Wednesday, April 13, 2011

Rasulullah ikut saranan sahabat

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEJURUS mendapat tahu bahawa 3,000 tentera kafir Quraisy Mekah sedang bergerak menuju ke utara untuk menyerang Madinah, Rasulullah SAW segera mengadakan perbincangan dengan para sahabat dan pengikut baginda bagi mengatur strategi perang kali ini.

Persoalan penting ialah sama ada tentera Islam perlu keluar dari Kota Madinah untuk bertempur dengan pihak musuh atau terus bertahan sahaja dalam kota tanpa perlu ke mana-mana.

Rasulullah sendiri berpendapat supaya mereka tidak perlu keluar ke mana-mana. Malah seluruh penduduk Madinah boleh turut sama mempertahankan Madinah dari dikuasai pihak musuh.

"Jika mereka masuk sahaja ke dalam kota, maka seluruh penduduk akan memerangi mereka di segenap lorong-lorong yang sempit dengan kedudukan kaum wanita akan menentang daripada atas bumbung-bumbung rumah mereka," kata baginda.

Ini merupakan pendapat baginda secara peribadi bukannya yang diwahyukan kepadanya, yang tidak semestinya diterima oleh para pengikut baginda.

Namun cadangan baginda itu diterima atau dipersetujui oleh ketua orang munafik Madinah, iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul yang turut hadir dalam mesyuarat itu.

Dia bersetuju dengan cadangan itu semata-mata supaya muslihatnya terlaksana iaitu supaya saat tentera kafir Quraisy masuk ke dalam kota, saat itu jugalah Abdullah akan mempamerkan 'dirinya' yang sebenar.

Tidak sahaja dia akan belot malah akan membantu tentera musuh mengalahkan pihak Islam.

Muslihat jahat seperti itu dicium oleh para sahabat dan meminta kepada Rasulullah supaya perang kali ini juga dilakukan di luar kota Madinah seperti Perang Badar.

Sekumpulan para sahabat yang tidak menyertai Perang Badar mengusulkan supaya tentera Islam keluar dari Madinah dan baginda didesak supaya berbuat demikian.

"Wahai Rasulullah, kami selalu memohon kepada Allah SWT dan mengharapkan agar datangnya hari peperangan seperti ini.

"Sekarang Allah telah mendatangkan perang ini kepada kita semua. Maka sewajarnya kita keluar menuju kepada musuh kita sehingga mereka tidak melihat kita sebagai golongan yang penakut," kata mereka.

Antara yang sangat bersemangat untuk berperang di luar kota Madinah itu adalah bapa saudara baginda sendiri, Hamzah bin Abdul Mutalib, yang sebelum ini begitu banyak sumbangannya melalui pedangnya yang mengamuk semasa Perang Badar.

"Demi Yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu wahai Muhammad, aku tidak akan menjamah makanan melainkan setelah aku melibas kepala pihak musuh dengan pedangku ini di luar Madinah," kata Hamzah.

Apabila melihat ramai yang bersetuju supaya tentera Islam melawan pihak musuh di luar Kota Madinah, akhirnya Rasulullah mengalah. Baginda memutuskan untuk mereka bergerak dan akhirnya akan bertempur dengan pihak musuh di mana sahaja, asalkan tidak di dalam Kota Madinah.

Setelah itu baginda pun bangun mengimamkan solat Jumaat. Dalam khutbah Jumaat itu baginda menyeru kepada umat Islam supaya bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi peperangan dengan pihak kafir Quraisy Mekah.

Kata baginda, kemenangan pasti akan berpihak kepada pihak Islam jika mereka bersabar walaupun sekali lagi jumlah tentera Quraisy adalah jauh lebih ramai berbanding tentera Islam.

Namun ternyata dengan jumlah yang sedikit, pihak Islam mampu menang sebagaimana yang berlaku semasa Perang Badar.

UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment