Wednesday, April 13, 2011

Jom Masuk U dapat sambutan

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

REMAJA lepasan SPM, STPM tidak melepaskan peluang hadir pada program Jom Masuk U di Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Pasir Raja di Taman Laksamana, Kota Tinggi, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 12 April – Program Jom Masuk U di sini baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mahu memperoleh maklumat mengenai urusan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

Program dua hari anjuran Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO dan UMNO Bahagian Tenggara itu turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik, Kolej Komuniti dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Program berkenaan diadakan mulai pukul 9 pagi hingga 3 petang di dua lokasi iaitu di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti pada Sabtu lalu dan Pasir Raja pada keesokannya dengan kehadiran lebih 175 pelajar.

Seorang lepasan SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara 2, dekat sini, Nor Izzathul Amira Jamaludin, 18, berkata, dengan adanya program seperti ini sekurang-kurangnya mereka mendapat penerangan mengenai permohonan memasuki IPT serta taklimat mengenai kursus yang layak mengikut keputusan yang diperoleh.

Walaupun hanya peroleh 4A 1B dalam peperiksaan SPM lalu, namun dia tetap tidak mahu melepaskan peluang menghadiri program berkenaan.

“Sebagai insan kita hanya mampu berusaha dan mudah-mudahan dengan usaha ini saya diterima masuk bagi melanjutkan pengajian ke IPT,” kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Hahasrin Hashim, berkata, program tahunan kali ketiga itu bertujuan membantu lepasan SPM dan STPM yang ingin atau telah membuat permohonan kemasukan ke IPT dan politeknik.

utusan online

No comments:

Post a Comment