Friday, January 21, 2011

Jang Hyuk




Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

Jang Hyuk hadir untuk mempromosi drama bersiri Midas yang bakal
disiarkan di Astro B.yond.

BAGI yang tidak meminati drama Korea, pasti kedatangan aktor Jang Hyuk yang pertama kali ke Malaysia dipandang sepi kerana tidak mengenalinya.

Lain kisahnya bagi yang mengikuti perkembangan drama Korea yang sering disiarkan di layar kaca atau menerusi cakera video digital (DVD), kehadiran aktor berkenaan dinanti-nanti.

Sejak awal lagi mereka sudah datang ke Hotel Ritz Carlton, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk melihat wajah kacak pelakon berusia 35 tahun itu.

Ini kerana selain ditemu bual oleh para wartawan tempatan, jadual Jang Hyuk atau nama asalnya, Jung Yong Joon yang padat itu turut diselitkan sesi menandatangani autograf para peminat.

Kedatangannya sehari ke sini selepas singgah di Singapura adalah untuk mempromosi drama bersiri terbarunya, Midas, yang masih dalam penggambaran itu.

"Disebabkan jadual yang padat, saya tidak berpeluang untuk menikmati keindahan Malaysia atau mencuba pelbagai makanan yang enak di sini.

"Kalau ada kesempatan, saya akan datang lagi dan ketika itu barulah saya boleh berkongsi pengalaman manis di sini dengan anda semua," katanya menerusi seorang penterjemah.

Drama Midas arahan Kang Sin-hyo, baru dua minggu menjalani penggambaran. Dalam drama itu Jang Hyuk berlakon sebagai peguam disamping aktres Lee Min Jung.

Beliau yang melakonkan watak Kim Do Hyun berkata, karakter yang dibawa amat berbeza dengan peribadinya.

Katanya, Kim Do Hyun adalah seorang lelaki yang agresif dan berusaha keras untuk memperoleh apa yang diidam, sedangkan beliau lebih suka mencapai sesuatu secara semulajadi.

"Setiap watak yang dibawa ada cabaran tersendiri. Watak ini mencabar saya kerana ini pertama kali saya berlakon sebagai peguam.

"Bagi memastikan watak itu kelihatan natural, saya banyak memerhati dan bertanya kepada kawan-kawan yang profesion peguam," beritahunya.

Midas akan mula disiarkan di Astro B.yond Saluran 393 mulai 23 Mac ini.

Suami kepada Kim Yeo Jin dan bapa kepada dua anak lelaki itu adalah di antara pelakon Korea yang banyak menerima penghargaan sejak 15

tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan.

Beliau yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama KBS 2010 berkata, minat berlakon mula berputik ketika mengikuti pengajian drama di kolej.

"Bermula dari tugasan pengajian, saya dapat merasai keseronokannya dan sedikit demi sedikit saya mula berjina-jinak dengan dunia lakonan. Drama pertama saya adalah Model dalam tahun 1997," ceritanya.

Bagi Jang Hyuk, koleksi anugerah yang diperoleh bukan penentu kedudukannya dalam industri seni, sebaliknya beliau lebih suka mengukur kemuncak kerjayanya berdasarkan penerimaan masyarakat.

Katanya, selagi kemunculannya dalam sesebuah drama mendapat sambutan daripada penonton dan seterusnya mendapat tawaran berlakon tanpa henti, itulah kepuasan dan kejayaan peribadi.

"Untuk mendapat kepercayaan penonton atau pengarah bukanlah mudah.

"Saya perlu mengkaji setiap watak yang diberi dan sehingga kini saya masih lagi belajar.

"Kalau ada kesempatan, saya juga ingin mengembangkan bakat lakonan ke Hollywood. Tapi sebelum melangkah ke sana, saya perlu memperbaiki dan belajar bahasa Inggeris terlebih dahulu," jelasnya.

Sebagai pelakon yang yakin dengan kemampuan diri, Jang Hyuk tidak pernah merasa tercabar dengan kehadiran kumpulan K-Pop dalam industri drama.

Katanya, sesiapa sahaja boleh menjadi pelakon dan cabaran sebenar terletak pada diri sendiri iaitu memberi mutu lakonan yang semakin mantap dari sebuah drama ke sebuah drama.

Jang Hyuk yang tidak putus-putus mendapat tawaran berlakon berkata, jadual kerjanya setakat ini amat padat, kerana selain menjalani penggambaran drama Midas, dua buah drama sedang menantinya.

Kesibukan sebagai pelakon tidak pernah membuat beliau mengabaikan rumah tangga kerana bagi Jang Hyuk, keluarga adalah segala-galanya.

"Walaupun lakonan adalah keutamaan, tetapi keluarga tetap nombor satu. Sebab itulah saya cuba mengimbangi antara kerjaya dan keluarga,"katanya.

Lakonannya dapat dilihat menerusi drama The Slave Hunters, Successful Story of a Bright Girl, Thank You, Tazza, Robber, Dance of the Dragon, Windstruck dan Beastie Boys.

No comments:

Post a Comment