Thursday, March 17, 2011

Jelajah minoriti umat Islam Myanmar

Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
(Yang mengikuti rombongan jelajah Silaturrahim Kwantung, Myanmar)

Aziz Jamaludin Mhd. Tahir (bersongkok) menyerahkan sumbangan kepada wakil Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah.

Tidak ada kalimat yang lebih indah daripada menyeru ke jalan Allah sebagaimana firmannya yang bermaksud: Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan kebajikan dan berkata, "Sungguh,aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri). (Fussilat: 33)

Justeru umat Islam hari ini wajib mengembangkan amanah ini, menyampaikan risalah dan meninggikannya memenuhi cakerawala.

Berdakwah di jalan Allah SWT adalah aktiviti yang sangat mulia dan terhormat di sisi Allah. Tugas utama ini wajib dikerjakan baik secara perseorangan ataupun secara kolektif.

Justeru itu untuk memperolehi hasil yang optimum, dakwah harus dilakukan dengan semaksimum mungkin. Dengan kata lain, mengerah seluruh potensi yang ada iaitu waktu, tenaga, fikiran, harta hatta nyawa sekalipun.

Memahami hakikat ini Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baru-baru ini mengambil inisiatif mengadakan program Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung, Myanmar.

Ia bermula pada 15 hingga 19 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1432H - 16 Rabiulawal 1432H.

Ia diadakan sempena majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun 1432H/2011M.

Acara pelepasan (flag-off) konvoi Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung, Myanmar dilakukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Masjid Tuanku Zainal Abidin Putrajaya.

Konvoi jelajah ini diketuai oleh Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir. Ia disertai oleh 50 peserta terdiri daripada kakitangan Yadim, wakil media tempatan termasuk TV Hijrah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sesungguhnya program jelajah ini bukan untuk mengejar populariti atau untuk mencari keuntungan material, kepentingan peribadi mahupun duniawi. Sebaliknya, ia dilakukan atas landasan keimanan dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah SWT dan meraih keredaannya.

Justeru, umat Islam hendaklah selalu menyucikan niat dalam segala bentuk program termasuklah aktiviti penjelajahan ini. Sebabnya, niat yang suci akan menghilangkan egoisme dan sentiasa berorientasikan kepentingan ramai termasuk bangsa dan negara.

Program Jelajah Maulidur Rasul dan Silaturrahim di Kawthaung ini mendapat restu serta kerjasama Kedutaan Malaysia di Myanmar. Wakil dan kaunselor, Wan Khalid turut sama menyertai sambutan Maulidur Rasul yang diraikan di rumah Al Haj U Hamzar, iaitu seorang pemimpin masyarakat Melayu Kawthaung.

Kebanyakan masyarakat Melayu Islam di sini masih fasih berbahasa Melayu loghat Kedah. Kawthaung (baca Kok Song) terletak di selatan Myanmar, bersempadan dengan Ranong (baca Raknong) di Thailand.

Terdapat 15,000 penduduk Melayu di Kawthaung dan bercakap dalam loghat utara Semenanjung Malaysia. Mereka menggunakan tulisan jawi dan berusaha mempertahankan jati diri Melayu.

Penjelajahan selama seminggu ini antara lain bertujuan meluaskan jaringan dakwah dan sahabat Yadim di samping mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat Islam di Kawthaung yang merupakan masyarakat minoriti Islam di Burma.

Usaha ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Sampaikanlah: "Wahai hamba-hambaku yang beriman! Berbaktilah kamu sekelian kepada Tuhanmu! Kebaikanlah untuk mereka yang berbuat baik di dunia ini. Dan bumi Allah itu luas... (al-Zumar: 10)

Falsafah yang perlu difahami dan dihayati adalah bumi ini memang luas sehingga tidak ada alasan bagi manusia untuk tidak berbuat baik dan berbakti kepada Allah.

Dengan perkataan lain, kita dianjurkan menjelajah bumi dan melihat kemungkinan yang ada di luar tempat atau negara kita.

Sepanjang jalan penjelajahan ini kami singgah di Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah simpang Kuala Alor Setar, Kedah.

Dalam kesempatan itu, Aziz Jamaludin turut melawat tapak pengajian yang musnah akibat kebakaran. Yadim kemudiannya menyumbangkan wang tunai RM10,000 dan RM10 juga untuk tahun-tahun seterusnya serta sumbangan al-Quran untuk pelajar tahfiz.

Dalam perjalanan balik dari Kawthaung, kami menyertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Dana Pembinaan Surau Sekolah Menengah Agama (SMA) Saadah Add-Diniyah Al-Islamiah, Sg. Limau, Yan di Kedah.

Pada sebelah malam, kami ke Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Kepala Batas, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang (Pondok Pokok Sena) bagi menyertai Program di Madrasah al-Khairiah al-Islamiah, Kepala Batas sempena sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian Watikah Penubuhan Sukarelawan Al-Falah.

utusan online

No comments:

Post a Comment