Thursday, June 16, 2011

Sambutan wira juara Piala FA



Ketua pasukan, Marzuki Yusof mengetuai konvoi perarakan pemain Terengganu yang membawa trofi Piala FA dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Dataran Shahbandar Kuala Terengganu, semalam. - utusan/ Shaifudin Mohd. Nor

KUALA TERENGGANU - Lebih 5,000 orang membanjiri Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam bagi menyambut kepulangan wira mereka bersama trofi Piala FA selepas mengalahkan Kelantan 2-1 pada final kelmarin.

Skuad penyu itu tiba di LTSM kira-kira pukul 4 petang sambil menjulang trofi Piala FA.

Menyertai kumpulan pemain termasuk Pengurus yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh; Setiausaha, Abdullah Salleh serta jurulatih pasukan, Irfan Bakti Alias.

utusan online

Mereka kemudian menaiki konvoi pacuan empat roda yang diarak sambil diiringi para penyokong dari Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) menuju ke Dataran Shahbandar, di sini.

Para pemain serta pegawai pasukan seterusnya diraikan pada satu majlis khas di Dataran Shahbandar yang turut disertai lebih 5,000 orang yang mahu menatap wajah wira-wira mereka bersama Piala FA dengan lebih dekat.

Lebih 1,000 profesor dijangka hadiri Kongres Profesor Negara

KUALA LUMPUR 15 Jun - Majlis Profesor Negara (MPN) akan menganjurkan Kongres Profesor Negara yang akan melibatkan lebih 1,000 profesor tempatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 6 dan 7 Julai ini.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Pengarah kongres tersebut, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kongres itu perlu digunakan oleh golongan tersebut untuk memberi pelbagai pandangan berdasarkan kepakaran mereka bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program transformasi.

''Dengan kepakaran dan ilmu pengetahuan yang ada pada golongan tersebut, idea dan cadangan yang diberikan mampu melicinkan usaha kerajaan merealisasi agenda transformasi negara.

''Apa yang diharapkan, resolusi daripada perbincangan tersebut dapat didengar oleh pemimpin negara dalam melakukan penambahbaikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kongres tersebut dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambahnya, dengan memperhalusi agenda transformasi negara, pertemuan tersebut dapat memperkukuh jaringan kerjasama di kalangan profesor dalam membahaskan agenda tersebut dari perspektif ilmu sejagat.

Apa yang menarik, kata Mohamed Mustafa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dijangka hadir dan memberi pandangan mengenai Malaysia sesudah mencapai Wawasan 2020.

Antara yang turut menyampaikan taklimat pada kongres tersebut ialah penerima Anugerah Profesor Ulung Negara, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Penasihat Sains Kerajaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid.

Dua penceramah antarabangsa yang turut diundang ialah Prof. Dr. Michael E. Porter dari Universiti Harvard dan sarjana Myanmar yang pernah bertugas dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Prof. May Htun.

utusan online