Wednesday, February 9, 2011

Christina mahu jelaskan Islam sebenar



Susunan ZUARIDA MOHYIN

kehidupan umat Islam di Amerika Syarikat berubah selepas tragedi 11 September dan dalam masa sama agama Islam semakin dikenali. - Gambar hiasan

KETIKA dua pesawat melanggar bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dalam insiden 11 September 2001, Christina Rountree masih di sekolah menengah rendah. Seperti sebahagian masyarakat Amerika Syarikat (AS) lain pada masa itu, dia hanya mampu tercengang dan marah.

“Apabila keluar di berita-berita mengatakan serangan tersebut dilakukan oleh orang Islam. Lantas, saya bertanya kepada teman yang beragama Islam... mengapa mereka sanggup melakukannya atas nama Islam? Islam itu agama awak, bukan?

Christina masih ingat jawapan balas teman-temannya yang mengatakan: “Mereka itu orang gila. Mereka tidak menghormati agama Islam. Islam adalah agama kedamaian”.

Fikiran Christina keliru. Lantas, dia mula membaca tentang falsafah agama Islam itu. Malah ketika di kolej, beliau turut menyertai Persatuan Pelajar Islam di kampusnya.

Semuanya selain untuk mengetahui di sebalik agama Islam, dia juga sebenarnya sedang mencari matlamat dalam kehidupannya. Sejak itu, mata dan hatinya telah terbuka tentang Islam. Selama ini terlalu banyak yang salah digambarkan tentang agama Islam. Hal ini menimbulkan semacam satu semangat kepada Christina untuk memperbetulkan, waima pada masa itu dirinya belum Islam.

Christina lantas mengambil keputusan untuk membantu golongan bukan Islam agar mereka ini lebih memahami agama yang syumul itu iaitu agama Islam.

“Mereka sebenarnya memperoleh maklumat yang salah tentang agama Islam dan Muslim ditambah kebimbangan yang sudah menguasai diri, kata Christina. Malah sebagai seorang Afro-Amerika, saya amat memahami bagaimana rasanya dinilai hanya dengan melihat penampilan luaran anda sahaja”.

Namun bagi Christina, dia tidak pasti jika ada orang yang akan mendengar kata-katanya. Keraguannya itu diluahkan kepada seorang teman.

Balas temannya, “Beginilah Christina, bukankah lebih baik awak tunjukkan contoh tauladan bagaimana seorang Muslim itu daripada awak banyak menghabiskan masa bercakap mengenai apa yang mereka sendiri tidak pernah mengambil berat untuk memahami. Ada kebenarannya juga...

Mengakui kepercayaannya ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan dakwah yang disampaikan baginda. Malah Christina turut menyukai struktur agam Islam itu sendiri dan keyakinan paling kemuncak ialah akan mukjizat al-Quran. Apa sahaja kemusykilan yang timbul boleh dirujuk terus kepada kitab suci al-Quran yang masih terpelihara dan menjadi rujukan sehingga kini.

Akhirnya, pada 17 November 2006, Christina mengucap dua kalimah syahadah. Keputusan itu atas kehendak, kerelaan dan keikhlasan. Akui Christina, dia menerima Islam kerana itulah yang dikehendaki Allah SWT ke atasnya.

Namun, keputusannya itu bukanlah sesuatu yang dijangka dan diharap oleh ibunya, sekali gus tidak merestui pengislaman yang dibuat Christina.

“Ibu melenting bila mengetahui saya sudah Muslim. Katanya, saya lakukan semua itu kerana seorang lelaki memandangkan saya mudah mesra dengan lelaki yang berasal dari Timur Tengah atau yang mirip wajah pemuda dari India. Padahal, ketika itu, ibu tahu saya tidak mempunyai teman lelaki lagi.

“Berlainan pula penerimaan bapa, dia hanya menyokong segala tindakan saya jika itu yang membuatkan saya gembira”. Katanya lagi, “Buatlah apa sahaja selagi mana kau rasakan yang engkau telah menemui Tuhanmu.”

Alhamdulillah...tidak lama selepas itu, sudah nampak tanda-tanda penerimaan ibunya, salah satunya, sesekali ibunya mengikut Christina ke masjid.

Sungguhpun begitu, tidak dapat dinafikan sebaik bergelar Muslim, dia berhadapan detik-detik kesukaran yang ada ketikanya amat memahitkan.

Katanya, percubaan mengebom lapangan terbang berdekatan Detroit pada Hari Natal adalah detik paling besar yang diumpamakan mencalit arang kepada wajah Islam kepada semua umat Islam seluruh dunia.

“Bagi saya ia bukannya satu atau dua tapak ke belakang. Ia seolah-olah ribuan tapak ke belakang. Pada saat di mana orang sudah mula menerima Islam secara positif, jauh daripada pandangan dan persepsi Islam itu agama keganasan dan pelbagai lagi sisi gelap Islam, kini situasi seperti 11 September, kembali berulang,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan, pengalaman Christina pada ketika itu merupakan krew penerbangan. Tidak lama selepas kejayaan kerajaan AS mematahkan cubaan serangan seorang Muslim Nigeria, ketika itu dia berada di dalam sebuah pesawat yang hendak berlepas, salah seorang rakan krew yang mundar-mandir di dalam pesawat membuka bicara mengenai insiden tersebut.

Mereka berdua berulang kali mengatakan dengan nada marah dan tidak puas hati, “Orang Muslim tidak seharusnya berada di AS. Saya berharap sangat mereka semua mati. Malah mereka terus-menerus mengatakan pelbagai hal tentang Islam,” kenang Christina.

Pada saat itulah, Christina mulai faham, bagaimana pandangan majoriti warga AS tentang Muslim. Banyak yang tidak tepat, malah ada yang tidak berasas. Ingin sangat dia membetulkan pandangan salah dua krew lelaki itu tadi.

Namun, Christina memilih untuk berdiam, apatah lagi memberitahu bahawa dirinya sebenarnya seorang Muslim. Bagaimanapun, perbualan mereka itu benar-benar membebani kotak fikiran Christina.

Bagaimanapun, peristiwa itu sedikitpun tidak membuat beliau putus harapan. Baginya, suatu masa nanti, pasti rakyat AS akan melakukan sepertinya, mempelajari sendiri bagaimana Islam yang sebenarnya.

Mengakui dirinya masih dalam prose s pembelajaran selain berazam akan bertudung suatu hari nanti. Insya-Allah.

Sumber: MUSLIM IN MICHIGAN

utusan online

Monday, February 7, 2011

Allah sentiasa bersama kita

walau apa pun kerja yang kita lakukan yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat dan bersama kita. - Gambar hiasan

Mukadimah
Surah al-Dhuha termasuk dalam surah Makiyyah. Keseluruhan ayatnya berjumlah 11 ayat dan diturunkan selepas surah al-Fajr.

Hubungan surah ini dengan surah al-Lail, dalam surah al-Lail disebutkan tentang (Dan orang yang paling takwa akan dijauhkan daripadanya).

Disebabkan pemimpin daripada orang yang paling bertakwa itu adalah Rasulullah SAW, maka Allah SWT menyempurnakan penjelasan tentang perkara ini dengan menyebut pelbagai kenikmatan-Nya yang telah dianugerahkan kepadanya.

Firman Allah SWT: Demi waktu dhuha.

Ibn Jauzi berkata: Ulama menyebut empat pendapat berkenaan waktu dhuha.

* Terangnya siang hari seperti pendapat Mujahid.

* Awal hari seperti kata Qatadah.

* Awal masa daripada siang hari apabila matahari naik. Inilah pendapat al-Suddi dan Muqatil.

* Siang hari keseluruhannya. Ini pendapat al-Farra’.

Firman Allah SWT: Dan malam apabila ia sunyi-sepi.

Berkenaan dengan maksud ayat ini ada beberapa pendapat:

* Apabila gelap.

* Apabila sudah pergi. Yang kedua-duanya diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a.

* Apabila datang seperti pendapat Sa’id bin Jubair.

* Apabila tenang seperti pendapat ‘Ata, Ikrimah dan Ibn Zaid.

Firman Allah SWT: (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Syed Qutub berkata: Allah tidak sekali-kali membiar dan membuangmu sebagaimana dikatakan oleh kaum Musyrikin yang mahu menyakiti hatimu dan merungsingkan fikiranmu.

Sebabnya, Dia adalah Tuhanmu dan engkau adalah hamba-Nya yang dihubungkan kepada-Nya dan disandarkan kepada Rububiah-Nya dan Dialah Penjaga, Pelindung dan Penaungmu.

Limpah kurnia-Nya kepadamu tidak kunjung putus. Balasan-balasan yang disediakan unutkmu di akhirat adalah lebih baik dari limpah kurnia-Nya yang diberikan kepadamu di dunia.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

Al-Maraghi berkata: Keadaanmu pada permulaan masa hidup barumu sekarang lebih baik daripada masa-masa lalu.

Setiap hari engkau akan bertambah mulia. Setiap hari martabatmu akan semakin tinggi jika dibanding dengan sebelumnya.

Setiap saat Aku akan memberimu kehormatan demi kehormatan, ketinggian demi ketinggian.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda berpuas hati.

Ibn Kathir berkata: Yakni, di alam akhirat kelak, Dia akan memberikan kurnia kepada beliau sehingga dia meredainya untuk memberi syafaat kepada umatnya dan menerima apa yang telah disediakan untuk beliau berupa kemuliaan.

utusan online

Wednesday, February 2, 2011

Banyak ketawa hati mati



SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan. Manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa.

Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam.

Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama baginda di medan peperangan.

Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud: Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (pada akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan. (at-Taubah: 82).

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi. Tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati (riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)."

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Perbuatan itu dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat.

Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri. Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.

Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

utusan online

Abu Jahal mati dalam Perang Badar



Oleh SITI AINIZA KAMSARI

AKHIRNYA kepala Abu Jahal berjaya dipenggal oleh Abdullah bin Mas'ud dalam Perang Badar, sekali gus membawakan kemenangan kepada tentera Islam apabila ketua tentera kafir Quraisy berjaya dibunuh.

Namun Abu Jahal atau nama sebenarnya Amr bin Hisham atau dikenali juga sebagai Abu Al Hakam akan sentiasa menjadi satu figura yang melambangkan kejahatan seorang manusia tidak sahaja dalam soal agama malah terutama sekali soal akhlak.

Terkenal dengan sikap sombong dan bongkak, Abu Jahal suatu gelaran yang diberikan kerana jahil dalam agama (Bapa kepada segala kejahilan).

Namun kejahilan Abu Jahal di sini bukan bermakna beliau seorang yang bodoh, dungu atau buta mengenai Islam. Dia tahu bahawa agama itu agama yang benar.

Tinggal lagi hanya kerana tidak mahu kehilangan kedudukan, pangkat, nama dan pengaruh apabila mendapati Nabi Muhammad yang diutus untuk membawa dan menyebarkan Islam itu, yang jauh lebih muda daripada Abu Jahal, dikatakan cuba merampas semua itu daripadanya.

Kerana itu juga beliau dikenali sebagai Abu Al Hakam, bermaksud seorang yang bijaksana dan mengetahui segala serba serbi yang memberikan beliau satu kedudukan yang cukup lumayan, tinggi dan hebat oleh masyarakat Arab Quraisy.

Tetapi bila hadirnya Nabi Muhammad, mengapa tidak dia sahaja dipilih sebagai Rasul yang dikatakan lebih mulia, lebih bangsawan dan mempunyai kedudukan. mengapa Muhammad? Mengapa tidak Abu Jahal?

Lalu perasaan hasad seperti itu menyebabkan Abu Jahal cukup dengki terhadap baginda Rasulullah.

Maka tidak henti-henti dia menyakiti baginda, malah seluruh para pengikut baginda dan pantang sekali sesiapa yang menyebut mengenai Islam di hadapannya.

(Begitu pun dikatakan Nabi Muhammad sendiri tidak pernah berputus asa untuk menyeru dakwah kepada Abu Jahal. malah dikatakan baginda pernah menjadi tetamu Abu Jahal sebanyak 70 kali semata-mata tujuan dakwah dan berbaik sesama manusia).

Namun Abu Jahal walaupun pernah ditakutkan dengan kehadiran unta sebesar raksasa ketika hendak membunuh Rasulullah, tidak pernah mengenal erti serik untuk terus menyakiti Nabi Muhammad dan umat Islam di Mekah.

Bahkan apabila Nabi Muhammad terpaksa meninggalkan Kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, Abu Jahal adalah manusia yang paling gembira sekali.

Seolah-olah dia telah mencapai kemenangan besar kerana berjaya mengusir musuh ketatnya keluar dari Mekah.

Sehingga kini nama Abu Jahal tetap relevan untuk diguna pakai.

Sedangkan Abu Jahal itu seorang yang kafir dan masyarakat Melayu yang sudah tentunya beragama Islam tetapi pada hari ini jika berperangai tidak ubahnya seperti Abu Jahal pasti akan dilemparkan kata-kata: "Jahat atau degil macam Abu Jahal!"

Jahatnya Abu Jahal itu telah menyebabkan Allah menunjukkan kekuasan-Nya di hadapan Abu Jahal itu sendiri agar dia sedar. Namun tetap jugalah dia degil pada tahap yang melampau-lampau.

Ini apabila kita mengambil iktibar daripada kisah hamba sahaya milik Abu Jahal sendiri, iaitu seorang hamba perempuan yang bernama Zunairah yang memeluk Islam. Dia cuba menyembunyikan pengislamannya itu daripada pengetahuan majikannya. Ini kerana jika diketahui Abu Jahal, pasti maut yang akan menunggu.

utusan online

Puteri dan isteri khalifah



PADA suatu pagi, Ummu Kalsum bermain seorang diri. Abangnya, Hasan dan Husin sudah keluar, tidak diketahuinya ke mana mereka pergi. Ayahnya, Ali bin Abi Talib pula sudah keluar sejak awal pagi lagi bagi mencari nafkah. Ibunya, Fatimah az-Zahra sudah lama meninggal dunia. Tinggallah Ummu Kalsum bersendirian, menunggu kepulangan ayah dan abang-abangnya.

"Wahai Ummu Kalsum, ke mana kedua abangmu?" Ali yang baru pulang bersuara apabila melihat Ummu Kalsum saja di rumah.

"Saya tidak tahu, ayah. Barangkali, abang-abang pergi rumah mak cik Asma' bermain dengan Muhammad, Aun dan Abdullah," jawab Ummu Kalsum dengan fasih.

"Mengapa kamu tidak pergi ke sana bersama mereka? Tentu kamu sunyi tinggal di rumah," kata Ali lagi.

"Tidak mahulah, ayah. Mereka semua lelaki, saya perempuan," jawab Ummu Kalsum.

Ali tersenyum mendengar jawapan puteri kesayangannya itu. Nampaknya, Ummu Kalsum semakin matang sekarang kerana sudah ada sifat malu dalam dirinya pada kaum lelaki.

Ali teringat pada sahabatnya, Umar bin Khattab. Beberapa hari lalu, Umar datang bertemunya. Kata-kata Umar kembali terngiang-ngiang di telinganya.

"Wahai Ali, nikahkanlah daku dengan puterimu Ummu Kalsum".

Ali sedikit terkejut mendengar kata-kata sahabatnya itu. Ummu Kalsum masih kecil dan belum masanya bagi dinikahkan. Lagi pula, Ali bercadang hendak menikahkah Ummu Kalsum dengan anak saudaranya, iaitu anak kepada Jaafar bin Abi Talib.

"Sebenarnya aku hendak menikahkan Ummu Kalsum dengan anak-anak Jaafar," kata Ali berterus terang.

Namun, Umar terus mendesak. "Wahai Ali, nikahkanlah aku dengan Ummu Kalsum. Aku yakin, tidak ada orang lain yang besar harapannya supaya dapat hidup bersama Ummu Kalsum melebihi harapanku," kata Umar.

Ali masuk ke biliknya, lalu mengambil sehelai kain. Kemudian, dia keluar semula mendapatkan Ummu Kalsum.

"Ummu Kalsum, mari ke sini sebentar," Ali memanggil Ummu Kalsum yang masih leka bermain.

Ummu Kalsum meletakkan permainannya lalu menghampiri ayahnya.

"Pergilah berjumpa Amirul Mukminin dan sampaikan salam ayah kepadanya," kata Ali, sambil menyerahkan lembaran kain yang dilipatnya kepada Ummu Kalsum.

"Bagi kain ini, ayah?" Tanya Ummu Kalsum.

"Tunjukkan kain ini kepadanya. Suruhlah dia ambil kain ini jika dia suka, dan jika tidak suka, suruhlah dia kembalikan," terang Ali.

"Baiklah ayah. Saya pergi sekarang," kata Ummu Kalsum, lalu berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah Umar.

Umar tersenyum apabila melihat kedatangan Ummu Kalsum. Ummu Kalsum segera menyampaikan salam ayahnya, dan menyerahkan kain itu kepada Umar.

"Aku suka. Semoga Allah memberkatimu dan ayahmu," kata Umar ringkas.

Ummu Kalsum segera pulang ke rumahnya, lalu mendapatkan ayahnya yang sedang menunggu kepulangannya.

"Ayah, Amirul Mukminin tidak melihat pun kain yang kubawa ini, sebaliknya hanya memandangku saja," ujar Ummu Kalsum.

Ali tersenyum mendengar kata-kata Ummu Kalsum. Ali pun memberitahu puterinya itu bahawa, dia akan dinikahkan dengan Umar tidak lama lagi.

Sesudah berkahwin dengan Umar, Ummu Kalsum dengan cepat dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru sebagai isteri Amirul Mukminin. Namun, ia bukanlah kehidupan mewah di istana yang besar, memakai perhiasan yang mahal, pakaian yang bagus dan dilayan oleh dayang-dayang.

Sebaliknya, dia hidup dalam keadaan yang sederhana dan serba kekurangan. Ini kerana, Umar memilih hidup yang sederhana seperti yang dilalui oleh Rasulullah dan khalifah Abu Bakar bin Siddiq.

Suatu malam, Ummu Kalsum bersiap-siap mahu tidur. Hari sudah lewat malam, namun, Umar masih belum pulang. Belum sempat Ummu Kalsum melelapkan mata, dia mendengar suara Umar di pintu.

"Assalamualaikum!" Umar memberi salam sambil mengetuk pintu. Ummu Kalsum bangun membuka pintu. Umar segera masuk ke dalam rumah.

"Apa yang berlaku, wahai Amirul Mukminin? Aku lihat seperti ada sesuatu yang menyusahkan dirimu," ujar Ummu Kalsum.

"Benar. Sekarang aku ingin bertanya, mahukah kau menerima pahala yang Allah datangkan kepadamu malam ini?" Tanya Umar.

"Sudah tentu! Tetapi apakah perkaranya?"" Tanya Ummu Kalsum.

"Ada perempuan asing di pinggir kota ini hendak melahirkan anak. Tidak ada sesiapa pun yang membantunya".

"Jadi kau mahu aku membantunya? Baiklah, akan aku lakukan," kata Ummu Kalsum.

"Bawalah segala benda yang diperlukan olehnya," kata Umar. Dia sendiri terus menuju ke dapur lalu mengambil periuk, mentega, tepung dan biji-bijian.

Selepas semuanya siap, mereka berdua berangkat ke pinggir kota Madinah. Ummu Kalsum membawa barang-barang keperluan wanita itu dan bayinya, manakala Umar memikul periuk dan bahan-bahan masakan bagi membuat roti.

Selepas beberapa lama berjalan, mereka tiba di sebuah khemah. Dari jauh, Ummu Kalsum dapat mendengar suara wanita yang sedang menahan kesakitan hendak melahirkan. Ummu Kalsum segera masuk ke dalam khemah bagi membantu wanita tersebut.

Umar pula menyalakan api bagi memasak makanan. Dia meminta suami wanita itu menolongnya. Umar sendiri yang mengadun tepung dan memasaknya sehingga menjadi roti.

Tidak lama sesudah itu, bergemalah suara tangisan bayi memecah kesunyian malam. Ummu Kalsum segera keluar dari khemah dan mendapatkan Umar.

"Wahai Amirul Mukminin, berilah khabar gembira kepada temanmu bahawa dia mendapat bayi lelaki," kata Ummu Kalsum kepada Umar.

Lelaki bersama Umar itu terkejut mendengar kata-kata Ummu Kalsum. Barulah lelaki itu sedar, yang menolongnya sekarang adalah Amirul Mukminin Umar bin Khattab bersama isterinya Ummu Kalsum.

Malam itu, Ummu Kalsum pulang ke rumahnya dengan rasa puas, kerana dapat menolong orang yang memerlukan bantuan. Demikianlah sikap suka menolong yang ada dalam diri Ummu Kalsum.

Ummu Kalsum menjadi janda selepas Umar bin Khattab meninggal dunia kerana dibunuh oleh Abu Lu'lu'ah ketika beliau sedang menjadi imam solat Subuh di masjid. Sesudah itu, Ali menikahkan Ummu Kalsum dengan saudaranya Aun bin Jaafar. Selepas Aun meninggal dunia, Ummu Kalsum berkahwin pula dengan Muhammad bin Jaafar dan akhir sekali dengan Abdullah bin Jaafar.

Ummu Kalsum meninggal dunia ketika menjadi isteri Abdullah. Dia meninggal dunia saat melihat kematian puteranya, Zaid bin Umar.

l PETIKAN daripada buku Doa Gadis Baitulmaqdis terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

utusan online

Tuesday, February 1, 2011

banjir teruk di segamat johor

Oleh MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN
dan FARIZ FIKRI ZOLKARNAIN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 Feb. – Malaysian Relief Agency (MRA) bertindak pantas menggerakkan jenteranya malam ini untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan logistik kepada mangsa banjir di Segamat, Johor yang merupakan daerah paling teruk terjejas akibat bencana alam itu.
Timbalan Presiden MRA, Dr. Ishak Masud berkata, pihaknya akan menggunakan Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA yang dilancarkan pada 8 November tahun lalu bagi membeli keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Malam ini MRA akan bergerak ke Segamat untuk meninjau tempat yang sesuai dijadikan pusat bantuan utama berdasarkan jumlah mangsa banjir yang lebih tinggi berbanding kawasan lain.
“Kemudian, MRA akan menghantar dua buah lori muatan lima tan yang membawa bahan logistik seperti air mineral, susu, lampin, tuala wanita serta makanan kering pada keesokan harinya untuk diberikan kepada mangsa banjir di Segamat menggunakan Dana Bantuan Mangsa Banjir Utusan-MRA.
“Pasukan perubatan juga akan dihantar ke Segamat yang terdiri daripada doktor dan jururawat dengan kerjasama Hospital al-Islam dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik, Pengarah Emergency Relief, Khairil Annuar Khalid dan Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said.
Menurutnya, kira-kira RM50,000 akan diperuntukkan pada peringkat awal untuk membeli bahan keperluan bagi mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di sekitar Johor.
‘‘Bagi mereka yang ingin menderma untuk dana bantuan mangsa banjir, sumbangan boleh dilakukan melalui akaun: MALAYSIAN RELIEF AGENCY di nombor akaun 5640-9820-6365 (Maybank) atau menghubungi talian 03-26972007 atau layari laman web www.mra.my,’’ ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) hari ini turut melancarkan dana bantuan banjir untuk membantu mangsa-mangsa di dalam dan luar negara.
Presidennya, Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, persatuannya kini sibuk membantu mangsa banjir di Johor dan tidak menolak kemungkinan akan ke Batticaloa, Sri Lanka untuk misi yang sama.
‘‘Semalam, para sukarelawan telah pun mengedarkan beberapa peralatan kebersihan diri kepada 486 keluarga di pusat pemindahan sementara sekitar Sungai Tiram, Johor Bahru dan Kuala Sengka, Kluang.
‘‘Kami bekerjasama dengan pihak lain dan bersiap sedia untuk menyalurkan apa-apa keperluan pada masa akan datang,” katanya.

utusan online

Banjir: Empat negeri semakin buruk

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY KAMIL MASLIH, FAZRINA AYU RADUIAN, AINOL AMRIZ ISMAIL dan AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 Feb. - Keadaan banjir di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan semakin meningkat.
Setakat petang ini, mereka yang dipindahkan di 356 pusat pemindahan sementara di empat negeri terbabit kini mencecah 60,389 orang berbanding 46,206 semalam.
Di JOHOR, daerah Segamat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 19,6111 orang ditempatkan di 88 pusat pemindahan.
Ia diikuti Kluang dengan 11,299 mangsa yang dipindahkan ke 48 pusat pemindahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, secara keseluruhan sebanyak 13,820 keluarga terlibat dalam bencana itu.
Berikutan itu, kementeriannya telah menggerakkan sepenuhnya jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa.
"Jaminan kami bekalan makanan serta keperluan lain kepada mangsa banjir ini adalah mencukupi dan kami memantau secara berterusan.
"Kementerian juga telah melakukan banyak persiapan dan kami bersedia sekiranya bencana banjir ini berlarutan," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Labis hari ini.
Di NEGERI SEMBILAN , jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan di seluruh negeri ini kini menurun kepada 2,393 orang walaupun cuaca dilaporkan terus mendung dan hujan di sekitar daerah Gemas, Kuala Pilah dan Jempol.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,568 adalah penduduk di kawasan Gemas yang melibatkan 315 keluarga.
"Semalam, mereka yang dipindahkan akibat banjir di seluruh negeri ini ialah 4,198 orang.
"Pekan Gemas dan Taman Sungai Gemas paling terjejas dan air ketika ini masih belum surut sepenuhnya selepas ia mencecah sehingga paras bumbung rumah semalam," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Gemas.
Pada masa sama, daerah Tampin, Felda Sungai Kelamah dan Air Kuning Selatan turut terjejas, begitu juga Felda Jelai 4.
Di MELAKA, keadaan banjir tidak banyak berubah terutama bagi kawasan Melaka Tengah dan Alor Gajah ketika penduduk di daerah Jasin mula berpindah ke rumah masing-masing apabila air mulai surut.
Keseluruhan mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin ialah 4,166 orang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kawasan Melaka Tengah terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir daripada 316 orang semalam kepada 2,161 sehingga lewat petang ini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan lima lagi pusat pemindahan sementara dibuka hari ini bagi menampung jumlah mangsa yang semakin meningkat di kawasan Melaka Tengah.
Beliau berkata, lima pusat pemindahan yang dibuka hari ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, SMK Munshi, Bilik Bacaan Bertam Malim, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Malim dan Dewan Japerun.
''Keadaan banjir di kawasan Melaka Tengah nampaknya makin buruk dan jumlah mangsa dipindahkan pula semakin bertambah hingga kita terpaksa membuka lima lagi pusat pemindahan sementara.
''Di Alor Gajah pula masih terdapat kira-kira 380 keluarga membabitkan 1,568 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan.
''Bagaimanapun, di Jasin banjir mulai surut sejak malam tadi dengan 10 pusat pemindahan telah ditutup dengan hanya lima lagi yang masih beroperasi dengan 93 keluarga membabitkan 437 orang setakat ini," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di SMK Munshi, Batu Berendam.
Di PAHANG, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,777 orang membabitkan 226 keluarga.
Sehingga lewat petang ini, semua mangsa banjir yang dipindahkan terdiri daripada penduduk dari 12 kampung di daerah Rompin, Bentong, Raub dan Temerloh.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, jumlah tersebut melibatkan 1,687 orang daripada 204 keluarga di Rompin dan 90 mangsa membabitkan 22 keluarga di Bentong.
Katanya, beberapa jalan di Bera dan Rompin ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air setinggi 1.5 meter hingga dua meter.
"Jalan tersebut ialah Jalan Ladang Hwali, Jalan Ladang Trading dan Jalan Kampung Baru Bukit Ibam di Bera.
"Turut ditutup ialah jambatan Sungai Gayung dan jambatan Kampung Lubuk Batu di Rompin serta jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah," katanya.
Sementara itu, tambah beliau, beberapa penempatan turut terputus hubungan apabila paras air meningkat secara mendadak sehingga menjejaskan laluan utama.

utusan online