Monday, July 11, 2011

Pemain kita gegar San Marino

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

Alex Liew mengalahkan pemain senegara, Adrian Ang pada final Terbuka San Marino kelmarin.

KUALA LUMPUR - Meskipun kali kedua menyertai Jelajah Boling Eropah (EBT) tahun ini, ia sudah memadai untuk pemain Malaysia mengukir nama pada saingan berprestij benua tersebut.

Jika Syafiq Ridhwan Abdul Malek berjaya meraih tempat ketiga pada Cabaran Brunswick Eropah, Mac lalu, kejayaan pada Terbuka San Marino kelmarin, jauh lebih memberangsangkan, apabila dua pemain negara, Alex Liew dan Adrian Ang menguasai kedudukan 1-2.

Lebih manis, juara dunia 2005, Esther menduduki tempat keempat keseluruhan untuk dinobatkan Pemain Wanita Terbaik dalam kejohanan terbuka yang tidak membezakan jantina.

Pada pertembungan final sesama pemain Malaysia, pemenang pingat emas Sukan Asia Guangzhou menafikan impian Adrian untuk meraih gelaran Eropah peribadi kedua selepas menang 465-428 (264-210,218-201).

Gelaran pertama Eropah yang dimiliki Adrian adalah Terbuka Ankara di Turki pada 2009.

Terdahulu, Alex mengetepikan juara EBT Masters 2010, Robert Andersson dari Sweden 458-417 (233-217,225-200) manakala Adrian menghalang kemaraan rakan sepasukan Esther dengan kemenangan tipis 499-489 (234-216, 265-257).

Dua nama terkemuka Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA), Mika Koivuniemi dari Finland dan Stuart Williams dari England, kedua-duanya turut tidak terjawab keunggulan Alex dan Adrian selepas tewas pada peringkat suku akhir.

Berikutan kejayaan kelmarin, Alex meraih hadiah wang tunai lumayan 10,000 euro (RM42,700), sementara naib juara, Adrian juga mampu tersenyum membawa pulang 6,000 euro (RM26,000).

Bumi San Marino nampaknya gelanggang keramat buat skuad boling negara kerana daripada 16 peserta yang melayakkan diri ke peringkat kalah mati, enam slot daripadanya dikuasai pemain Malaysia.

Sharon Koh, Jacqueline Sijore dan Syafiq antara pemain yang mempamerkan persembahan konsisten sepanjang kejohanan untuk melangkah ke peringkat sejauh itu.

Sharon dan Jacqueline masing-masing tewas kepada Esther dan Adrian pada peringkat 16 pemain terakhir dan Syafiq kalah kepada Koivuniemi pada suku akhir.

Kejohanan bertaraf 'Emas' (kedua tertinggi selepas Platinum) itu menarik sejumlah 228 penyertaan keseluruhannya dengan 95 peratus merupakan pemain Eropah.

Diharapkan kejayaan kelmarin diteruskan minggu ini pada Cabaran Trofi Antarabangsa Barcelona, sekali gus meletakkan masing-masing pada ranking terbaik EBT biarpun cuma menerusi tiga penampilan

utusan online

No comments:

Post a Comment