*Sifat ummi sebelum kenabian ialah jelas dan sukar untuk dinafikan. Pendapat ini diambil berdasarkan nas dan fakta sejarah;

*Sifat ummi selepas kenabian itu yang menjadi polemik dalam kalangan para sarjana. Hal ini disebabkan oleh pemahaman mereka yang berbeza terhadap nas dan juga fakta sejarah.

utusan online

Hukum ambil untung atas angin

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

UNTUNG atas angin adalah istilah yang sudah difahami dalam masyarakat di Malaysia. Ia biasanya dikaitkan dengan sebarang aktiviti yang dilakukan oleh individu dalam urusniaga yang menyebabkannya memperolehi keuntungan tanpa melalui usaha ataupun modal.

Ia biasanya dilakukan oleh mereka yang menjadi perantaraan sesuatu urusan atau lebih dikenali sebagai 'orang tengah'.

Keuntungan yang diperolehi itu disebut dengan pelbagai istilah seperti imbuhan, insentif, komisen dan sebagainya. Sama ada ia dibolehkan dalam sudut syariah bukan sahaja bergantung kepada konotasi, tetapi juga metodologi yang digunakan bagi memperolehinya.

Kita semua perlu berhati-hati kerana pada kebiasaannya aktiviti mengambil untung atas angin mempunyai unsur syubhat bahkan ada yang mencapai tahap haram.

Namun, ada juga yang dibenarkan dan diharuskan jika ia mengikuti syarat dan etika yang ditetapkan oleh syariah.

Untung atas angin mungkin boleh berlaku dengan beberapa cara. Antaranya, dengan menjadi wakil atau orang tengah bagi membuat pembelian sesuatu barang yang terdapat di pasaran.

Oleh kerana kuantiti barang yang ingin dibeli itu banyak, maka penjual akan memberi diskaun terhadap setiap unit yang dibeli. Wakil akan mendapat habuannya melalui diskaun yang diberikan kerana dia tetap mencatatkan harga asal pada sebut harga barangan berkenaan.

Halal atau tidak keuntungan yang diperolehi itu bergantung kepada keizinan oleh pihak pembeli atau pihak pewakil.

Sekiranya wakil diberi hak oleh pewakil untuk mengambil keuntungan daripada diskaun yang diberikan, maka apa yang diambilnya itu adalah halal daripada segi syarak.

Namun, sekiranya dia tidak diberi kebenaran, maka tidak harus baginya untuk mengambil keuntungan dan sekiranya ada diskaun, ia perlu dipulangkan semula kepada pembeli.

Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)

Fenomena ini kerap berlaku dalam sesebuah institusi kerajaan atau swasta. Pegawai yang ditugaskan membuat pembelian telah mengadakan rundingan lebih awal dengan pihak pembekal atau penjual untuk mencatatkan harga yang tinggi pada sebut harga barang yang ingin atau sudah dibeli.

Justeru, tidak hairanlah jika kita mendapati dalam laporan audit, harga sesuatu barang mencecah 10 kali ganda daripada harga asal.

Dalam kes ini, bukan sahaja pegawai yang berurusan yang mendapat untung atas angin, tetapi ia turut melibatkan pihak lain termasuk pegawai tinggi yang memberikan kelulusan.

Bahkan, ada yang sanggup berpakat untuk menipu dengan mencipta beberapa sebut harga sedangkan ia tidak wujud sama sekali. Ini bertujuan mengaburi mata pihak atasan dan juruaudit kerana setiap pembelian yang ingin dibuat memerlukan kepada beberapa sebut harga, sebagai contoh, ada syarikat yang menetapkan sekurang-kurangnya tiga sebut harga.

Untung atas angin juga mungkin berlaku apabila pegawai yang ditugaskan mencari dan memilih penjual alatan pejabat, kontraktor baikpulih bangunan, konsultan dan sebagainya telah mensyaratkan supaya diberi sejumlah imbuhan untuk membolehkan mereka dipilih mendapat tender projek tertentu. Aktiviti ini dianggap sebagai rasuah dan hukumnya adalah haram.

Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan". (riwayat at-Tirmidzi)

utusan online

Aidilfitri 'hadiah' menang Perang Badar

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sebagaimana yang kita ketahui, Perang Badar berlangsung pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah di saat buat pertama kalinya umat Islam diperintah melaksanakan ibadat puasa Ramadan dan begitu juga kewajipan menunaikan zakat fitrah.

Namun dengan kemenangan tentera Islam di medan Perang Badar itu disifatkan sebagai satu 'perayaan berganda'. Tentu sahaja satu perayaan yang besar-besaran apabila tidak lama selepas perang itu, umat Islam meraikan Aidilfitri pula kerana meraikan kemenangan berpuasa di sepanjang bulan Ramadan.

Itulah tahun pertama juga, Aidilfitri disyariatkan.

Menurut Al Mubarakfuri, perayaan ini merupakan anugerah Allah setelah dimahkotakan mereka dengan kemenangan dan kemuliaan selepas berjaya menentang pihak musuh yang paling nyata, iaitu kafir Quraisy.

Alangkah indahnya pemandangan solat sunat Hari Raya berjemaah yang mereka kerjakan setelah keluar dari rumah masing-masing sambil melaung-laungkan takbir dan tahmid.

Bagi memuji-muji kebesaran Allah dan meluahkan perasaan cinta yang memberikan mereka nikmat iman dan kini hidup dalam kesejahteraan di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang tidak sekadar ketua yang biasa!

Luar biasa apabila baginda mengeluarkan zakat sebelum detik Aidilfitri, selepas solat sunat dan berkhutbah, berpesan-pesan kepada umat Islam, baginda bersedekah terhadap semua golongan tanpa mengira miskin dan kaya!

Golongan kanak-kanak tentu sahaja yang paling gembira ketika itu kerana mendapat habuan sedekah daripada baginda!

Bertambah meriah lagi sambutan kerana dikatakan dalam tempoh ini juga baginda mengahwinkan anak perempuan, Fatimah Zahrah dengan sepupu baginda sendiri yang merupakan pahlawan Islam terbilang, iaitu Ali bin Abi Talib.

Namun suasana kebahagiaan itu ada sedikit tercalar dengan kesedihan apabila anak perempuan yang juga kesayangan baginda yang sebelum ini berkahwin dengan Uthman bin Affan, iaitu Ruqayyah meninggal dunia akibat sakit.

Namun tidak lama kemudian sahabat besar baginda itu, dikahwinkan dengan seorang lagi anak perempuan Rasulullah, iaitu Ummi Kalsum yang sekali memberikan gelaran kepada Uthman, iaitu Zun Nurain; pemilik kepada dua cahaya mata (Rasulullah) kerana dikahwinkan dengan dua puteri baginda Rasulullah.

Ummi Kalsum sebelum ini pernah disunting dan menjadi isteri kepada anak kepada Abu Lahab, iaitu Utaibah semasa zaman jahiliah. Tetapi puteri ketiga Rasulullah itu diceraikan atas perintah Abu Lahab yang tidak mahu anaknya bersekongkol dengan Rasulullah yang menjadi musuh ketat Abu Lahab.

Seperti yang disebut sebelum ini, iaitu kisah serangan curi oleh Abu Suffian terhadap sebuah kampung di pinggir Madinah, iaitu Perang Al Suwaiq, dikatakan berlaku pada bulan Syawal iaitu selepas Perang Badar.

Selepas bulan Syawal itu, maka masuklah pula bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah (bulan ke-11), Zulhijjah (bulan ke-12) dan bulan Muharam (bulan pertama dalam tahun hijrah berikutnya).

Tetapi apabila masuk bulan Safar, iaitu bulan kedua Hijrah, umat Islam di Madinah mendapat ancaman keselamatan dari puak atau Bani Ghatafan. Bani Ghatafan ini merupakan sebuah suku Arab kuno namun jumlah mereka agak besar mendiami di utara Madinah, iaitu di kawasan Najd.

Daripada mereka lahirlah tiga suku atau puak, iaitu Abs, Ashga dan Banu Thibyaan. Mereka terkenal kerana sering bersekutu dengan kafir Quraisy terutama dalam Perang Khandaq kelak.

Tetapi kali ini mereka tanpa disangka dikatakan telah bersedia menyerang umat Islam di Madinah.

Namun sebelum sempat mereka melakukan serangan terhadap Madinah, Rasulullah dan para sahabat yang dikatakan seramai 200 orang sudah terlebih dahulu sampai ke perkampungan mereka. Ini menyebabkan kebanyakan anggota Bani Ghatafan itu melarikan diri ke arah daerah kawasan bukit.

Justeru, baginda dan para pengikut memutuskan untuk berada di situ selama tiga hari dengan mendirikan khemah.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

utusan online

Pendapat ulama terhadap Rasm Uthmani

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

ALLAH SWT telah memberi jaminan untuk menjaga al-Quran melalui firmannya yang bermaksud: Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Zikr(al-Quran) dan Kamilah yang menjaganya. (al-Hijr: 9)

Ulama menafsirkan penjagaan ini terbahagi kepada dua iaitu di dalam dada para hafiz dan dalam helaian mushaf.

Apabila ditanya kepada Imam Malik apakah boleh ditulis mushaf mengikut ejaan semasa? Beliau menjawab mesti ditulis mengikut apa yang ditulis oleh penulis wahyu di zaman Rasulullah SAW.

Imam Malik juga menyatakan bahawa al-Quran ditulis mengikut pendengaran para sahabat ra dari bacaan Rasulullah SAW.

Dua petikan kata-kata Imam Malik di atas adalah bukti yang kuat kepada kita bahawa penulisan Rasm Uthmani adalah pilihan utama kepada umat Islam dan wajib dikekalkan.

Bagi menguatkan lagi hujah tersebut Imam Ahmad Ibn Hambal menjelaskan haram menyalahi rasm al-Quran walaupun pada alif atau wau.

Penulis wahyu di kalangan para sahabat menulis al-Quran di bawah pengawasan Rasulullah SAW bukan mengikut selera mereka bagaimana hendak menulis setiap perkataan al-Quran.

Proses penulisan di hadapan Rasulullah SAW dan dibaca semula selepas menulis adalah bukti ia adalah tauqifi.

Ulama bersepakat menjadikan mushaf yang dihantar oleh Uthman Ibn Affan ke kota Islam iaitu Mekah, Basrah, Kufah, Syam dan Madinah adalah satu rukun dalam menilai kesahihan qiraat.

Penilaian qiraat untuk diterima pakai sama ada mutawatirah dan boleh dibaca dalam sembahyang mestilah memenuhi tiga rukun iaitu sanad yang sahih, menepati bahasa arab dan menepati rasm mushaf.

Menepati rasm mushaf bermaksud qiraat yang dinilai mestilah sama dengan perkataan yang tertulis dalam mushaf Uthmani. Jika berlainan, qiraat tersebut ditolak dan tidak dibenarkan membacanya dalam sembahyang.

Sheikh Ali Dabba' melalui kitabnya Samir al-Talibin, telah menyenarai lebih daripada 10 pandangan ulama bahawa wajib menulis al-Quran dengan rasm Uthmani.

Antaranya adalah pendapat al-Ustaz Abdul Rahman Ibn al-Qadhi al-Maghribiy yang menyatakan: Tidak harus mengikuti selain Rasm Uthmani, jangan membuat alasan dengan berkata sesungguhnya orang awam tidak mengetahui tulisan mushaf dan akan berlaku kesalahan bacaan jika ditulis dengan Rasm Uthmani atau memberi alasan-alasan yang lain.

Ini semua adalah tidak benar kerana sesiapa yang tidak mengetahui Rasm Uthmani, wajib kepada mereka mempelajarinya sebelum membaca al-Quran. Jika mereka lakukan selain itu sesungguhnya telah menyalahi ijmak.

Hukumnya telah diketahui dan segala alasan tidak menggunakan Rasm Uthmani adalah tertolak kerana menyalahi ijmak. Kerosakan sebegini telah menyerap di kalangan umat Islam sekarang ini, justeru hendaklah menjaganya untuk maslahah diri dan umat.

utusan online

Tawassul dalam bentuk seruan



Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Umat Islam perlu meyakini bahawa walaupun bertawassul itu diharuskan tetapi kuasa menyembuh dan menolong seseorang itu adalah hak mutlak Allah SWT. - Gambar hiasan

KE arah kesimpulan bicara kita ke arah memurnikan kefahaman tentang tawassul, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT.

Sebahagiannya merupakan perbuatan para sahabat r.a. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.

Suatu contoh yang menarik adalah tawassulnya tentera muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera nabi palsu, Musailamah al-Kazzab.

Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah adalah: "Ya Muhammadaah!" (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).

Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid r.a membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya.

Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, "Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera 'Aamir dan Zaid".

Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, Ya Muhammadaah! (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324). Jelas daripada peristiwa ini bahawa para sahabat tidak merasa kekok menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut.

Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.

utusan online

Sejarah mata wang Islam di Tanah Melayu

Oleh ROSMAH WATI AHMAD ZAKARIA

KEDATANGAN Islam ke Nusantara membawa seribu satu perubahan dan keindahan bersamanya. Walaupun terdapat pelbagai teori mengenai tempat pertama dan bila Islam sampai ke dunia Melayu, yang pasti ia membawa kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Islam di wilayah ini yang rata-ratanya dihuni oleh orang Melayu.

Salah satu perubahan besar yang boleh dilihat adalah pengeluaran duit oleh kerajaan Islam tempatan.

Kerajaan yang dipelopori oleh Kesultanan Melayu yang beragama Islam sama ada di Sumatera, Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu juga mengambil langkah yang sama dengan menempa duit kerajaan sendiri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Islam di kawasan lain.

Mata wang penting kerana kedudukan dunia Melayu yang menjadi pusat perdagangan antarabangsa bagi pedagang asing terutamanya dari Timur Tengah, Gujerat dan China.

Logam yang menjadi bahan utama dalam pembuatan duit seperti emas, perak dan timah adalah merupakan sumber asli yang banyak terdapat di dunia Melayu pada waktu itu.

Rekaan mata wang yang dihasilkan oleh pemerintah Islam di dunia Melayu mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan mata wang yang dihasilkan di Timur Tengah tetapi mempunyai sedikit persamaan dengan kerajaan Islam yang paling hampir dengan Asia Tenggara iaitu Kerajaan Islam di India.

Ciri-ciri mata wang Islam dunia Melayu adalah seperti berikut:

Ciri pertama, adalah bahasa yang digunakan di atas duit yang dikeluarkan.

Hampir kesemua mata wang Islam dunia Melayu menggunakan bahasa Arab dan tulisan Arab walaupun dunia Melayu mempunyai bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Ini secara tidak langsung menunjukkan kedudukan bahasa Arab yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu ketika itu.

Ciri kedua, adalah gelaran raja. Kebanyakan mata wang Islam dunia Melayu mempamerkan nama gelaran pemerintah Islam dalam bahasa Arab seperti, Al-Adil, Malik Al-Adil, Nasir al-Dunia Wa'l-Din, Al-Sultan Al-Adil dan Khalifah Al-Mukmin.

Gelaran-gelaran ini digunakan bagi menggantikan nama raja atau sebagai tambahan kepada nama raja atau ratu yang memerintah yang terdapat di atas duit tersebut ketika itu.

Ciri ketiga adalah tahun dan nama tempat ia dikeluarkan. Ciri ini tidak kelihatan bagi mata wang yang dikeluarkan pada abad ke 15 hingga 18 Masihi tetapi mula kelihatan dalam abad ke 19 Masihi.

Antara mata wang yang mempunyai tahun dan tempat ia dikeluarkan adalah mata wang dari Kelantan dan Kedah.

Daripada segi reka bentuk mata wang pula, dunia Melayu mempunyai bentuk mata wang yang pelbagai dan menarik. Antara bentuk yang sering digunakan adalah bulat dan segi enam.

Duit yang berbentuk segi enam pernah dikeluarkan oleh kerajaan Melayu seperti di Kedah dan di Johor. Bagi bentuk bulat pula terdapat dua lagi pecahan rekaan iaitu yang mempunyai lubang di bahagian tengah dan yang disusun dalam bentuk sebatang pokok.

Duit berbentuk bulat dan mempunyai lubang di bahagian tengah telah dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan, Patani dan Kedah. Rekaan bentuk ini dikatakan diadaptasi daripada mata wang yang di bawa dari China oleh pedagang China.

Bagaimanapun, mata wang yang dihasilkan di China mempunyai lubang berbentuk segi empat di bahagian tengah manakala di dunia Melayu lubangnya berbentuk bulat. Rekaan ini adalah bagi memudahkan duit tersebut diikat bersama menggunakan tali dalam jumlah tertentu.

Bagi duit yang disusun dalam bentuk sebatang pokok ia diberi nama pokok duit. Pokok duit diperbuat daripada logam timah dan ia keluarkan oleh kerajaan Kelantan dalam abad ke 18 Masihi. Ia boleh ditempa semula selepas duit berbentuk bulat yang dijadikan 'daun' atau 'buah' telah habis dipatahkan dan digunakan.

Pada sebatang pokok duit terdapat lima belas ranting yang mempunyai sehelai daun 'daun' atau sebiji 'buah' pada setiap satunya.

Mata wang di Semenanjung Tanah Melayu terus mengalami perubahan dari satu abad ke abad yang seterusnya. Ketika di bawah pengaruh British, mata wang Semenanjung Tanah Melayu mula menggunakan angka rumi dan tulisan jawi.

Tulisan jawi masih lagi kelihatan di atas wang kertas yang digunakan pada hari ini tetapi bahasa Arab telah terhenti penggunaannya sejak abad awal abad ke 20 Masihi kerana mata wang dunia Melayu telah mula dikeluarkan secara seragam selari dengan pembentukan negara Malaysia.

utusan online

Kaum 'Aad dimusnahkan Allah



MAKAM Nabi Hud a.s di Hadhramaut, Yaman.

Allah SWT mengutus Nabi Hud a.s kepada kaum 'Aad yang menghuni daerah al-Ahqaf di sekitar Hadhramaut, Yaman. 'Aad, suatu kaum yang dianugerahkan kelebihan daripada segi kekuatan tubuh badan, keelokan paras rupa dan kekuasaan, namun mereka berbuat syirik dan melakukan kezaliman dan menjajah hamba-hamba Allah.

Kaum 'Aad berkata: Siapakah yang lebih besar kekuatannya daripada kami. (al- Fussilat: 15). Seperti halnya Nabi Hud, kaum 'Ad juga merupakan keturunan Nabi Nuh, namun mereka tidak mengakui keesaan Allah SWT meskipun Nabi Hud telah memperingatkan mereka.

Oelh kerana itu, Allah SWT membinasakan mereka melalui azab-Nya.

Allah mengisahkan perdebatan antara Nabi Hud a.s dengan kaumnya menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Ad saudara mereka , Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada AIlah bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?" Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal, dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

Hud berkata: "Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku ini adalah utusan dari Rabb semesta alam.

Mereka berkata: "Apakah kamu datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah saja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh bapak-bapak kami, maka datanglah adzab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar."

Ia (Hud) berkata: "Sungguh sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Rabbmu. Apakah kamu sekalian hendak berbantah dengan aku tentang nama-nama (berhala) yang kamu dan nenekmu menamakannya, padahal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujah untuk itu. Maka tunggulah (azab itu), sesungguhnya aku juga termasuk orang yang menunggu bersama kamu". (al-'Araaf: 65-71)

Bahkan mereka meminta didatangkan azab Allah sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka menjawab "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari (menyembah) ilah-ilah kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang telah kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar".

Setelah itu Allah mendatangkan azab yang membentang di ufuk pada waktu mereka amat memerlukan hujan. Datanglah awan yang mereka anggap sebagai tanda datangnya nikmat hujan yang mereka nantikan, namun ternyata adalah azab Allah kepada mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera, (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa. (al-Ahqaf: 24-25)

Dalam ayat lain, iaitu dalam surat al-Haqqah ayat 6-8, Allah menjelaskan keadaan mereka, yang bermaksud: Adapun kaum 'Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kamu 'Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tanggul-tanggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka.

Syaikh 'Abdurrahman as-Sa'di mengatakan, setelah mereka menguasai dunia dan mencapai kemuliaan, semua keperluan hidup diperolehi, daerah dan kabilah di sekelilingnya tunduk kepada mereka, tiba-tiba Allah mengirim angin yang sangat dingin dan kencang saat hari-hari bencana tersebut agar mereka merasakan kehinaan di dunia dan azab akhirat lebih hina lagi.

Kaum Nabi Hud a.s dihancurkan Allah dengan angin yang sangat kencang dan cuaca teramat sejuk selama tujuh malam lapan hari, disebabkan kekufuran dan kemaksiatan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.

utusan online

Jelajah minoriti umat Islam Myanmar

Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
(Yang mengikuti rombongan jelajah Silaturrahim Kwantung, Myanmar)

Aziz Jamaludin Mhd. Tahir (bersongkok) menyerahkan sumbangan kepada wakil Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah.

Tidak ada kalimat yang lebih indah daripada menyeru ke jalan Allah sebagaimana firmannya yang bermaksud: Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan kebajikan dan berkata, "Sungguh,aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri). (Fussilat: 33)

Justeru umat Islam hari ini wajib mengembangkan amanah ini, menyampaikan risalah dan meninggikannya memenuhi cakerawala.

Berdakwah di jalan Allah SWT adalah aktiviti yang sangat mulia dan terhormat di sisi Allah. Tugas utama ini wajib dikerjakan baik secara perseorangan ataupun secara kolektif.

Justeru itu untuk memperolehi hasil yang optimum, dakwah harus dilakukan dengan semaksimum mungkin. Dengan kata lain, mengerah seluruh potensi yang ada iaitu waktu, tenaga, fikiran, harta hatta nyawa sekalipun.

Memahami hakikat ini Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baru-baru ini mengambil inisiatif mengadakan program Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung, Myanmar.

Ia bermula pada 15 hingga 19 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1432H - 16 Rabiulawal 1432H.

Ia diadakan sempena majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun 1432H/2011M.

Acara pelepasan (flag-off) konvoi Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung, Myanmar dilakukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Masjid Tuanku Zainal Abidin Putrajaya.

Konvoi jelajah ini diketuai oleh Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir. Ia disertai oleh 50 peserta terdiri daripada kakitangan Yadim, wakil media tempatan termasuk TV Hijrah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sesungguhnya program jelajah ini bukan untuk mengejar populariti atau untuk mencari keuntungan material, kepentingan peribadi mahupun duniawi. Sebaliknya, ia dilakukan atas landasan keimanan dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah SWT dan meraih keredaannya.

Justeru, umat Islam hendaklah selalu menyucikan niat dalam segala bentuk program termasuklah aktiviti penjelajahan ini. Sebabnya, niat yang suci akan menghilangkan egoisme dan sentiasa berorientasikan kepentingan ramai termasuk bangsa dan negara.

Program Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung ini mendapat restu serta kerjasama Kedutaan Malaysia di Myanmar. Wakil dan kaunselor, Wan Khalid turut sama menyertai sambutan Maulidur Rasul yang diraikan di rumah Al Haj U Hamzar, iaitu seorang pemimpin masyarakat Melayu Kawthaung.

Kebanyakan masyarakat Melayu Islam di sini masih fasih berbahasa Melayu loghat Kedah. Kawthaung (baca Kok Song) terletak di selatan Myanmar, bersempadan dengan Ranong (baca Raknong) di Thailand.

Terdapat 15,000 penduduk Melayu di Kawthaung dan bercakap dalam loghat utara Semenanjung Malaysia. Mereka menggunakan tulisan jawi dan berusaha mempertahankan jati diri Melayu.

Penjelajahan selama seminggu ini antara lain bertujuan meluaskan jaringan dakwah dan sahabat Yadim di samping mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat Islam di Kawthaung yang merupakan masyarakat minoriti Islam di Burma.

Usaha ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Sampaikanlah: "Wahai hamba-hambaku yang beriman! Berbaktilah kamu sekelian kepada Tuhanmu! Kebaikanlah untuk mereka yang berbuat baik di dunia ini. Dan bumi Allah itu luas... (al-Zumar: 10)

Falsafah yang perlu difahami dan dihayati adalah bumi ini memang luas sehingga tidak ada alasan bagi manusia untuk tidak berbuat baik dan berbakti kepada Allah.

Dengan perkataan lain, kita dianjurkan menjelajah bumi dan melihat kemungkinan yang ada di luar tempat atau negara kita.

Sepanjang jalan penjelajahan ini kami singgah di Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah simpang Kuala Alor Setar, Kedah.

Dalam kesempatan itu, Aziz Jamaludin turut melawat tapak pengajian yang musnah akibat kebakaran. Yadim kemudiannya menyumbangkan wang tunai RM10,000 dan RM10 juga untuk tahun-tahun seterusnya serta sumbangan al-Quran untuk pelajar tahfiz.

Dalam perjalanan balik dari Kawthaung, kami menyertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Dana Pembinaan Surau Sekolah Menengah Agama (SMA) Saadah Add-Diniyah Al-Islamiah, Sg. Limau, Yan di Kedah.

Pada sebelah malam, kami ke Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Kepala Batas, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang (Pondok Pokok Sena) bagi menyertai Program di Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Kepala Batas sempena sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian Watikah Penubuhan Sukarelawan Al-Falah.

utusan online

Waspada dalam berkata-kata

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari pernahkah kita terfikir untuk berhati-hati ketika meluahkan setiap perkataan daripada mulut kita?

Sememangnya boleh dikatakan semua orang memahami betapa pentingnya apabila mahu berkata-kata kerana jika tersilap langkah mereka boleh terjerumus ke dalam dosa.

Kita hanya sekadar menguar-uarkan pepatah kerana mulut badan binasa tetapi ramai yang tidak mematuhinya.

Pada dasarnya, ucapan mahupun perkataan merupakan cerminan jiwa. Maka itu, Nabi Muhammad SAW berpesan pilihlah kata-kata yang baik.

Dalam hal ini, baginda merupakan teladan terbaik. Setiap saat, Rasulullah senantiasa menggunakan kata yang baik dan lembut untuk umatnya.

Baginda menjauhkan kata-kata yang buruk, kasar, dan keji. Bahkan, Rasulullah sangat membenci jika ada kalimat yang digunakan tidak pada tempatnya yang sesuai. Misalnya, ada perkataan yang baik dan bermakna mulia namun diucapkan kepada orang atau sesuatu yang sebenarnya tidak berhak menyandang ucapan itu.

Begitulah juga sebaliknya, jika ada kalimah buruk dan bermaksud menghina tetapi ditujukan untuk orang atau sesuatu yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian memanggil orang munafik dengan panggilan tuan kerana jika dia memang seorang tuan, maka dengan panggilan itu kalian telah membuat Tuhan kalian murka".

Selain itu, umat Islam diminta menjaga ucapan yang mengandungi syirik. Seperti ucapan, "Aku meminta pertolongan kepada Allah dan kepadamu".

Sesuai tuntutan Rasulullah, mereka yang mengucapkan kalimat-kalimat seperti itu bererti telah menyekutukan atau sepadan bagi Allah SWT.

Dalam buku Berakhlak dan Beradab Mulia, Contoh-contoh dari Rasulullah, Saleh Ahmad asy-Syaami menambahkan, kalimat bernada mencela juga sebaik-baiknya dihindari. Peringatan itu juga disampaikan oleh Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan Bukhari, Muslim dan Muttafaaq alaih.

Rasulullah mengatakan: "Allah SWT berfirman, Anak keturunan Adam menyakiti-Ku, kerana mereka mencela masa, padahal Aku adalah Zat yang menciptakan dan menguasai masa. Aku yang menggantikan malam dan siang". Asy-Syaami menyatakan, perkataan yang mencela melahirkan kesalahan besar.

Menurut beliau, celaan yang diucapkan itu sebenarnya akan mengenai diri mereka sendiri. "Mereka telah berkata hal-hal yang tak patut," katanya.

Asy-Syaami menegaskan, ucapan-ucapan yang tak baik sama sekali tidak mendatangkan manfaat apa pun, sebaliknya, menjerumuskan seseorang ke jalan kebatilan. Ucapan yang buruk juga mendatangkan perpecahan dan pertikaian antara sesama manusia.

Termasuk yang perlu dijauhi adalah berkata bohong. Islam tidak memberikan keringanan bagi umatnya yang berbohong.

Ibn Qayyim dalam kitab al-Fawa'id mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap pembohongan. Sebab, kebohongan akan merosakkan cara pandang umat terhadap fakta yang sebenarnya.

Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengatakan, pembohongan akan mengiring pelakunya kepada kejahatan dan kejahatan akan menjerumuskan ke dalam neraka.

utusan online

Wednesday, March 9, 2011

Zaid Ibn Thabit tokoh penulis al-Quran

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Khalifah Uthman Ibn Affan adalah orang yang bertanggungjawab mengarahkan al-Quran ditulis dalam bentuk mushaf sebagaimana yang ada pada hari ini. - Gambar hiasan

SETIAP kali al-Quran diturunkan, Rasulullah SAW memanggil penulis wahyu untuk menulis ayat al-Quran. Zaid Ibn Thabit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengimla' al-Quran.

Selesai sahaja ditulis, Rasulullah SAW meminta supaya dibaca kepadanya. Jika terdapat kesilapan seperti tertinggal huruf atau kalimah, baginda akan membetulkannya.

Kemudian barulah ayat tersebut dibawa keluar untuk dibaca kepada sahabat yang lain.

Zaid telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan tulisan al-Quran.

Perbuatan beliau menulis wahyu di hadapan Rasulullah SAW dianggap sebagai hujah yang kuat bahawa penulisan al-Quran adalah Tauqifi.

Perbuatan menulis di hadapan Nabi SAW dan pengesahan daripada baginda adalah satu pengakuan atau disebut taqrir, di mana ia adalah sama dengan sunnah perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW.

Semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq r.a, antara sumbangannya adalah mengumpul al-Quran di satu tempat. Tenaga utama yang menjayakan usaha itu ialah Zaid dan Umar Ibn al-Khattab.

Kedua-duanya telah kepercayaan sepenuhnya untuk mengumpul dan menulis seluruh al-Quran. Namun bagi Zaid, dia menganggap bahawa rancangan menulis semula al-Quran adalah satu tugasan yang amat berat

Antara pujian dan kepercayaan yang diberikan oleh khalifah Abu Bakar kepada Zaid ialah beliau seorang pemuda yang tidak melakukan penipuan.

"Kamu adalah seorang yang adil, beramanah dan berilmu. Amanah yang diterimanya dari khalifah yang pertama untuk satu tugas yang amat berat itu telah dijalankan dengan jayanya," kata Abu Bakar.

Semasa pemerintahan Uthman Ibn Affan, berlaku pertelingkahan antara tentera Islam tentang bacaan al-Quran.

Jika tidak dibendung ia mungkin membawa mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.

Bagi menyelamatkan keadaan, Uthman telah mengambil satu tindakan iaitu menulis beberapa mushaf dan dihantar ke kota-kota Islam ketika itu.

Tenaga yang diberi tanggungjawab yang mencabar itu sudah tentu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam ilmu penulisan al-Quran.

Orangnya ialah tidak lain dan tidak bukan ketua yang mengetuai pasukan penulisan al-Quran itu ialah Zaid.

Namun, tugasnya bukan hanya berhenti setakat itu, Uthman juga telah melantiknya sebagai pengajar al-Quran di Kota Madinah.

Kesimpulannya, khidmat Zaid dalam menulis al-Quran amat besar, bermula pada zaman Rasulullah SAW. Bahkan ada yang menyatakan bahawa beliau hadir dalam perbentangan al-Quran terakhir Rasulullah di hadapan Jibril a.s pada Ramadan sebelum baginda wafat.

Beliau juga diberi tanggungjawab mengumpul al-Quran pada zaman Abu Bakar dan sekali lagi diberi amanah menyalin semula al-Quran pada zaman Uthman yang merupakan titik tolak penyebaran al-Quran secara meluas ke kota-kota Islam.

utusan online

Tuesday, March 1, 2011

Tentera Mekah lari bertempiaran

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERANG Badar merupakan antara ujian terbesar yang dialami oleh tentera Islam di Madinah. Lagi pula kekuatan yang dimiliki tentera kafir cukup luar biasa. Ia di luar jangkauan tentera Islam.

Tetapi akhirnya kemenangan memihak kepada tentera Islam.

Dalam peperangan itu, seorang demi seorang panglima tentera Quraisy yang terkenal dengan gagah perkasa. Ini menyebabkan bala tentera golongan kafir itu hilang semangat hingga bertempiaran lari meninggalkan medan perang.

Perang Badar berakhir setelah dikatakan berlangsung hanya beberapa jam. Ia bermula daripada terbit matahari 17 Ramadan dan tamat menjelang awal tengah hari pada hari yang sama.

Sebanyak 70 orang tentera kafir Mekah yang kebanyakan adalah para pemimpin dan orang kenamaan pembesar Quraisy terkorban. Sebanyak 70 orang lagi ditawan oleh tentera Islam.

Ia melibatkan lebih kurang 15 atau 16 peratus daripada tentera Quraisy terkorban. Manakala di pihak Muslim hanya 14 yang terkorban iaitu lebih kurang empat peratus daripada kekuatan keseluruhan.

Daripada jumlah itu, enam orang adalah kalangan Muhajirin dan lapan lagi yang terkorban adalah dari kalangan puak Ansar.

Kesemua mereka ini tentunya adalah sekumpulan para syuhada pertama dalam peperangan Islam yang menempahkan diri mereka masuk ke dalam syurga Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Talhah bahawa Nabi Muhammad kemudiannya mengarahkan kesemua mayat tentera kafir Quraisy dikumpul dan dihumbankan ke dalam sebuah perigi. Jenazah-jenazah tentera Islam dikebumikan di medan Badar itu.

Sebanyak 14 orang tentera Islam yang syahid dikuburkan di Badar. Sementara seorang lagi dikuburkan antara Badar dan Madinah iaitu dalam perjalanan pulang selepas perang.

Walaupun perang telah tamat dan tiada lagi musuh yang boleh mengancam keselamatan namun baginda dan bala tentera yang lain menunggu selama tiga hari di medan Badar sebelum pulang ke Kota Madinah.

Pada hari keempat baru baginda dan para pengikut yang lain pulang semula ke Madinah.

Sebelum pulang itu baginda sempat berdiri berhampiran dengan telaga yang telah dihumbankan ke dalamnya mayat-mayat anggota tentera kafir dan baginda pun menyeru nama-nama mereka yang mati itu berserta nama bapa-bapa mereka sambil berkata: "Sukakah kamu kalau kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya? Sesungguhnya kami telah mendapat apa yang dijanjikan Allah kepada kami adalah benar. Maka apakah kamu mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kamu kepada kamu adalah benar?" Kata Rasulullah.

Lalu sahabat baginda, Umar Al Khattab pun menegur: "Wahai Rasulullah, mengapa engkau bercakap dengan jasad-jasad yang sudah tidak bernyawa itu?"

Baginda pun menjawab: "Demi diri Muhammad yang berada dalam kekuasaan-Nya, bukannya kamu yang lebih mendengar daripada mereka kerana mereka itu lebih mendengar tetapi hanya mereka tidak berupaya untuk menjawabnya sahaja!"

Sementara itu saki baki tentera musyrikin yang kalah dalam perang Badar bertempiaran lari. Mereka lari berselerakan ke merata lembah, bukit dan jalan tanpa haluan dalam keadaan yang sangat berkecamuk.

Mereka juga tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kekalahan teruk yang mereka alami itu dan malu yang amat sangat.

Ini kerana, penduduk kafir Mekah yakin mereka dapat mengalahkan tentera Islam dengan mudah.