Wednesday, February 16, 2011

Memperingati perjuangan rakyat Kashmir



Persembahan teater yang memukau setiap hadirin daripada kanak-kanak Kashmir.

SAYA mendengar pelbagai kesaksian dan testimoni daripada pejuang hak asasi Kashmir dan keluarga mereka yang mana telah dibunuh, diseksa, di perlakukan dengan buruk, hilang, diancam, ditangkap dan ditahan secara sewenang-wenangnya”.

Begitulah kenyataan Margaret Sekaggya, Pegawai Pelapor Khas Pejuang Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada sidang akhbar sejurus melawat wilayah bergolak Kashmir.

Begitulah nasib lebih empat juta rakyat Kashmir yang dinafikan hak mereka untuk hidup merdeka selama lebih 60 tahun.

Kashmir yang diibaratkan sebagai Palestin Kedua diberikan peluang sulung pada tahun 1948 oleh PBB untuk menentukan nasib mereka sendiri melalui kutipan suara.

Ketika itu cuma ada dua pilihan sama ada bersama India atau Pakistan tanpa pilihan untuk menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat. Malangnya kutipan suara itu tidak pernah berlaku.

Menyorot dan mengimbas sejarah Kashmir semenjak 1947 apabila Pakistan dan India mendapatkan kemerdekaan daripada British, ia merupakan salah sebuah wilayah daripada ratusan wilayah yang menjadi rebutan oleh Pakistan dan India.

Pada ketika itu, wilayah Kashmir diperintah oleh maharaja Hindu bernama Hari Singh walaupun majoriti penduduknya Muslim. Hari Singh mahukan kemerdekaan namun menghadapi ancaman penaklukan daripada suku kaum Pathan dari Pakistan.

Diringkaskan cerita, Hari Singh memohon bantuan ketenteraan India bagi menghadapi serangan Pathan. Sebagai balasan, Hari Singh bersetuju Kashmir menyertai India. Maka bermulalah episod hitam rakyat Kashmir.

Bagi berkongsi rasa simpati, pihak Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan dua program utama setiap tahun iaitu Kashmir Black Day dan Kashmir Solidarity Day.

Terbaru adalah Kashmir Solidarity Day di mana penulis mengambil bahagian sebagai salah seorang pembicara.

Selaku aktivis belia dan masyarakat, penulis mencadangkan beberapa tindakan praktikal agar generasi muda Islam memahami dan membantu perjuangan rakyat Kashmir.

Antara lain menubuhkan Friend of Kashmir bagi menyediakan platform kepada generasi muda menyebarluaskan maklumat perjuangan rakyat Kashmir kepada rakan sebaya yang lain terutamanya yang berada di institusi pengajian dan kemahiran.

Memandangkan generasi Y sekarang ini dikenali sebagai generasi yang mesra media sosial internet atau ‘the Net Generation’, seharusnya mekanisme ini dimanipulasikan secara positif untuk menyebarkan maklumat penderitaan rakyat Kashmir sekali gus membangkitkan kesedaran generasi muda membantu meringankan penderitaan mereka.

Sejak 1990 sehingga kini sudah kitra-kira 93,310 rakyat Kashmir terkorban akibat kekejaman pihak berkuasa India. Lebih 107,351 orang menjadi anak yatim dan 105,910 buah bangunan dibakar dan dimusnahkan.

Selain itu, penulis juga menyarankan generasi muda menggunakan kaedah diplomasi awam seperti yang disarankan oleh Dr. Chandra Muzaffar.

Kaedah diplomasi awam ini menyarankan agar lebih banyak bahan-bahan berkaitan perjuangan rakyat Kashmir diterjemah ke dalam pelbagai bahasa agar maklumat ini sampai ke seluruh pelosok penduduk dunia.

Sebagai contoh, dalam konteks Malaysia, generasi muda yang menguasai bahasa Mandarin, harus menggunakan kepakaran mereka menterjemah risalah perjuangan rakyat Kashmir ke dalam bahasa Mandarin.

Ini diyakini dapat menyebarkan maklumat tersebut di kalangan masyarakat Tiong Hua di Malaysia dan masyarakat Cina di Tanah Besar China.

Sebagai nota kaki, jika kerajaan China yang bakal menjadi kuasa besar dunia memahami kepentingan kemerdekaan Kashmir, maka China boleh memainkan peranan strategik dengan mendesak resolusi pungutan suara rakyat Kashmir 1948 diimplementasikan semula.

Inilah sebahagian kecil cadangan yang mampu direalisasikan oleh generasi muda Malaysia bagi menghulurkan salam persahabatan kepada generasi muda Kashmir yang menunjangi kebangkitan terkini rakyat Kashmir.

Sebagai contoh, The Guardian mendedahkan pada musim panas 2010, tentera India menembak mati 50 orang para pemprotes dan majoriti yang terkorban ialah para remaja.

Dalam erti kata, generasi muda Kahsmir merupakan nadi kepada kebangkitan perjuangan rakyat Kashmir.

Sambutan Kashmir Solidarity Day baru-baru ini di kawasan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Jalan Ampang menampakkan sedikit kelainan.

Di celah ucapan-ucapan dan ceramah-ceramah ringkas diselitkan persembahan drama dan nyanyian yang memberikan ruang kepada para remaja mengekspresi diri mendedikasikannya kepada perjuangan rakyat Kashmir.

Sambutan sebegini akan sentiasa berterusan dan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain sehinggalah perjuangan rakyat Kashmir terbela, tanda-tanda kemenangan sudah hampir menjengah seperti kata orang tua-tua, apabila malam terlalu pekat itulah petanda fajar semakin hampir!.

utusan online

No comments:

Post a Comment