Tuesday, February 15, 2011

Dunia indah matematik di mata Ikhwan



Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

Muhammad Ikhwan Azlan (berdiri) telah mengikuti persediaan Pasukan Olimpiad Matematik Antarabangsa sejak menuntut di MRSM lagi.

MATEMATIK dikatakan suatu subjek yang sangat kompleks dan memerlukan bahan atau kaedah yang khas untuk mempelajarinya.

Isi kandungannya juga sangat berturutan iaitu melibatkan proses mental yang tinggi dan perlu memenuhi tuntutan kognitif iaitu berfikir secara analisis, rasional, logik, berupaya membuat penaakulan dan mahir dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Ini menjadikan ia satu subjek yang berat, susah lagi membosankan, tambah dengan tanggapan kononnya orang Melayu memang semulajadinya sukar menguasai ilmu itu.

Mitos-mitos inilah yang menyebabkan segelintir masyarakat kita menerimanya sebagai satu kenyataan apabila di kalangan pelajar Melayu itu tidak menguasainya.

Lebih menyedihkan apabila Islam sering digambarkan sebagai agama yang mundur dan dikatakan tidak menggalakkan umatnya menuntut dan menguasai pelbagai lapangan ilmu.

Kenyataan itu bukan saja tidak benar tetapi bertentangan dengan hakikat sejarah.

Sejarah membuktikan betapa dunia Islam melahirkan banyak sarjana Islam dan ilmuwan Islam yang cukup hebat dalam bidang masing-masing termasuk matematik.

Salah satu ciri yang dapat diperhatikan pada para cendekiawan ilmuwan Islam ialah mereka tidak sekadar menguasai satu bidang ilmu malah penemuan dan penciptaan mereka inilah yang telah dijadikan rujukan Barat.

Hakikatnya, kehidupan seharian kita itu sendiri sememangnya telah dipayungi dengan ilmu-ilmu matematik. Contohnya, celik sahaja mata, pengiraan masa telah menjadi aspek utama dalam merencanakan rutin harian kita pada hari itu dan seterusnya.

Kebijaksanaan seseorang itu dalam pengurusan masa menatijahkan kehidupan harian yang sempurna.

Bertitik-tolak daripada situ, sememangnya bidang matematik tidak boleh dipandang enteng, lebih-lebih lagi di kalangan orang Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Pembantu Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Ikhwan Azlan dalam satu pertemuan bersama Mega, baru-baru ini.

Malah pemuda yang berusia 27 tahun itu yang juga pensyarah separuh masa Program Luar Kampus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam subjek Logik Matematik dan Teknik Pembuktian turut terpanggil membetulkan salam faham yang dibimbangi akan sebati dalam pemikiran orang Melayu, sekali gus menjadi satu kerugian besar.

"Matematik sebenarnya tidaklah sesukar yang disangka kebanyakan orang.

"Mungkin kerana imej yang selalu dipaparkan oleh media mengenai orang matematik yang berkaca mata tebal, berperwatakan aneh dan lemah dalam bersosial mematikan minat sesetengah orang untuk dikaitkan dengan matematik.

"Mungkin juga kerana frasa-frasa seperti subjek ini susah, habislah kau kena ambil matematik, atau hafal sahajalah rumusan ini kerana memang tidak akan boleh faham punya, membuatkan matematik yang pada hakikatnya tidaklah sesukar mana, menjadi satu beban psikologi, lalu betul-betul menjadi sukar," ujar Muhammad Ikhwan yang kini antara jurulatih Pasukan Olimpiad Matematik Antarabangsa.

Bagi menjelaskan adakah seorang yang tidak baik penguasaan dalam matematik merupakan noktah untuk mereka berjaya atau menguasai bidang ini, kata Muhammad Ikhwan, jika noktah yang dimaksudkan itu adalah berhenti langsung daripada menekuni matematik dan tidak mahu ada kaitan langsung dengan sesuatu yang mempunyai sifat matematik, sudah tentulah tidak wajar.

Katanya, perlu pula dikenalpasti apakah pula yang dimaksudkan 'tidak baik' dalam penguasaan matematik itu. Adakah tidak baik disebabkan markah peperiksaannya rendah? Atau bagaimana?

Adakalanya seseorang itu menyangka dia 'tidak baik' dalam menguasai sesuatu bidang ilmu atau kemahiran, namun tanpa disedarinya dia sebenarnya mempunyai kebolehan yang tersembunyi yang belum dikenali lagi.

"Sebenarnya, matematik bukan terhad kepada apa yang ada di dalam buku teks. Matematik adalah satu disiplin berfikir yang jelas, yang meliputi banyak aspek kehidupan dan kewujudan.

"Bayangkan seorang kanak-kanak yang bermain buaian. Apabila buaian itu sedang berhayun, tiba-tiba dia melompat daripada buaian.

"Kanak-kanak ini melakukan perkara ini beberapa kali sehinggalah dia dapat menentukan bilakah waktu yang paling sesuai untuk melompat supaya lompatan itu lebih jauh. Apabila kanak-kanak ini cuba menyelesaikan 'masalahnya' ini, dia sebenarnya sedang berfikir secara matematik, mungkin tanpa disedarinya sendiri, kawan-kawan, ibu bapa atau guru-gurunya," jelas beliau.

Menjelaskan lanjut, kata Muhammad Ikhwan, ketika membeli-belah di pasar malam, seorang itu mungkin berkira-kira gerai manakah yang harus disinggah dahulu.

Gerai yang dekat tetapi ramai pelanggan atau gerai yang jauh tetapi mungkin kurang bilangan pelanggannya? Pilihan manakah yang akan menjimatkan masa? Itu juga masalah matematik.

"Jika seseorang itu amat berminat untuk bertimbang-tara dengan masalah-masalah seperti ini di dalam fikirannya, dia sebenarnya sangat meminati dan berkebolehan dalam matematik, walaupun markah matematiknya mungkin tidak menggambarkan minat dan kebolehannya itu.

"Namun jika seseorang itu betul-betul tidak berminat, maka tidak bolehlah dipaksa, melainkan perkara-perkara yang asas sahaja. Perlulah pula dikenalpasti apakah minat dan kelebihan lain mereka," katanya yang pernah dua kali mewakili negara di Washington, Amerika Syarikat (2001) dan Glasgow, Scotland (2002).

Ditanya kelebihan yang dimilikinya itu adakah ia satu anugerah atau bakat yang boleh diasah? Terang anak sulung daripada empat adik-beradik, baginya ia adalah kedua-duanya sekali.

"Setiap kelebihan dan kekurangan sememangnya adalah anugerah-Nya yang perlu disyukuri dan diredai. Pada masa yang sama ia juga amanah yang perlu dipelihara.

"Seorang yang dikurniakan tubuh yang tinggi dan lincah tidak mungkin dapat bermain bola keranjang dengan baik jika dia tidak melatih dirinya bermain bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan matematik.

"Walaupun seseorang itu diberikan kelebihan dalam menguasai bidang matematik, jika tidak disertakan dengan ketekunan dan kesabaran, sukar untuknya sampai ke ufuk-ufuk ilmu ini," katanya.

Justeru itu ujarnya, jika seseorang itu sudah menguasai tahap matematik tertentu, dia seharusnya mencabar dirinya ke tahap lebih tinggi.

"Seorang yang dikurniakan kelebihan memahami matematik seharusnya berusaha memahami matematik yang lebih dalam dan sukar," akui Muhammad Ikhwan.

utusan online

No comments:

Post a Comment