Thursday, March 17, 2011

Aidilfitri 'hadiah' menang Perang Badar

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sebagaimana yang kita ketahui, Perang Badar berlangsung pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah di saat buat pertama kalinya umat Islam diperintah melaksanakan ibadat puasa Ramadan dan begitu juga kewajipan menunaikan zakat fitrah.

Namun dengan kemenangan tentera Islam di medan Perang Badar itu disifatkan sebagai satu 'perayaan berganda'. Tentu sahaja satu perayaan yang besar-besaran apabila tidak lama selepas perang itu, umat Islam meraikan Aidilfitri pula kerana meraikan kemenangan berpuasa di sepanjang bulan Ramadan.

Itulah tahun pertama juga, Aidilfitri disyariatkan.

Menurut Al Mubarakfuri, perayaan ini merupakan anugerah Allah setelah dimahkotakan mereka dengan kemenangan dan kemuliaan selepas berjaya menentang pihak musuh yang paling nyata, iaitu kafir Quraisy.

Alangkah indahnya pemandangan solat sunat Hari Raya berjemaah yang mereka kerjakan setelah keluar dari rumah masing-masing sambil melaung-laungkan takbir dan tahmid.

Bagi memuji-muji kebesaran Allah dan meluahkan perasaan cinta yang memberikan mereka nikmat iman dan kini hidup dalam kesejahteraan di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang tidak sekadar ketua yang biasa!

Luar biasa apabila baginda mengeluarkan zakat sebelum detik Aidilfitri, selepas solat sunat dan berkhutbah, berpesan-pesan kepada umat Islam, baginda bersedekah terhadap semua golongan tanpa mengira miskin dan kaya!

Golongan kanak-kanak tentu sahaja yang paling gembira ketika itu kerana mendapat habuan sedekah daripada baginda!

Bertambah meriah lagi sambutan kerana dikatakan dalam tempoh ini juga baginda mengahwinkan anak perempuan, Fatimah Zahrah dengan sepupu baginda sendiri yang merupakan pahlawan Islam terbilang, iaitu Ali bin Abi Talib.

Namun suasana kebahagiaan itu ada sedikit tercalar dengan kesedihan apabila anak perempuan yang juga kesayangan baginda yang sebelum ini berkahwin dengan Uthman bin Affan, iaitu Ruqayyah meninggal dunia akibat sakit.

Namun tidak lama kemudian sahabat besar baginda itu, dikahwinkan dengan seorang lagi anak perempuan Rasulullah, iaitu Ummi Kalsum yang sekali memberikan gelaran kepada Uthman, iaitu Zun Nurain; pemilik kepada dua cahaya mata (Rasulullah) kerana dikahwinkan dengan dua puteri baginda Rasulullah.

Ummi Kalsum sebelum ini pernah disunting dan menjadi isteri kepada anak kepada Abu Lahab, iaitu Utaibah semasa zaman jahiliah. Tetapi puteri ketiga Rasulullah itu diceraikan atas perintah Abu Lahab yang tidak mahu anaknya bersekongkol dengan Rasulullah yang menjadi musuh ketat Abu Lahab.

Seperti yang disebut sebelum ini, iaitu kisah serangan curi oleh Abu Suffian terhadap sebuah kampung di pinggir Madinah, iaitu Perang Al Suwaiq, dikatakan berlaku pada bulan Syawal iaitu selepas Perang Badar.

Selepas bulan Syawal itu, maka masuklah pula bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah (bulan ke-11), Zulhijjah (bulan ke-12) dan bulan Muharam (bulan pertama dalam tahun hijrah berikutnya).

Tetapi apabila masuk bulan Safar, iaitu bulan kedua Hijrah, umat Islam di Madinah mendapat ancaman keselamatan dari puak atau Bani Ghatafan. Bani Ghatafan ini merupakan sebuah suku Arab kuno namun jumlah mereka agak besar mendiami di utara Madinah, iaitu di kawasan Najd.

Daripada mereka lahirlah tiga suku atau puak, iaitu Abs, Ashga dan Banu Thibyaan. Mereka terkenal kerana sering bersekutu dengan kafir Quraisy terutama dalam Perang Khandaq kelak.

Tetapi kali ini mereka tanpa disangka dikatakan telah bersedia menyerang umat Islam di Madinah.

Namun sebelum sempat mereka melakukan serangan terhadap Madinah, Rasulullah dan para sahabat yang dikatakan seramai 200 orang sudah terlebih dahulu sampai ke perkampungan mereka. Ini menyebabkan kebanyakan anggota Bani Ghatafan itu melarikan diri ke arah daerah kawasan bukit.

Justeru, baginda dan para pengikut memutuskan untuk berada di situ selama tiga hari dengan mendirikan khemah.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

utusan online

No comments:

Post a Comment