Wednesday, April 13, 2011

TATiUC dijadikan pusat pengajian A-Level

KUALA TERENGGANU 12 April - Kerajaan negeri akan menjadikan Kolej Universiti TATI (TATiUC) di Kemaman sebagai pusat pengajian A-Level untuk memberi peluang kepada pelajar Terengganu melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kewujudan pusat itu adalah antara usaha kerajaan negeri untuk melihat lebih ramai penuntut negeri ini menyambung pengajian ke universiti luar negara.

Menurutnya, setiap tahun, lebih 150 pelajar negeri ini dihantar ke United Kingdom, Rusia, Ireland, Mesir dan Jepun untuk mengikuti pelbagai bidang pengajian seperti perubatan, farmasi dan kejuruteraan.

"Kewujudan pusat berkenaan kelak bukan hanya mampu menjimatkan kos pengajian malah memberi peluang kepada lebih ramai penuntut di negeri ini melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program Taklimat Persediaan Menghadapi Temu Duga kepada hampir 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, dekat sini baru-baru ini.

Kata Ahmad Razif, setiap tahun kerajaan negeri turut membelanjakan RM600,000 untuk menaja 10 pelajar lepasan SPM yang terpilih negeri ini bagi melanjutkan pengajian program A-Level di Kolej UEM, Lembah Beringin, Selangor.

"Dengan wujudnya pusat pengajian berkenaan, ia dapat meyakinkan pihak institusi pengajian luar negara mengenai kesungguhan pihak kita untuk menempatkan pelajar negeri ini di sana.

"Kerajaan negeri juga sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi di negara-negara berkenaan," katanya.

Beliau turut menarik perhatian, tiga pelajar lepasan SPM di negeri ini menerima Anugerah Biasiswa 1Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pelajar berkenaan ialah Nur Zulaikha Ismail dari SMK Agama Tok Jiring, Nurul Diyana Mat Zaidi (SM Sains Sultan Mahmud) dan Yusuf Abdullah Azman (SM Sains Kuala Terengganu).

Anugerah tersebut diperkenalkan Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd., Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dianugerahkan kepada 30 pelajar terbaik seluruh negara.

UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment