Friday, February 18, 2011

Hukum faraid menjamin hak waris sebenar

2011/02/18
KETETAPAN Allah sesungguhnya adalah satu ketetapan yang sekali-kali tidak boleh dipertikai apatah lagi untuk mengubah, meminda, menukar, memalsukan atau apa juga tindakan yang boleh menukar ketetapan itu.

Hakikat ini disebut jelas dalam al-Quran yang wajib diterima umat Islam tanpa memperdebatkan hak itu.
Firman Allah yang bermaksud: “Allah mensyariatkan bagimu mengenai (pembahagian pusaka) anakmu. Iaitu, bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih daripada dua, maka bagi mereka dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka dia memperoleh separuh harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam daripada harta yang ditinggalkan jika orang yang meninggal itu mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya saja, maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa orang saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian di atas sudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Mengenai) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisa, ayat 11)
Walau bagaimanapun, masih ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang lantang mempersoalkan ketetapan ini, kononnya menjurus kepada elemen ketidakadilan. Perkara ini sesungguhnya tidak akan timbul jika umat Islam hari ini memahami ilmu faraid.

Apa yang terjadi adalah sebaliknya, apabila umat Islam kurang pemahaman dalam hal ehwal ilmu faraid maka sukar untuk menerima ketetapan Allah. Apa yang dikhuatiri oleh Nabi Muhammad SAW kini menunjukkan kebenaran kerana tidak ramai tahu ilmu faraid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkan kepada manusia, kerana ia adalah separuh dari ilmu dan akan dilupakan.Ia juga adalah ilmu pertama yang akan di cabut dari umatku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Apabila seseorang itu kurang kefahaman mengenai faraid, sudah tentu tidak dapat memahami hubung kait faraid dan sijil faraid. Bagaimana pula jika tidak tahu langsung mengenai faraid. Oleh itu, umat Islam digesa untuk belajar ilmu faraid supaya mendapat maklumat yang tepat.
Bagi mengelak kekeliruan dan salah faham, bahagian satu rencana kali ini mengenai kepentingan memahami ilmu faraid sewajarnya diberi perhatian. Kefahaman mengenai ilmu faraid diharap dapat memberi kesan positif kepada semua terbabit dalam pentadbiran pusaka.

Mengetahui ilmu faraid membolehkan semua pihak dapat berfungsi dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan pantas, amanah di samping mendapatkan pahala serta keredaan Allah.

Disebabkan itu juga, tidak akan timbul perkara yang boleh melengahkan atau melambatkan seseorang untuk memperoleh sijil faraid baik di pihak yang membuat permohonan, mengeluarkan sijil faraid atau pihak melaksanakan pembahagian faraid.

INFO

# Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan dan membawa maksud lain antaranya menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan.

# Menurut istilah syarak pula, faraid adalah pembahagian harta seseorang Islam yang sudah meninggal dunia sama ada meninggalkan wasiat atau tidak. Oleh demikian, semua harta peninggalannya (harta alih dan tak alih) akan dibahagikan kepada ahli waris yang berhak.

# Faraid berasal daripada perkataan faradha dalam bahasa Arab yang bererti ketentuan atau kepastian. Jika dimaksudkan dengan warisan atau harta pusaka, maka ertinya ialah bahagian yang sudah ditetapkan mengikut hukum syarak untuk ahli waris.

# Pengertian ilmu faraid menurut sebahagian ulama ialah ilmu untuk mengetahui cara pembahagian harta pusaka kepada yang berhak daripada kalangan ahli waris.

# Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya wajib ditunaikan sementara menggalakkan waris simati menyelesaikan pentadbiran pusaka secepat mungkin mengikut faraid hukumnya adalah fardu kifayah. Ikuti bahagian seterusnya pada minggu depan.

berita harian

No comments:

Post a Comment