Monday, March 10, 2014

Misteri kehilangan Malaysia Airline MH370 belum terungkai sampaike hari ini.

Laman web beri penghormatan kepada Zaharie

KUALA LUMPUR 10 Mac - Sebuah laman web tentang juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, telah diwujudkan sebagai tanda penghormatan dan untuk menjawab segala tohmahan terhadap beliau.
Laman tersebut menyiarkan maklumat dan penerangan kepada orang ramai untuk mengenali beliau dengan lebih baik sekali gus mengelakkan daripada berlaku sebarang pembunuhan karakter.
Bertajuk TRIBUTE: Who exactly is Malaysia Airlines Captain Zaharie Shah of MH370? (Siapa sebenarnya Kapten MH370 Malaysia Airlines Zaharie Shah?), laman web itu menulis bahawa Zaharie merupakan seorang juruterbang MH370 yang berani dan mereka amat mengetahui betapa minatnya beliau terhadap penerbangan.
Laman penghormatan tersebut turut menegaskan bahawa Zaharie merupakan seorang juruterbang yang boleh dipercayai dengan lebih 18,000 jam pengalaman penerbangan.
"Sebarang kemungkinan bahawa kehilangan pesawat tersebut disebabkan kesilapan juruterbang adalah tidak benar dan bukan punca kehilangan tersebut," kata laman web tersebut.
Gambar yang disiarkan pada laman web tersebut termasuk gambar kehidupan hariannya, koleksi permainan helikopter, sistem simulasi penerbangan Boeing 777 di rumahnya.
Selain minat yang mendalam terhadap penerbangan, sebuah video YouTube yang dimuat naik Zaharie berhubung tips yang berguna untuk memperbaiki peralatan di rumah telah dipaparkan.
Zaharie juga digambarkan sebagai seorang tukang masak amatur tetapi kreatif dengan hidangan yang berbeza setiap kali memasak antaranya bihun, udang mentega, kari ikan dan cendawan brokoli dan sambal tauhu.
Sebanyak 355 komen telah diposkan oleh pembaca pada laman web tersebut dengan yang pertama dibuat 12 jam selepas pesawat berkenaan bertolak ke Beijing, China, kelmarin.
Majoriti pengguna internet menyatakan kesedihan dan terkejut dengan kehilangan pesawat tersebut antaranya adalah: "Apa pun dia adalah seorang lelaki yang berani, dan dia adalah seorang juruterbang yang mengutamakan nyawa penumpangnya."
Satu lagi komen dari pembaca menyatakan: "Tolong jangan membuat sebarang andaian melainkan kita semua dimaklumkan mengenai keadaan sebenar. Rest in peace digunakan hanya jika kita yakin bahawa kapal terbang terhempas. Sekarang mari kita hanya berdoa mereka selamat".


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_18/Laman-web-beri-penghormatan-kepada-Zaharie#ixzz2vcnw09r8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Misteri belum terungkai, kawasan cari dan menyelamat terus diperluas


Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaminkan doa sebelum memulakan operasi mencari pesawat MAS MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan, di Pangkalan Maritim Tok Bali, Kelantan, semalam. - BERNAMA
SEPANG 10 Mac - Usaha mengesan pesawat MH370 hari ini diperluaskan sehingga 100 batu nautika (185.2 kilometer) dari lokasi terakhir pesawat dikesan oleh radar atau dikenali sebagai IGARI.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, operasi mencari dan menyelamat di Selat Melaka juga diperluaskan, termasuk menjangkau kawasan utara Sumatera.
Beliau berkata, setiap aset di udara dan laut telah ditugaskan dengan kawasan dan blok tertentu bagi memudahkan usaha cari dan menyelamat di kawasan yang semakin besar.
"Kita kembangkan kawasan carian selepas usaha mengesan dan mencari yang telah diadakan selama ini gagal menampakkan sebarang petanda.
"Usaha mencari dan menyelamat ini turut mengambil kira kemungkinan pesawat ini berpatah balik, selain laluan-laluan yang mungkin diambil," katanya dalam sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini malam ini.
Dalam pada itu, Azharuddin berkata, usaha mencari yang dijalankan sejak Sabtu lalu masih dikategorikan sebagai misi mengesan pesawat yang hilang.
Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang itu terus buntu dan belum menemui sebarang petanda penting.
Lebih mengecewakan, semua petunjuk awal mengenai kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu gagal dibukti atau tidak dapat disahkan.
Pasukan mencari dan penyelamat umpamanya telah dikerahkan ke satu kawasan perairan sekitar Pulau Tho Chu, Vietnam selepas menerima laporan penemuan objek mirip bot keselamatan di situ, tetapi tiada penemuan dilaporkan setakat malam ini.
Laporan mengenai penemuan serpihan pintu pesawat di sekitar Pulau Tho Chu juga disahkan sebagai seikat kayu yang kelihatan seperti pontun.
Dalam pada itu, kapal turut dihantar untuk menyiasat serpihan di timur perairan Ho Chi Minh, Vietnam dan selatan Hong Kong, tetapi hasilnya belum diketahui.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, pihaknya setakat ini, hanya melakukan uji kaji ke atas satu sampel minyak tetapi disahkan tidak mempunyai kaitan dengan pesawat Boeing.
Beliau berkata, walaupun tompok dan kesan minyak dijumpai di banyak tempat tetapi ia merupakan bahan yang tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.
"Banyak kesan minyak tidak berkaitan ditemui kerana terdapat bengkel kapal, selain kemudahan minyak dan gas di kawasan berhampiran.
"Kita turut mengesahkan bahawa objek yang dicurigai sebagai jaket keselamatan sebelum ini hanya merupakan kanvas berwarna oren," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_19/Misteri-belum-terungkai-kawasan-cari-dan-menyelamat-terus-diperluas#ixzz2vco1BLtk
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Masjid disaran lakukan solat hajat


Imam, Saidi Yusoff mengetuai solat hajat pelajar dan kakitangan Politeknik Kota Bharu membacakan doa bagi memohon keselamatan penumpang pesawat MH370 di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 10 Mac - Masjid-masjid di seluruh negara disaran melakukan solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Beijing Sabtu lalu.
Solat hajat tersebut perlu dilakukan sebagai tanda prihatin serta memohon mempermudahkan usaha pencarian pesawat itu.
Di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, semua pihak sedang bersedih dengan kejadian yang berlaku dan beliau berharap umat Islam bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk penumpang pesawat tersebut.
"Selain pihak masjid, ada juga pihak lain seperti pelajar universiti, sekolah, madrasah serta lain-lain lagi yang turut mengadakan solat hajat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, di KUANTAN, kira-kira 600 masjid di negeri ini telah diarahkan menunaikan solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang pesawat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri mengarahkan beliau memaklumkan perkara itu kepada setiap masjid di negeri ini.
"Apa yang berlaku itu bukan kehendak kita, jadi kita perlu sama-sama berdoa memohon kepada Allah supaya tidak terjadi perkara yang tidak diingini.
"Kita seharusnya bersabar dan jangan membuat spekulasi, marilah kita berdoa supaya pesawat itu dijumpai dan keselamatan penumpang yang menaikinya terpelihara," katanya.
Sementara itu, di KOTA BHARU, Jabatan Pengajian Politeknik mengarahkan kira-kira 100,000 warga politeknik di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan kesemua krew dan penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang Sabtu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohlis Jaafar berkata, solat hajat tersebut akan diadakan sehingga pesawat berkenaan ditemui.
Beliau berkata, tindakan itu merupakan ikhtiar dan bentuk sokongan warga politeknik kepada keluarga mangsa terlibat dan gerakan mencari serta menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Kita turut bersedih dengan musibah ini dan mahu bersama-sama mendoakan supaya segalanya dipermudahkan dan semoga penumpang serta anak kapal semua selamat.
"Saya difahamkan Politeknik Kota Bharu (PKB) telah mengadakan solat hajat sebanyak tiga kali bermula semalam dan akan diteruskan sehingga pesawat tersebut ditemui," katanya.
Di IPOH pula, 200 warga Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini mengadakan majlis bacaan surah Yasin dan solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang pesawat berkenaan.
Solat hajat yang diadakan di Pusat Islam PUO itu diimamkan oleh Pensyarah Unit Agama PUO, Mohd. Riffin Mohd.
Penyelaras Program, Mohd. Fadil Abdullah berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Siswa-siswi politeknik itu bagi memohon dipermudahkan usaha mengesan pesawat berkenaan.
"Ini adalah antara ikhtiar yang mampu dilakukan oleh warga PUO dalam sama-sama membantu menyelesaikan kebuntuan mengenai kehilangan pesawat itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_17/Masjid-disaran-lakukan-solat-hajat#ixzz2vco6OI7l
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Keluarga harap Puspanathan pulang dengan selamat

PUTRAJAYA 10 Mac - Walaupun sudah masuk hari ketiga pesawat MH370 hilang, ahli keluarga salah seorang penumpang, S. Puspanathan, 34, masih menaruh harapan agar lelaki itu pulang dengan selamat.
Sepupunya, S. Pusvaneswary, 36, berkata, Puspanathan merupakan seorang jurutera teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta dan menaiki pesawat itu untuk ke Beijing, China atas urusan kerja.
"Biarpun sehingga kini tiada khabar mengenai pesawat tersebut, kami sekeluarga sentiasa positif dan yakin dia akan pulang.
"Kami berharap Puspanathan cepat balik sebab dia adalah harapan keluarga dalam apa jua perkara," katanya ketika ditemui selepas melawat isteri Puspanathan, Seri Devi, 28 di Hotel Everly, di sini hari ini.
Puspanathan merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarganya dan mempunyai dua orang anak lelaki berusia tiga tahun dan setahun.
Mengulas perwatakan sepupu lelakinya itu, Pusvaneswary berkata, Puspanathan seorang yang ceria dan suka berjenaka selain mengambil berat hal ehwal keluarga.
"Dia ibarat adik kandung saya, kami merindui dia lebih-lebih lagi anak sulungnya yang sangat rapat dengannya.
"Puspanathan juga telah berjanji untuk mengadakan sambutan hari lahir adiknya setelah kembali dari Beijing nanti," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_15/Keluarga-harap-Puspanathan-pulang-dengan-selamat#ixzz2vcoAsy1r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sistem keselamatan KLIA patuhi piawaian antarabangsa

SEPANG 10 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai sistem kawalan keselamatan yang selari dengan piawaian antarabangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, KLIA perlu mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh DCA serta Organisasi Penerbangan Awam (ICAO) dan perkara itu diaudit dari semasa ke semasa.
"Selain disemak dan diaudit oleh DCA, sistem keselamatan KLIA turut diaudit oleh pentadbir keselamatan pengangkutan dari Amerika Syarikat dan pihak keselamatan dari Australia baru-baru ini," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azharuddin menegaskan sekali lagi, bagasi milik lima penumpang yang tidak menaiki pesawat MH370 pada saat-saat akhir telah dikeluarkan sebelum kapal terbang milik Malaysia Airlines (MAS) itu berlepas ke Beijing, China.
"Setiap bagasi mempunyai nombor siri yang unik untuk setiap penumpang. Berdasarkan nombor ini, semua bagasi milik lima penumpang yang tidak menaiki pesawat MH370 telah dikeluarkan.
"Ini bermakna semua bagasi di atas pesawat MH370 mempunyai pemiliknya," katanya.
Dalam pada itu, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tahap keselamatan di KLIA tidak diperketatkan kerana kerajaan belum menganggap kehilangan pesawat MH370 sebagai ancaman keselamatan daripada mana-mana pihak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_14/Sistem-keselamatan-KLIA-patuhi-piawaian-antarabangsa#ixzz2vcoFUfRZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Spekulasi RBA keruhkan lagi keadaan

KUALA LUMPUR 10 Mac - Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menyifatkan Red Bean Army (RBA) hanya mengeruhkan lagi keadaan apabila menyebarkan pelbagai spekulasi berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Berikut adalah kenyataan penuh Anuar:
l RBA perlu sensitif serta menghormati perasaan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370. Tidak perlulah mereka mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi yang mengeruhkan lagi keadaan. Tindakan mereka itu ibarat 'memerah limau ke atas luka' yang sedia ada dan tidak langsung membawa kebaikan terhadap semua pihak.
l Sewajarnya kita semua mengetepikan fahaman politik dan menyokong usaha pihak berkuasa mencari penyelesaian terhadap masalah ini. Saya percaya pihak berkuasa menyediakan tindakan terbaik dalam tugasan mereka. Saya juga menasihatkan pihak RBA agar jangan sesekali mendahului kenyataan pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan.
l Adalah lebih baik RBA mengeluarkan kenyataan yang memberi semangat serta perangsang kepada keluarga penumpang serta pihak berkuasa yang menyertai operasi mencari dan menyelamat. Tindakan sebegini tentunya lebih memberi manfaat daripada tindakan mereka yang sentiasa menyalahkan pihak berkuasa yang bertungkus-lumus dalam tugasan mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_13/Spekulasi-RBA-keruhkan-lagi-keadaan#ixzz2vcoKIbc1
© Utusan Melayu (M) Bhd 



20,000 nelayan bantu operasi

PUTRAJAYA 10 Mac - Sebanyak 20,000 nelayan laut dalam di seluruh negara telah digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,788 bot nelayan kelas C dan C2 akan terlibat dalam operasi tersebut yang tertumpu di perairan Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, para nelayan boleh membantu dengan menghubungi pihak berkuasa sekiranya mereka menjumpai sebarang objek di lautan semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut dengan jarak 12 hingga 30 batu nautika.
"Kementerian telah mengarahkan golongan tersebut membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, kita fikir mereka mempunyai kepakaran tersendiri dalam aktiviti di laut kerana di situ adalah kawasan mereka mencari rezeki.
"Arahan ini adalah susulan permintaan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu golongan nelayan turut membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat keluarga penumpang pesawat berkenaan di Hotel Everly, di sini hari ini.
Sempena lawatan itu, beliau turut mengagihkan makanan serta minuman kepada keluarga penumpang pesawat MH370 dan petugas media.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_12/20000-nelayan-bantu-operasi#ixzz2vcoQpu6T
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Bukan hanya Segi Tiga Bermuda

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kawasan Segi Tiga Bermuda seringkali dikaitkan sebagai kawasan misteri berikutan ratusan kapal laut dan kapal terbang dilaporkan hilang di kawasan yang menjangkau keluasan sehingga 1.2 kilometer persegi.
Antara kes-kes kehilangan kapal dan pesawat yang dilaporkan adalah kapal USS Cyclops (1918), kapal Carroll A. Deering (1921), skuadron pesawat pengebom Flight 19 (1945), pesawat British South American Airways (BSAA) Star Tiger (1948) dan pesawat BSAA Star Ariel (1949).
Kawasan yang dibentuk tiga lokasi iaitu Bermuda, Puerto Rico dan unjuran paling selatan Florida itu disifatkan sebagai 'Segi Tiga Syaitan' namun Jabatan Kawalan Perairan Amerika Syarikat (AS) sendiri tidak bersetuju dengan 'kuasa misteri' menjadi punca nahas-nahas yang berlaku.
Pemerhatian yang lebih teliti akan mendapati jumlah kes kapal dan pesawat yang hilang berdekatan kawasan tersebut tidak ada bezanya dengan jumlah kes yang berlaku di laluan utama pengangkutan laut dan udara di seluruh dunia.
Lebih-lebih lagi kawasan itu merupakan laluan trafik utama bagi kapal-kapal komersial dan peribadi dari seluruh dunia untuk menghubungkan pelabuhan-pelabuhan di Amerika Syarikat, Eropah dan kepulauan Caribbean.
Hakikatnya, masyarakat lebih mudah mempercayai kepada pelbagai teori konspirasi daripada kristal aktif yang dikatakan tapak bandar Atlantis yang tenggelam di dasar laut, penculikan oleh makhluk asing ataupun kawasan itu menjadi tempat tinggal Dajjal yang akan muncul pada era dunia kiamat.
Teori-teori popular yang gemar ditimbulkan oleh peminat-peminat sains pula adalah kejanggalan medan magnetik, perubahan dimensi waktu serta pelepasan gas metana dari dasar laut.
Mitos mengenai Segi Tiga Bermuda bermula daripada penjelajah tersohor, Christopher Colombus yang merekodkan pelbagai kejadian aneh disaksikannya di kawasan itu dalam log kapalnya bertarikh 8 Oktober 1492.
Antara catatan Colombus adalah kompasnya tidak berfungsi seperti biasa, anak-anak kapalnya menyaksikan 'cahaya yang menari-nari' di horizon dan Colombus juga menulis tentang bebola cahaya yang jatuh dari langit.
Mitos mengenai Segi Tiga Bermuda mencapai kemuncaknya pada 1950-an apabila artikel ditulis oleh Edward Van Winkle Jones diterbitkan oleh Associated Press. Jones antaranya melaporkan kehilangan tanpa jejak lima pesawat pengebom Flight 19 pada 5 Disember 1945 dan kehilangan pesawat komersial Star Tiger dan Star Ariel pada dekad yang sama.
Dalam artikelnya itu, Jones menyatakan 135 individu telah hilang di Segi Tiga Bermuda yang mana beliau menyifatkannya sebagai 'Ditelan tanpa sebarang kesan'.
Perkembangan sains dalam bidang navigasi dan telekomunikasi telah memungkinkan nahas-nahas pada kurun yang lalu berjaya diatasi dan penjelasan lebih logik mengenai nahas dapat diperoleh seperti faktor cuaca (ribut petir, taufan, tsunami, gempa bumi), kegiatan lanun, kecelaruan navigasi dan sebagainya.
Faktor utama yang menjadi penyumbang kepada kehilangan kapal di Segi Tiga Bermuda adalah arus laut dipanggil gulf stream (aliran teluk) yang berlaku begitu pantas dan bergelora sehingga begitu cepat memadam kesan-kesan bencana.
Arus yang sukar dijangka itu juga berlaku kerana topografi kawasan dasar laut tersebut merangkumi jurang yang dalam.
Sebelum adanya teknologi seperti telegraf, radio dan radar, pelaut tidak akan mengetahui kehadiran ribut dan taufan sehingga ia muncul di hadapan mata.
Misteri kepada nahas yang akhirnya berpunca daripada faktor cuaca ataupun kelemahan navigasi tidak hanya berlaku di Segi Tiga Bermuda namun boleh terjadi di mana-mana lokasi di dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_11/Bukan-hanya-Segi-Tiga-Bermuda#ixzz2vcoWMcwU
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Dr. M temui keluarga mangsa


Dr. Mahathir Mohamad, Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Mukhriz Mahathir (duduk, dua kiri) menziarahi ahli keluarga penumpang MH370 yang hilang sejak pada 8 Mac di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 10 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini bertemu dengan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini ditempatkan di The Everly Hotel di sini.
Pertemuan kira-kira sejam itu turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Datin Seri Norzieta Zakaria.
Ketika ditemui pemberita, Dr. Mahathir berkata, beliau berharap tiada yang menunding jari kepada pihak yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
"Perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah," kata beliau dan enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau bertemu dengan empat keluarga mangsa yang berasal dari Kedah dan menyampaikan rasa simpati serta sokongan moral kepada mereka.
"Saya dapat bayangkan betapa sukarnya... mereka meluahkan perasaan bahawa amat sukar menunggu begitu lama tetapi maklumat yang diperoleh cuma sedikit.
Mereka juga menyatakan tidak mahu menerima maklumat palsu yang membuahkan harapan namun akhirnya kecewa setelah harapan itu tidak menjadi kenyataan.
"Harap-harap mereka yang menggunakan media sosial lebih sensitif dalam perkara ini," katanya.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat dan sepatutnya dijadual tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_10/Dr-M-temui-keluarga-mangsa#ixzz2vcobGFhb
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tompok minyak bukan milik MH370

PASIR PUTEH 10 Mac - Tompokan minyak yang ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 36 kilometer dari lokasi pesawat MH370 dilaporkan hilang semalam, disahkan bukan daripada pesawat tersebut.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Datuk Nasir Adam berkata, perkara itu disahkan selepas keputusan analisis tompokan minyak berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia di Petaling Jaya pada pukul 5 petang ini.
"Keputusan analisis itu adalah negatif iaitu bukan daripada pesawat MH370.
"Sampel itu dikategori sebagai bahan bakar untuk kegunaan tongkang atau kapal laut dan bukannya pesawat udara," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Maritim Malaysia Tok Bali, di sini hari ini.
Semalam, Maritim Malaysia dilaporkan menemukan beberapa tompokan minyak semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat di perairan Laut China Selatan.
Tompokan tersebut dikesan kira-kira pukul 11 pagi selepas agensi berkenaan memulakan operasi selama lima jam.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasir memberitahu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan Maritim Malaysia hari ini meliputi kawasan seluas 2,700 kilometer persegi dengan tumpuan diberi kepada lokasi penemuan tompok minyak serta selatan perairan Besut.
"Operasi hari ini turut melibatkan pesawat CL415 jenis Bombardier yang terbang di ketinggian 1,200 kaki selama kira-kira lima jam bermula pukul 10.45 pagi ini. Bagaimanapun sehingga petang, tiada petunjuk baharu ditemui," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_09/Tompok-minyak-bukan-milik-MH370#ixzz2vcoejxti
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Pakar 'bingung' pesawat hilang


Kapal Penyelamat Kawalan Pantai China (kanan) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan rondaan di kawasan yang dipercayai MH370 hilang dari radar di perairan Laut China Selatan, semalam. - Gambar Ihsan Unit Perhubungan Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR 10 Mac - Rata-rata pakar dan penganalisis penerbangan melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu.
Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya ini selama puluhan tahun.
Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Pertanian Malaysia itu berkata, beliau sedaya upaya mengkaji segala macam kemungkinan yang mungkin terjadi kepada pesawat tersebut namun 'buntu' walaupun sudah masuk hari ketiga.
"Kita tahu dan sedia maklum dengan bencana alam dan tragedi akan berlaku dalam mana-mana lapangan. Namun, ini merupakan kejadian pertama yang mempunyai seribu persoalan.
"Saya sendiri tidak pasti apa lagi yang boleh saya komen. Industri penerbangan masih terkejut dan bingung memikirkan segala kemungkinan yang telah terjadi dengan pesawat MH370," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Industri penerbangan Malaysia semalam dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi.
Sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Jelas beliau, adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam insiden berkenaan, kapal terbang dan menara kawalan tidak berkomunikasi seperti kebiasaan.
"Menara kawalan tidak menerima apa-apa isyarat, tiada bangkai atau serpihan andai terhempas, tiada isyarat kecemasan. Mungkin juga juruterbang patah balik mengikut gerak hati. Sukar untuk membuat sebarang andaian ketika ini. Semuanya nampak seperti mimpi dan mustahil untuk ditafsirkan.
"Mungkin berlaku perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan sehingga menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya.
Tambahnya, beliau dimaklumkan pesawat MH370 sudah diselenggarakan dua minggu lepas dan sekiranya terdapat kerosakan sekalipun, masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan.
Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut.
"Ini hanyalah salah satu andaian, mungkin pesawat terhempas dan hanyut ke arah Teluk Thailand, atau ke perairan Malaysia.
"Walau bagaimanapun, semua andaian ini hanyalah kemungkinan yang berlaku kepada pesawat tersebut. Kejadian ini masih kekal misteri dan sukar dijawab," ujarnya.
Sementara itu, seorang juruterbang veteran yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan mendakwa, dalam tempoh kurang dari 24 jam ini, kemungkinan 'misteri' kehilangan pesawat MH370 akan mendapat petanda penting.
"Saya rasa kita akan dapat dapat sedikit petunjuk dalam tempoh kurang dari 24 jam ini. Kita perlu banyak berdoa dan yakin dengan usaha yang sedang dilakukan oleh semua pihak.
"Tidak mungkin pesawat itu hilang daripada radar begitu sahaja, risiko tersebut sangatlah rendah" katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_08/Pakar-bingung-pesawat-hilang#ixzz2vcojOrXD
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tiada bukti kukuh kaitan Chinese Martyrs Brigade

KUALA LUMPUR 10 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan kehilangan pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan kumpulan Chinese Martyrs Brigade.
"Namun demikian, kita tidak akan melepaskan semua maklumat yang ada," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di Putrajaya dekat sini hari ini.
Kumpulan tidak dikenali itu sebelum ini dilaporkan menghantar kenyataan kepada media China mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat tersebut.
Pelbagai pihak bagaimanapun meragui penglibatan kumpulan itu dalam insiden kehilangan pesawat MH370.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua penumpang pesawat tersebut yang menggunakan pasport palsu merupakan warganegara asing tetapi bukan berasal dari wilayah Xinjiang, China.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, salah seorang daripada mereka telah dikenal pasti identitinya dan tidak pernah memasuki negara ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang telah dikenal pasti itu.
"Kita sedang menyiasat transit negara kemasukan mereka sebelum ke negara ini kerana kedua-duanya tiada dalam rekod Jabatan Imigresen.
"Polis juga telah melihat rakaman video dan mengenalpasti melalui gambar namun mereka bukan etnik Uyghur dari Xinjiang seperti yang dihebahkan.
"Selain itu, polis antarabangsa (Interpol) yang turut sama membantu akan memaklumkan kepada kita jika dua individu tersebut dalam senarai pangkalan data pengganas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang bersama 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar Kawalan Trafik Udara Subang, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam.
Khalid berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan Chinese Martyrs Brigade yang mengaku bertanggungjawab atas kehilangan pesawat seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita dari China.
"Kita akan menjalankan siasatan dari semua aspek dan buat masa ini belum dapat mengesahkan pembabitan pengganas dalam insiden ini.
"Polis juga perlu melihat rekod mereka yang kehilangan pasport dan setakat ini terdapat lebih 40.2 juta orang dilaporkan kehilangan pasport di seluruh dunia," ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalid mengalu-alukan penglibatan pihak luar atau badan-badan risikan mahupun penguat kuasa tempatan untuk bersama-sama menyiasat kehilangan pesawat ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_07/Tiada-bukti-kukuh-kaitan-Chinese-Martyrs-Brigade#ixzz2vconMfzg
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Seri Paduka, Raja Permaisuri zahir rasa prihatin, simpati

KUALA LUMPUR 10 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menzahirkan rasa prihatin terhadap insiden pesawat MH370 yang dilaporkan hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pagi Sabtu lalu.
Keprihatinan Seri Paduka itu turut dikongsi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah bersama seluruh rakyat negara ini.
Malah, Tuanku Abdul Halim serta Raja Permaisuri Agong turut melahirkan rasa simpati kepada penumpang-penumpang dan anak kapal pesawat tersebut serta ahli keluarga mereka.
"Pada kesempatan ini, beta dan Raja Permaisuri Agong bersama rakyat Malaysia amat prihatin terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 dan menzahirkan rasa simpati kepada penumpang-penumpang dan anak kapal pesawat tersebut serta keluarga mereka.
"Beta juga berharap ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat dapat bertenang dan tabah menerima ketentuan tersebut," titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di sini hari ini.
Sabtu lalu, pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi.
Pesawat itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dijadualkan mendarat di Beijing, China pada pukul 6.30 pagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_06/Seri-Paduka-Raja-Permaisuri-zahir-rasa-prihatin-simpati#ixzz2vcoqwTC7
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Siasat identiti 2 penumpang misteri


HISHAMMUDDIN Tun Hussein berbincang dengan wakil kerajaan China, Liao Jinrang mengenai kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
PUTRAJAYA 10 Mac - Pihak berkuasa Malaysia berkongsi rekod penumpang, maklumat biometrik dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan agensi perisikan dari China dan Amerika Syarikat (AS) bagi mengenal pasti identiti dua penumpang misteri yang menggunakan pasport palsu menaiki pesawat MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama tersebut penting bagi mendapatkan maklumat untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
"Agensi antarabangsa dari AS dan China telah tiba untuk membantu mengenal pasti identiti mereka dari pelbagai sudut termasuk maklumat biometrik, latar belakang, cap jari, tarikh lahir dan keadaan mental.
"Agensi ini mempunyai aset untuk mengenal pasti maklumat-maklumat ini," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Ditanya sama ada telah melakukan semakan dengan Polis Antarabangsa (Interpol) mengenai dua pasport yang hilang tersebut, Hishammuddin berkata, setakat ini rekod Interpol menunjukkan terdapat 40 juta pasport dilaporkan hilang.
Dalam pada itu, Hishammuddin tidak mengesahkan dua pemegang pasport palsu tersebut mempunyai ciri-ciri fizikal orang Asia seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Beliau juga tidak mengesahkan dua orang tersebut sebagai warganegara China.
Katanya, rakaman CCTV dua penumpang misteri itu sedang disiasat termasuk oleh agensi perisikan dan akan diumumkan kepada media dalam masa terdekat.
Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak menafikan kemungkinan terdapat unsur penglibatan pihak pengganas dalam kejadian kehilangan pesawat MH370.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya juga tidak menafikan kemungkinan pesawat yang membawa 239 orang termasuk 12 krew itu meletup di udara.
"Kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk yang berkaitan dengan pengganas, siasatan dilakukan dari semua sudut," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pesawat yang hilang perlu dijejaki terlebih dahulu untuk mencari jawapan mengenai pelbagai pertanyaan.
"Kita memerlukan bukti yang konkrit untuk membolehkan siasatan forensik dilakukan, tetapi malangnya kita gagal menemui sebarang serpihan setakat tengah hari ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_05/Siasat-identiti-2-penumpang-misteri#ixzz2vcouY5fb
© Utusan Melayu (M) Bhd 



MH370: Dua individu guna pasport curi menyerupai 'Balotelli'?

SEPANG 11 Mac - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mendedahkan dua individu yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370 mempunyai rupa paras pemain bola sepak AC Milan, Mario Balotelli.
Menurut Azharuddin, rakaman video dan gambar dua individu terbabit sudah diserahkan kepada pihak penyiasat untuk tindakan susulan.
"Jadi boleh saya katakan di sini bahawa dua individu berkenaan tidak mempunyai rupa paras orang Asia.
"Kamu kenal Balotelli? Jadi dia bukan memiliki rupa orang Asia," katanya.
Namun ketika ditanya pemberita sama ada dua individu berkenaan berasal dari Afrika, Azharuddin tidak memberikan jawapan dan hanya mengatakan pihak penyiasat sedang menjalankan tugas mereka.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar terakhir hari ketiga kehilangan pesawat Boeing 777 MAS, MH370 di Hotel Sama-Sama di sini malam tadi.
Azharuddin menegaskan bahawa pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) telah mengambil langkah-langkah protokol lengkap bagi aspek keselamatan penerbangan Sabtu lalu ketika semua penumpang menaiki pesawat MH370.
"Pihak penyiasat juga sedang melihat dari sudut di mana dua individu berkenaan mungkin terlibat dengan sindiket pemalsuan pasport," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_01/MH370-Dua-individu-guna-pasport-curi-menyerupai-Balotelli#ixzz2vcoy9Kck
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Pegawai dari China tiba bantu keluarga mangsa

SEPANG 11 Mac - Enam pegawai delegasi dari China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8 pagi ini dipercayai bagi membantu sebahagian ahli keluarga penumpang MH370 yang telah tiba lebih awal pagi semalam.
Kesemua mereka kemudiannya ditempatkan di sebuah bilik khas di tingkat lima lapangan terbang tersebut sebelum dibawa menaiki kenderaan khas Kedutaan China di Malaysia.
Usaha pihak media untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tujuan mereka ke sini menemui jalan buntu kerana mereka enggan ditemubual.
Pihak Malaysia Airline (MAS) juga gagal memberikan kerjasama kepada pihak media bagi mendapatkan maklumat mengenai ketibaan delegasi dan ahli keluarga mangsa. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_28/Pegawai-dari-China-tiba-bantu-keluarga-mangsa#ixzz2vcp25KFj
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments:

Post a Comment