Friday, June 17, 2011

nor Mazlina raih anugerah penyelidikan



Nor Mazlina Abu Bakar (kiri) bersama Dr. Habshah Midi menunjukkan Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi di UniSZA, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nor Mazlina Abu Bakar meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi pada Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik, Institut Statistik Malaysia (ISM) baru-baru ini.

Ia berdasarkan penyelidikannya bertajuk Robust Diagnostic F for the Identification of Outliers in the Fixed Effect Panel Data Model yang dihasilkan bersama Pensyarah Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Habshah Midi.

Menurut Nor Mazlina, penyelidikan itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) beliau dengan Dr. Habshah dalam masa yang sama adalah penasihat pengajian Ph.D beliau.

"Penyelidikan yang kami hasilkan adalah penggabungan kaedah statistik teguh dan kaedah diagnostik bagi mengenal pasti data-data terpencil.

"Hasil penggabungan kedua-dua kaedah itu ternyata mempunyai impak yang besar dan berjaya menarik perhatian panel hakim dalam seminar itu," katanya ketika ditemui di UnisZA, di sini baru-baru ini.

Seminar anjuran ISM itu diadakan di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya yang turut disertai oleh hampir 300 peserta lain termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universti Teknologi Mara.

Dengan tema Memperkasakan Ahli Statistik dalam Membuat Keputusan seminar ini bertujuan menyediakan satu platform bagi ahli akademik dan pemain industri berkongsi penyelidikan dalam bidang berkenaan.

Nor Mazlina berkata, kajian yang lebih mendalam sedang dijalankan bagi menambah baik hasil kajian sedia ada dan seterusnya mengaplikasikannya dalam bidang ekonometrik.

"Dengan anugerah berkenaan, ia akan dikongsi bersama dengan penuntut di UniSZA sebagai panduan dalam penyelidikan pelbagai bidang statistik dan memberi lebih pendedahan tentang penggunaan ilmu itu dalam industri.

"Ia juga selaras dengan peranan yang mahu dimainkan oleh UniSZA untuk melahirkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam pelbagai disiplin ilmu," ujarnya.

utusan online

No comments:

Post a Comment