Thursday, March 17, 2011

Tawassul dalam bentuk seruan



Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Umat Islam perlu meyakini bahawa walaupun bertawassul itu diharuskan tetapi kuasa menyembuh dan menolong seseorang itu adalah hak mutlak Allah SWT. - Gambar hiasan

KE arah kesimpulan bicara kita ke arah memurnikan kefahaman tentang tawassul, kita akan meninjau pula beberapa catatan sejarah bertawassul secara menyeru Nabi SAW atau orang-orang yang mulia di sisi Allah SWT.

Sebahagiannya merupakan perbuatan para sahabat r.a. Sebagai anak buah didikan Rasulullah SAW, sudah tentu mereka ini boleh dijadikan ikutan kita dalam memahami persoalan agama seumpama ini.

Suatu contoh yang menarik adalah tawassulnya tentera muslimin dengan menyeru nama Nabi SAW dalam peperangan Yamamah, iaitu peperangan dengan tentera nabi palsu, Musailamah al-Kazzab.

Ibnu Kathir menyebut bahawa syiar atau slogan orang-orang Islam dalam peperangan Yamamah adalah: "Ya Muhammadaah!" (Wahai Nabi Muhammad! Tolonglah!).

Beliau berkata sebagaimana nasnya: Khalid ibn al-Walid r.a membawa bendera hingga berjaya melintasi kawasan musuh. Setelah itu, beliau melalui bukit, dan memerhatikan bagaimana caranya beliau dapat sampai dekat dengan Musailamah al-Kazzab dan membunuhnya.

Kemudian beliau kembali semula kepada barisan tentera. Lalu beliau berhenti di antara dua saf tentera dan berseru untuk berlawan seorang dengan seorang dari kalangan tentera musuh, "Aku adalah putera al Walid yang datang semula, aku adalah putera 'Aamir dan Zaid".

Kemudian dia melaungkan syiar kaum Muslimin iaitu, Ya Muhammadaah! (Al-Bidayah wa al-Nihayah: 6/324). Jelas daripada peristiwa ini bahawa para sahabat tidak merasa kekok menggunakan seruan ini walaupun ia seolah-olah merupakan suatu permohonan langsung kepada Nabi SAW untuk membantu mereka dalam peperangan tersebut.

Pada hakikatnya mereka tidaklah mengharap selain bantuan Allah SWT dengan keberkatan atau perantaraan Rasulullah SAW. Seruan itu juga sebagai himbauan inspirasi dan semangat jihad yang pernah mereka lalui bersama Rasulullah SAW.

utusan online

Sejarah mata wang Islam di Tanah Melayu

Oleh ROSMAH WATI AHMAD ZAKARIA

KEDATANGAN Islam ke Nusantara membawa seribu satu perubahan dan keindahan bersamanya. Walaupun terdapat pelbagai teori mengenai tempat pertama dan bila Islam sampai ke dunia Melayu, yang pasti ia membawa kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Islam di wilayah ini yang rata-ratanya dihuni oleh orang Melayu.

Salah satu perubahan besar yang boleh dilihat adalah pengeluaran duit oleh kerajaan Islam tempatan.

Kerajaan yang dipelopori oleh Kesultanan Melayu yang beragama Islam sama ada di Sumatera, Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu juga mengambil langkah yang sama dengan menempa duit kerajaan sendiri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Islam di kawasan lain.

Mata wang penting kerana kedudukan dunia Melayu yang menjadi pusat perdagangan antarabangsa bagi pedagang asing terutamanya dari Timur Tengah, Gujerat dan China.

Logam yang menjadi bahan utama dalam pembuatan duit seperti emas, perak dan timah adalah merupakan sumber asli yang banyak terdapat di dunia Melayu pada waktu itu.

Rekaan mata wang yang dihasilkan oleh pemerintah Islam di dunia Melayu mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan mata wang yang dihasilkan di Timur Tengah tetapi mempunyai sedikit persamaan dengan kerajaan Islam yang paling hampir dengan Asia Tenggara iaitu Kerajaan Islam di India.

Ciri-ciri mata wang Islam dunia Melayu adalah seperti berikut:

Ciri pertama, adalah bahasa yang digunakan di atas duit yang dikeluarkan.

Hampir kesemua mata wang Islam dunia Melayu menggunakan bahasa Arab dan tulisan Arab walaupun dunia Melayu mempunyai bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Ini secara tidak langsung menunjukkan kedudukan bahasa Arab yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu ketika itu.

Ciri kedua, adalah gelaran raja. Kebanyakan mata wang Islam dunia Melayu mempamerkan nama gelaran pemerintah Islam dalam bahasa Arab seperti, Al-Adil, Malik Al-Adil, Nasir al-Dunia Wa'l-Din, Al-Sultan Al-Adil dan Khalifah Al-Mukmin.

Gelaran-gelaran ini digunakan bagi menggantikan nama raja atau sebagai tambahan kepada nama raja atau ratu yang memerintah yang terdapat di atas duit tersebut ketika itu.

Ciri ketiga adalah tahun dan nama tempat ia dikeluarkan. Ciri ini tidak kelihatan bagi mata wang yang dikeluarkan pada abad ke 15 hingga 18 Masihi tetapi mula kelihatan dalam abad ke 19 Masihi.

Antara mata wang yang mempunyai tahun dan tempat ia dikeluarkan adalah mata wang dari Kelantan dan Kedah.

Daripada segi reka bentuk mata wang pula, dunia Melayu mempunyai bentuk mata wang yang pelbagai dan menarik. Antara bentuk yang sering digunakan adalah bulat dan segi enam.

Duit yang berbentuk segi enam pernah dikeluarkan oleh kerajaan Melayu seperti di Kedah dan di Johor. Bagi bentuk bulat pula terdapat dua lagi pecahan rekaan iaitu yang mempunyai lubang di bahagian tengah dan yang disusun dalam bentuk sebatang pokok.

Duit berbentuk bulat dan mempunyai lubang di bahagian tengah telah dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan, Patani dan Kedah. Rekaan bentuk ini dikatakan diadaptasi daripada mata wang yang di bawa dari China oleh pedagang China.

Bagaimanapun, mata wang yang dihasilkan di China mempunyai lubang berbentuk segi empat di bahagian tengah manakala di dunia Melayu lubangnya berbentuk bulat. Rekaan ini adalah bagi memudahkan duit tersebut diikat bersama menggunakan tali dalam jumlah tertentu.

Bagi duit yang disusun dalam bentuk sebatang pokok ia diberi nama pokok duit. Pokok duit diperbuat daripada logam timah dan ia keluarkan oleh kerajaan Kelantan dalam abad ke 18 Masihi. Ia boleh ditempa semula selepas duit berbentuk bulat yang dijadikan 'daun' atau 'buah' telah habis dipatahkan dan digunakan.

Pada sebatang pokok duit terdapat lima belas ranting yang mempunyai sehelai daun 'daun' atau sebiji 'buah' pada setiap satunya.

Mata wang di Semenanjung Tanah Melayu terus mengalami perubahan dari satu abad ke abad yang seterusnya. Ketika di bawah pengaruh British, mata wang Semenanjung Tanah Melayu mula menggunakan angka rumi dan tulisan jawi.

Tulisan jawi masih lagi kelihatan di atas wang kertas yang digunakan pada hari ini tetapi bahasa Arab telah terhenti penggunaannya sejak abad awal abad ke 20 Masihi kerana mata wang dunia Melayu telah mula dikeluarkan secara seragam selari dengan pembentukan negara Malaysia.

utusan online

Kaum 'Aad dimusnahkan Allah



MAKAM Nabi Hud a.s di Hadhramaut, Yaman.

Allah SWT mengutus Nabi Hud a.s kepada kaum 'Aad yang menghuni daerah al-Ahqaf di sekitar Hadhramaut, Yaman. 'Aad, suatu kaum yang dianugerahkan kelebihan daripada segi kekuatan tubuh badan, keelokan paras rupa dan kekuasaan, namun mereka berbuat syirik dan melakukan kezaliman dan menjajah hamba-hamba Allah.

Kaum 'Aad berkata: Siapakah yang lebih besar kekuatannya daripada kami. (al- Fussilat: 15). Seperti halnya Nabi Hud, kaum 'Ad juga merupakan keturunan Nabi Nuh, namun mereka tidak mengakui keesaan Allah SWT meskipun Nabi Hud telah memperingatkan mereka.

Oelh kerana itu, Allah SWT membinasakan mereka melalui azab-Nya.

Allah mengisahkan perdebatan antara Nabi Hud a.s dengan kaumnya menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Ad saudara mereka , Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada AIlah bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?" Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal, dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

Hud berkata: "Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku ini adalah utusan dari Rabb semesta alam.

Mereka berkata: "Apakah kamu datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah saja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh bapak-bapak kami, maka datanglah adzab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar."

Ia (Hud) berkata: "Sungguh sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Rabbmu. Apakah kamu sekalian hendak berbantah dengan aku tentang nama-nama (berhala) yang kamu dan nenekmu menamakannya, padahal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujah untuk itu. Maka tunggulah (azab itu), sesungguhnya aku juga termasuk orang yang menunggu bersama kamu". (al-'Araaf: 65-71)

Bahkan mereka meminta didatangkan azab Allah sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka menjawab "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari (menyembah) ilah-ilah kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang telah kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar".

Setelah itu Allah mendatangkan azab yang membentang di ufuk pada waktu mereka amat memerlukan hujan. Datanglah awan yang mereka anggap sebagai tanda datangnya nikmat hujan yang mereka nantikan, namun ternyata adalah azab Allah kepada mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera, (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa. (al-Ahqaf: 24-25)

Dalam ayat lain, iaitu dalam surat al-Haqqah ayat 6-8, Allah menjelaskan keadaan mereka, yang bermaksud: Adapun kaum 'Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kamu 'Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tanggul-tanggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka.

Syaikh 'Abdurrahman as-Sa'di mengatakan, setelah mereka menguasai dunia dan mencapai kemuliaan, semua keperluan hidup diperolehi, daerah dan kabilah di sekelilingnya tunduk kepada mereka, tiba-tiba Allah mengirim angin yang sangat dingin dan kencang saat hari-hari bencana tersebut agar mereka merasakan kehinaan di dunia dan azab akhirat lebih hina lagi.

Kaum Nabi Hud a.s dihancurkan Allah dengan angin yang sangat kencang dan cuaca teramat sejuk selama tujuh malam lapan hari, disebabkan kekufuran dan kemaksiatan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.

utusan online

Jelajah minoriti umat Islam Myanmar

Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
(Yang mengikuti rombongan jelajah Silaturrahim Kwantung, Myanmar)

Aziz Jamaludin Mhd. Tahir (bersongkok) menyerahkan sumbangan kepada wakil Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah.

Tidak ada kalimat yang lebih indah daripada menyeru ke jalan Allah sebagaimana firmannya yang bermaksud: Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan kebajikan dan berkata, "Sungguh,aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri). (Fussilat: 33)

Justeru umat Islam hari ini wajib mengembangkan amanah ini, menyampaikan risalah dan meninggikannya memenuhi cakerawala.

Berdakwah di jalan Allah SWT adalah aktiviti yang sangat mulia dan terhormat di sisi Allah. Tugas utama ini wajib dikerjakan baik secara perseorangan ataupun secara kolektif.

Justeru itu untuk memperolehi hasil yang optimum, dakwah harus dilakukan dengan semaksimum mungkin. Dengan kata lain, mengerah seluruh potensi yang ada iaitu waktu, tenaga, fikiran, harta hatta nyawa sekalipun.

Memahami hakikat ini Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baru-baru ini mengambil inisiatif mengadakan program Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung, Myanmar.

Ia bermula pada 15 hingga 19 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1432H - 16 Rabiulawal 1432H.

Ia diadakan sempena majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun 1432H/2011M.

Acara pelepasan (flag-off) konvoi Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung, Myanmar dilakukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Masjid Tuanku Zainal Abidin Putrajaya.

Konvoi jelajah ini diketuai oleh Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir. Ia disertai oleh 50 peserta terdiri daripada kakitangan Yadim, wakil media tempatan termasuk TV Hijrah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sesungguhnya program jelajah ini bukan untuk mengejar populariti atau untuk mencari keuntungan material, kepentingan peribadi mahupun duniawi. Sebaliknya, ia dilakukan atas landasan keimanan dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah SWT dan meraih keredaannya.

Justeru, umat Islam hendaklah selalu menyucikan niat dalam segala bentuk program termasuklah aktiviti penjelajahan ini. Sebabnya, niat yang suci akan menghilangkan egoisme dan sentiasa berorientasikan kepentingan ramai termasuk bangsa dan negara.

Program Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung ini mendapat restu serta kerjasama Kedutaan Malaysia di Myanmar. Wakil dan kaunselor, Wan Khalid turut sama menyertai sambutan Maulidur Rasul yang diraikan di rumah Al Haj U Hamzar, iaitu seorang pemimpin masyarakat Melayu Kawthaung.

Kebanyakan masyarakat Melayu Islam di sini masih fasih berbahasa Melayu loghat Kedah. Kawthaung (baca Kok Song) terletak di selatan Myanmar, bersempadan dengan Ranong (baca Raknong) di Thailand.

Terdapat 15,000 penduduk Melayu di Kawthaung dan bercakap dalam loghat utara Semenanjung Malaysia. Mereka menggunakan tulisan jawi dan berusaha mempertahankan jati diri Melayu.

Penjelajahan selama seminggu ini antara lain bertujuan meluaskan jaringan dakwah dan sahabat Yadim di samping mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat Islam di Kawthaung yang merupakan masyarakat minoriti Islam di Burma.

Usaha ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Sampaikanlah: "Wahai hamba-hambaku yang beriman! Berbaktilah kamu sekelian kepada Tuhanmu! Kebaikanlah untuk mereka yang berbuat baik di dunia ini. Dan bumi Allah itu luas... (al-Zumar: 10)

Falsafah yang perlu difahami dan dihayati adalah bumi ini memang luas sehingga tidak ada alasan bagi manusia untuk tidak berbuat baik dan berbakti kepada Allah.

Dengan perkataan lain, kita dianjurkan menjelajah bumi dan melihat kemungkinan yang ada di luar tempat atau negara kita.

Sepanjang jalan penjelajahan ini kami singgah di Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah simpang Kuala Alor Setar, Kedah.

Dalam kesempatan itu, Aziz Jamaludin turut melawat tapak pengajian yang musnah akibat kebakaran. Yadim kemudiannya menyumbangkan wang tunai RM10,000 dan RM10 juga untuk tahun-tahun seterusnya serta sumbangan al-Quran untuk pelajar tahfiz.

Dalam perjalanan balik dari Kawthaung, kami menyertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Dana Pembinaan Surau Sekolah Menengah Agama (SMA) Saadah Add-Diniyah Al-Islamiah, Sg. Limau, Yan di Kedah.

Pada sebelah malam, kami ke Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Kepala Batas, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang (Pondok Pokok Sena) bagi menyertai Program di Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Kepala Batas sempena sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian Watikah Penubuhan Sukarelawan Al-Falah.

utusan online

Waspada dalam berkata-kata

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari pernahkah kita terfikir untuk berhati-hati ketika meluahkan setiap perkataan daripada mulut kita?

Sememangnya boleh dikatakan semua orang memahami betapa pentingnya apabila mahu berkata-kata kerana jika tersilap langkah mereka boleh terjerumus ke dalam dosa.

Kita hanya sekadar menguar-uarkan pepatah kerana mulut badan binasa tetapi ramai yang tidak mematuhinya.

Pada dasarnya, ucapan mahupun perkataan merupakan cerminan jiwa. Maka itu, Nabi Muhammad SAW berpesan pilihlah kata-kata yang baik.

Dalam hal ini, baginda merupakan teladan terbaik. Setiap saat, Rasulullah senantiasa menggunakan kata yang baik dan lembut untuk umatnya.

Baginda menjauhkan kata-kata yang buruk, kasar, dan keji. Bahkan, Rasulullah sangat membenci jika ada kalimat yang digunakan tidak pada tempatnya yang sesuai. Misalnya, ada perkataan yang baik dan bermakna mulia namun diucapkan kepada orang atau sesuatu yang sebenarnya tidak berhak menyandang ucapan itu.

Begitulah juga sebaliknya, jika ada kalimah buruk dan bermaksud menghina tetapi ditujukan untuk orang atau sesuatu yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian memanggil orang munafik dengan panggilan tuan kerana jika dia memang seorang tuan, maka dengan panggilan itu kalian telah membuat Tuhan kalian murka".

Selain itu, umat Islam diminta menjaga ucapan yang mengandungi syirik. Seperti ucapan, "Aku meminta pertolongan kepada Allah dan kepadamu".

Sesuai tuntutan Rasulullah, mereka yang mengucapkan kalimat-kalimat seperti itu bererti telah menyekutukan atau sepadan bagi Allah SWT.

Dalam buku Berakhlak dan Beradab Mulia, Contoh-contoh dari Rasulullah, Saleh Ahmad asy-Syaami menambahkan, kalimat bernada mencela juga sebaik-baiknya dihindari. Peringatan itu juga disampaikan oleh Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan Bukhari, Muslim dan Muttafaaq alaih.

Rasulullah mengatakan: "Allah SWT berfirman, Anak keturunan Adam menyakiti-Ku, kerana mereka mencela masa, padahal Aku adalah Zat yang menciptakan dan menguasai masa. Aku yang menggantikan malam dan siang". Asy-Syaami menyatakan, perkataan yang mencela melahirkan kesalahan besar.

Menurut beliau, celaan yang diucapkan itu sebenarnya akan mengenai diri mereka sendiri. "Mereka telah berkata hal-hal yang tak patut," katanya.

Asy-Syaami menegaskan, ucapan-ucapan yang tak baik sama sekali tidak mendatangkan manfaat apa pun, sebaliknya, menjerumuskan seseorang ke jalan kebatilan. Ucapan yang buruk juga mendatangkan perpecahan dan pertikaian antara sesama manusia.

Termasuk yang perlu dijauhi adalah berkata bohong. Islam tidak memberikan keringanan bagi umatnya yang berbohong.

Ibn Qayyim dalam kitab al-Fawa'id mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap pembohongan. Sebab, kebohongan akan merosakkan cara pandang umat terhadap fakta yang sebenarnya.

Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengatakan, pembohongan akan mengiring pelakunya kepada kejahatan dan kejahatan akan menjerumuskan ke dalam neraka.

utusan online

Wednesday, March 9, 2011

Zaid Ibn Thabit tokoh penulis al-Quran

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Khalifah Uthman Ibn Affan adalah orang yang bertanggungjawab mengarahkan al-Quran ditulis dalam bentuk mushaf sebagaimana yang ada pada hari ini. - Gambar hiasan

SETIAP kali al-Quran diturunkan, Rasulullah SAW memanggil penulis wahyu untuk menulis ayat al-Quran. Zaid Ibn Thabit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengimla' al-Quran.

Selesai sahaja ditulis, Rasulullah SAW meminta supaya dibaca kepadanya. Jika terdapat kesilapan seperti tertinggal huruf atau kalimah, baginda akan membetulkannya.

Kemudian barulah ayat tersebut dibawa keluar untuk dibaca kepada sahabat yang lain.

Zaid telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan tulisan al-Quran.

Perbuatan beliau menulis wahyu di hadapan Rasulullah SAW dianggap sebagai hujah yang kuat bahawa penulisan al-Quran adalah Tauqifi.

Perbuatan menulis di hadapan Nabi SAW dan pengesahan daripada baginda adalah satu pengakuan atau disebut taqrir, di mana ia adalah sama dengan sunnah perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW.

Semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq r.a, antara sumbangannya adalah mengumpul al-Quran di satu tempat. Tenaga utama yang menjayakan usaha itu ialah Zaid dan Umar Ibn al-Khattab.

Kedua-duanya telah kepercayaan sepenuhnya untuk mengumpul dan menulis seluruh al-Quran. Namun bagi Zaid, dia menganggap bahawa rancangan menulis semula al-Quran adalah satu tugasan yang amat berat

Antara pujian dan kepercayaan yang diberikan oleh khalifah Abu Bakar kepada Zaid ialah beliau seorang pemuda yang tidak melakukan penipuan.

"Kamu adalah seorang yang adil, beramanah dan berilmu. Amanah yang diterimanya dari khalifah yang pertama untuk satu tugas yang amat berat itu telah dijalankan dengan jayanya," kata Abu Bakar.

Semasa pemerintahan Uthman Ibn Affan, berlaku pertelingkahan antara tentera Islam tentang bacaan al-Quran.

Jika tidak dibendung ia mungkin membawa mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.

Bagi menyelamatkan keadaan, Uthman telah mengambil satu tindakan iaitu menulis beberapa mushaf dan dihantar ke kota-kota Islam ketika itu.

Tenaga yang diberi tanggungjawab yang mencabar itu sudah tentu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam ilmu penulisan al-Quran.

Orangnya ialah tidak lain dan tidak bukan ketua yang mengetuai pasukan penulisan al-Quran itu ialah Zaid.

Namun, tugasnya bukan hanya berhenti setakat itu, Uthman juga telah melantiknya sebagai pengajar al-Quran di Kota Madinah.

Kesimpulannya, khidmat Zaid dalam menulis al-Quran amat besar, bermula pada zaman Rasulullah SAW. Bahkan ada yang menyatakan bahawa beliau hadir dalam perbentangan al-Quran terakhir Rasulullah di hadapan Jibril a.s pada Ramadan sebelum baginda wafat.

Beliau juga diberi tanggungjawab mengumpul al-Quran pada zaman Abu Bakar dan sekali lagi diberi amanah menyalin semula al-Quran pada zaman Uthman yang merupakan titik tolak penyebaran al-Quran secara meluas ke kota-kota Islam.

utusan online

Tuesday, March 1, 2011

Tentera Mekah lari bertempiaran

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERANG Badar merupakan antara ujian terbesar yang dialami oleh tentera Islam di Madinah. Lagi pula kekuatan yang dimiliki tentera kafir cukup luar biasa. Ia di luar jangkauan tentera Islam.

Tetapi akhirnya kemenangan memihak kepada tentera Islam.

Dalam peperangan itu, seorang demi seorang panglima tentera Quraisy yang terkenal dengan gagah perkasa. Ini menyebabkan bala tentera golongan kafir itu hilang semangat hingga bertempiaran lari meninggalkan medan perang.

Perang Badar berakhir setelah dikatakan berlangsung hanya beberapa jam. Ia bermula daripada terbit matahari 17 Ramadan dan tamat menjelang awal tengah hari pada hari yang sama.

Sebanyak 70 orang tentera kafir Mekah yang kebanyakan adalah para pemimpin dan orang kenamaan pembesar Quraisy terkorban. Sebanyak 70 orang lagi ditawan oleh tentera Islam.

Ia melibatkan lebih kurang 15 atau 16 peratus daripada tentera Quraisy terkorban. Manakala di pihak Muslim hanya 14 yang terkorban iaitu lebih kurang empat peratus daripada kekuatan keseluruhan.

Daripada jumlah itu, enam orang adalah kalangan Muhajirin dan lapan lagi yang terkorban adalah dari kalangan puak Ansar.

Kesemua mereka ini tentunya adalah sekumpulan para syuhada pertama dalam peperangan Islam yang menempahkan diri mereka masuk ke dalam syurga Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Talhah bahawa Nabi Muhammad kemudiannya mengarahkan kesemua mayat tentera kafir Quraisy dikumpul dan dihumbankan ke dalam sebuah perigi. Jenazah-jenazah tentera Islam dikebumikan di medan Badar itu.

Sebanyak 14 orang tentera Islam yang syahid dikuburkan di Badar. Sementara seorang lagi dikuburkan antara Badar dan Madinah iaitu dalam perjalanan pulang selepas perang.

Walaupun perang telah tamat dan tiada lagi musuh yang boleh mengancam keselamatan namun baginda dan bala tentera yang lain menunggu selama tiga hari di medan Badar sebelum pulang ke Kota Madinah.

Pada hari keempat baru baginda dan para pengikut yang lain pulang semula ke Madinah.

Sebelum pulang itu baginda sempat berdiri berhampiran dengan telaga yang telah dihumbankan ke dalamnya mayat-mayat anggota tentera kafir dan baginda pun menyeru nama-nama mereka yang mati itu berserta nama bapa-bapa mereka sambil berkata: "Sukakah kamu kalau kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya? Sesungguhnya kami telah mendapat apa yang dijanjikan Allah kepada kami adalah benar. Maka apakah kamu mendapati apa yang dijanjikan oleh tuhan kamu kepada kamu adalah benar?" Kata Rasulullah.

Lalu sahabat baginda, Umar Al Khattab pun menegur: "Wahai Rasulullah, mengapa engkau bercakap dengan jasad-jasad yang sudah tidak bernyawa itu?"

Baginda pun menjawab: "Demi diri Muhammad yang berada dalam kekuasaan-Nya, bukannya kamu yang lebih mendengar daripada mereka kerana mereka itu lebih mendengar tetapi hanya mereka tidak berupaya untuk menjawabnya sahaja!"

Sementara itu saki baki tentera musyrikin yang kalah dalam perang Badar bertempiaran lari. Mereka lari berselerakan ke merata lembah, bukit dan jalan tanpa haluan dalam keadaan yang sangat berkecamuk.

Mereka juga tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kekalahan teruk yang mereka alami itu dan malu yang amat sangat.

Ini kerana, penduduk kafir Mekah yakin mereka dapat mengalahkan tentera Islam dengan mudah.