Sunday, March 9, 2014

MH370 jadi tumpuan dunia

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, menjadi tajuk utama sebahagian besar akhbar utama luar negara.
Antara media yang memaparkan berita tersebut ialah akhbar Australia, The Australian dan Sydney Morning Herald yang menjadikan isu berkenaan sebagai muka depan akhbar mereka.
Agensi berita seperti CNN, BBC News, Reuters, Associated Press (AP) dan Agence France-Presse (AFP) menjadikan isu tersebut sebagai berita utama, dalam laman web dan terus mengikuti perkembangan kejadian itu.
Akhbar US Today pula memaparkan isu pasport palsu dalam kejadian kehilangan pesawat itu, manakala akhbar United Kingdom, The Observer mendedahkan tentang tompokan minyak yang dijumpai di permukaan laut dalam laporan utamanya, Oil Slicks Spotted in Sea as Plane Disappears with 239 Feared Dead.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Eropah menerusi agensi berita Euronews, di samping The New York Times memaparkan tajuk utama, Passport Theft Adds to Mystery of Missing Jet Carrying 239 dan Washington Post melaporkan tajuk Passport Mystery Adds to Concern Over Missing Jet.
China turut memfokuskan kejadian itu melalui akhbar Beijing Bulletin yang bertajuk Passengers with Stolen Passport on Board Malaysian Airlines Flight serta akhbar Chicago Tribune memaparkan laporan muka depan bertajuk Malaysian Airlines Says Fearing the Worst for Missing Jet.
Pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi, kira-kira dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_22/MH370-jadi-tumpuan-dunia#ixzz2vX4in7Df
© Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Belum ada petunjuk baru

SEPANG 9 Mac - Belum ada petunjuk mengenai pesawat MAS MH370 sehingga kini walaupun terdapat penemuan tompokan minyak di lokasi mencari, namun ia belum disahkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140309/dn_61/MH370-Belum-ada-petunjuk-baru#ixzz2vX4yyUJ2
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Kerajaan nafi lambat salur maklumat

SEPANG 9 Mac - Kerajaan menafikan lambat menyalurkan berita dan maklumat terkini berhubung insiden kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China, awal pagi semalam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setiap maklumat yang diperoleh perlu ditapis terlebih dahulu dan hanya maklumat tepat boleh disalurkan kepada orang ramai.
"Tiada guna sekiranya kita beri maklumat dengan cepat tetapi tidak benar dan hanya berbentuk spekulasi.
"Perkara ini hanya menyebabkan ada ahli keluarga berasa sakit hati kerana mereka benar-benar memerlukan maklumat," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menyerahkan urusan mendapat maklumat kepada pihak profesional yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, tugas mengendalikan insiden sebesar itu tidak mudah, malah negara maju seperti Perancis juga menghadapi kesukaran ketika berlaku nahas membabitkan pesawat AirFrance pada 2009 di Lautan Atlantik hingga mengorbankan 228 penumpang.
Mengulas mengenai pelbagai berita tidak tepat yang dilaporkan dalam media baharu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mempercayai sebarang spekulasi tanpa disahkan oleh pihak berkuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_15/Kerajaan-nafi-lambat-salur-maklumat#ixzz2vX5DsTyS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Elemen keganasan disiasat


WARIS penumpang pesawat MAS, Arni Marlina (kiri) tidak dapat menahan kesedihan sambil dipujuk ahli keluarganya ketika menunggu berita perkembangan penumpang MH370 di Hotel Everly, Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Mac - Selepas lebih 24 jam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang secara tiba-tiba dan gagal dikesan sehingga kini, kerajaan menyiasat sebarang kemungkinan termasuk kewujudan elemen keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak menolak andaian tentang kewujudan elemen keganasan tersebut berkata, sebarang kemungkinan sedang disiasat pihak berkuasa sebelum kesimpulan dapat dibuat.
Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan segala langkah telah dan akan diambil bagi mengesan pesawat MH370 kerana kerajaan amat sedar kegelisahan keluarga mangsa terlibat yang mahu jawapan secepat mungkin.
"Itulah... Kita terpaksa mencari semua kemungkinan. Kita kena siasatan sebelum buat kesimpulan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Najib mengulas pengesahan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud bahawa kemungkinan besar pesawat MH370 berpatah balik ke Malaysia berdasar petunjuk yang dikesan radar TUDM.
Bagaimanapun kenapa dan pihak mana yang mengarahkan pesawat malang itu berpatah balik kekal misteri kerana tiada sebarang komunikasi berlaku dengan pusat kawalan udara sejak terputus hubungan dengan MH370.
Semalam, laporan media Amerika Syarikat yang memetik kenyataan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga tidak menolak sebarang aspek keganasan atau faktor lain sebagai punca kehilangan pesawat malang tersebut.
Mengenai keperluan menyemak semula protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Najib berkata, kerajaan bersedia berbuat demikian jika ada keperluan tetapi bukan dibuat berdasarkan andaian.
Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri memberitahu, Australia akan menghantar dua pesawat pengesan maritim tercanggih milik negara itu daripada jenis P-3C Orion bagi membantu mengesan pesawat MH370.
Kata Najib, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot menghubunginya bagi menawarkan bantuan tersebut atas rasa simpati serta hubungan akrab dua negara dan pesawat P-3C Orion akan berlepas petang ini.
"Sumbangan ini membantu kita. Saya ucapkan terima kasih kepada Abbot. Satu lagi contoh kerjasama masyarakat antarabangsa bantu kita kerana kawasan operasi kini telah diperluaskan dan perlu aset tambahan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_01/Elemen-keganasan-disiasat#ixzz2vX5OpZF6
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tiada petanda baharu kehilangan MH370

SEPANG 10 Mac - Tiada petanda baharu mengenai kehilangan pesawat MH370 ditemui setakat tengah hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, usaha mengesan di Laut China Selatan dan Selat Melaka gagal menemui sebarang serpihan pesawat.
"Laporan mengenai penemuan serpihan pintu pesawat oleh pasukan Vietnam tidak disahkan oleh pihak berkuasa negara itu," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_34/Tiada-petanda-baharu-kehilangan-MH370#ixzz2vX5rv3MX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PM mahu semua pihak berhenti cetus isu perkauman

KUALA LUMPUR 9 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak agar berhenti mengeluarkan sebarang ucapan atau kata-kata berbaur perkauman yang boleh mencetus persengketaan antara kaum.
Katanya, kemakmuran Malaysia wajib dipertahan kerana negara ini tidak dibina dengan mudah, sebaliknya telah banyak pengorbanan keringat serta nyawa ditumpahkan baik oleh pihak kerajaan mahu pun pejuang kemerdekaan sejak dahulu.
Tegas beliau, sebarang kealpaan, sikap buta sejarah dan mementingkan diri sendiri pihak tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti kumpulan lain hanya akan menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah kemusnahan.
"Kita bina negara ini bukan mudah. Banyak pengorbanan terpaksa dibuat. Janganlah kita musnahkan. Jangan bersikap alpa dan buta sejarah atau mementingkan diri sendiri demi kepentingan atau objektif politik.
"Negara ini mempunyai masa depan yang cukup cerah (hasil pentadbiran kerajaan Barisan Nasional), jangan kita musnahkan," katanya semasa berucap merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Dalam pada itu, Najib berkata, inisiatif penyatuan nasional lahir selepas kerajaan bimbang dengan perluasan polarisasi antara kaum dan menurutnya jika keadaan tersebut tidak ditangani dengan segera tidak mustahil malapetaka akan muncul.
Tambah Perdana Menteri walaupun masalah tersebut belum berada pada tahap serius tetapi langkah pencegahan dan penyatuan perlu dilakukan dengan segera kerana tiada guna untuk bertindak selepas sesuatu sudah musnah.
"Rakyat perlu memainkan peranan utama untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan ini kerana kerajaan hanya pemudah cara untuk memastikan polarisasi ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.
"Kita tidak mahu hanya selepas keadaan sudah parah baru hendak bertindak kerana keharmonian ini adalah nikmat tidak terhingga yang wajib dipertahankan semua pihak kerana tiada kemajuan tanpa keamanan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_03/PM-mahu-semua-pihak-berhenti-cetus-isu-perkauman#ixzz2vX6D3tK8
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Keluarga penumpang dari China tiba di KLIA

SEPANG 10 Mac - Keluarga penumpang pesawat MH370 warga China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Beijing, sekitar pukul 8 pagi ini.
Walau bagaimanapun, usaha petugas media untuk menemui keluarga berkenaan tidak berjaya kerana mereka di bawa keluar mengikut laluan khas.
Bilangan keluarga yang datang tidak diketahui kerana tiada maklumat mengenai perkara tersebut dan lokasi mereka akan dibawa juga tidak diketahui.
Terdapat seramai 152 penumpang warga China dalam pesawat MH370 yang hilang sejak kelmarin. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_32/Keluarga-penumpang-dari-China-tiba-di-KLIA#ixzz2vX6YgvIp
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Presiden UAE rasa sedih kehilangan pesawat MH370

KUALA LUMPUR 10 Mac - Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan melahirkan rasa sedih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Presiden China di atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menurut agensi berita Emirates (WAM), Sheikh Khalifa menyampaikan kesedihan yang mendalam kepada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Presiden Xi Jinping serta keluarga penumpang pesawat.
Naib Presiden, Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum turut menghantr perutusan yang sama kepada Tuanku Abdul Halim dan Presiden Xi.
Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE juga menyampaikan rasa simpati.
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang, lebih separuh daripadanya merupakan warga China hilang dalam penerbangan ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 pagi Sabtu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140310/lu_12/Presiden-UAE-rasa-sedih-kehilangan-pesawat-MH370#ixzz2vXxGFxhM
© Utusan Melayu (M) Bhd 



PM Australia nasihat rakyatnya tidak bimbang naik kapal terbang

MELBOURNE 10 Mac - Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menggalakkan warga Australia supaya terus melakukan perjalanan di sebalik kebimbangan bahawa pengganas mungkin terlibat dalam insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Enam rakyat Australia dan dua rakyat New Zealand adalah antara penumpang pesawat Boeing 777-200 yang hilang semasa dalam penerbangan enam jam dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Pihak berkuasa sedang meneliti kaitan insiden itu dengan keganasan, selepas dua daripada 239 penumpang pesawat berkenaan didapati menggunakan pasport curi.
Abbott berulang kali enggan membuat spekulasi berhubung kemungkinan wujudnya kaitan dengan keganasan apabila ditanya tentang perkara itu pada Isnin.
"Kita tidak boleh terus membuat kesimpulan," katanya kepada pemberita di Sydney seperti dipetik Australian Associated Press. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140310/lu_11/PM-Australia-nasihat-rakyatnya-tidak-bimbang-naik-kapal-terbang#ixzz2vXxpcspO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PDRM bekerjasama dengan agensi antarabangsa

KEMAMAN 9 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan agensi-agensi perisikan antarabangsa bagi menyiasat kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang masih menimbulkan tanda tanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu sidang akhbar hari ini enggan mengklasifikasikan kejadian itu berpunca daripada ancaman pengganas namun pada masa yang sama tidak menolak kemungkinan tersebut.
Beliau memberitahu, operasi menyeluruh telah digerakkan termasuk dengan kerjasama unit pemantauan udara serta anggota keselamatan dari rantau ini.
"Di pihak PDRM sendiri, kita sedang berusaha mengumpulkan apa juga maklumat risikan dan melihat kembali rakaman video berkaitan... iaitu daripada awal pagi Sabtu sehingga kapal terbang itu berlepas (ke Beijing).
"Kita tidak akan meninggalkan maklumat yang kita dapat dan melihat dari semua segi," ujar beliau dalam majlis penyampaian sumbangan kepada 147 anggota PDRM yang menjadi mangsa banjir Disember lalu, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.
Daripada jumlah itu, warga PDRM Kemaman paling banyak menerima bantuan iaitu seramai 95 orang manakala Dungun (45), Kuala Terengganu (5) dan Marang (2).
Masing-masing menerima bantuan sebanyak RM530 yang disumbangkan oleh Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, nama penumpang yang didakwa menggunakan pasport palsu sudah diserahkan kepada agensi perisikan negara dan antarabangsa untuk siasatan lanjut.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang bersama 12 anak kapal ke Beijing itu dilaporkan hilang daripada radar Kawalan Trafik Udara Subang, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam Sabtu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140310/je_04/PDRM-bekerjasama-dengan-agensi-antarabangsa#ixzz2vXzKHuD9
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Dakwaan terjumpa serpihan pintu pesawat hanya seikat kayu

SEPANG 10 Mac - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan penemuan pasukan mencari dan menyelamat Vietnam yang mengesan kemungkinan terjumpa objek berbentuk serpihan pintu pesawat di barat daya Pulau Tho Chu tidak benar.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, objek tersebut adalah seikat kayu yang kelihatan seperti tukun ikan.
"Kita sudah menghubungi pihak berkuasa Vietnam dan mereka sahkan tiada penemuan serpihan pesawat itu," katanya dalam sidang akhbar mengenai insiden kehilangan pesawat MH370 di perairan Laut China Selatan awal pagi Sabtu lalu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_43/Dakwaan-terjumpa-serpihan-pintu-pesawat-hanya-seikat-kayu#ixzz2vY0ehThn
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Nelayan turut diminta bantu salur maklumat

TUMPAT 10 Mac - Kira-kira 4,000 nelayan di negeri ini diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 yang dilapor mula terputus hubungan di perairan Laut China Selatan, kelmarin.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim berkata, golongan itu, khususnya nelayan laut dalam, diminta berbuat demikian jika menjumpai ‘sesuatu’ yang mencurigakan semasa di laut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_39/Nelayan-turut-diminta-bantu-salur-maklumat#ixzz2vY0oH0Ys
© Utusan Melayu (M) Bhd 


MH370 misteri yang tidak pernah berlaku-DCA

SEPANG 10 Mac - Pihak berkuasa mengibaratkan kehilangan pesawat MH370 sebagai misteri yang tidak pernah berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur pengganas.
"Siasatan pelbagai sudut dijalankan," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_35/MH370-misteri-yang-tidak-pernah-berlaku-DCA#ixzz2vY1AF6cs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment