Wednesday, April 13, 2011

UiTM Lendu jana minat pelajar dalam sektor korporat

MELAKA 12 April - Lebih 300 pelajar semester dua Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu Alor Gajah di sini didedahkan mengenai dunia korporat, prinsip dan terjemahan komunikasi pada Pameran Sektor Korporat 2011 baru-baru ini.

Pensyarahnya, Shafezah Abdul Wahab berkata, objektif utama pameran tersebut bertujuan memberi impak tinggi kepada reputasi bakal graduan UiTM dalam menceburi bidang korporat selepas tamat pengajian kelak.

"Dengan pendekatan sektor korporat ini, pelajar dapat mempraktikkan kemahiran komunikasi dalam mempengaruhi pasaran tempatan mahupun di peringkat persaingan global melalui Strategi Laut Biru (Blue Ocean Strategy)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam. Turut hadir Koordinator Program Diploma Komunikasi dan Media, Abdul Rauf Ridhuan.

Shafezah berkata, pameran tersebut disertai kira-kira 34 organisasi daripada pelbagai industri antaranya ialah pemakanan, pelancongan, pengangkutan, perbankan, tekstil dan telekomunikasi.

Katanya, antara organisasi yang menjayakan pameran akademik itu ialah Malaysian Airlines System Bhd. (MAS), Rapid KL, PLUS Expressways, Duke Highway, Proton, Perodua, Asian Divers, Jakel, Bonia, Astro, Hot FM, Celcom, Digi, Ayamas, Munchy dan banyak lagi.

Ujarnya, pelajar turut diberi pendedahan latar belakang sesebuah organisasi, peranan dalam hubungan dalaman dan luaran, hubungan media dan kerajaan serta tanggungjawab sosial terhadap sesebuah organisasi.

"Melalui pameran ini juga, diharap para pelajar dapat menghasilkan satu produk ataupun perkhidmatan yang berinovatif serta mempunyai permintaan meluas di peringkat tempatan mahupun global serta memenuhi kehendak pasaran yang berdaya saing," katanya.

UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment