Friday, January 21, 2011

Latih tubi peperiksaan di Masjid Negara

Setiap pelajar mestilah menyiapkan diri dalam segi fizikal dan mental menjelang peperiksaan. - Gambar hiasan

BIARPUN peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih jauh, namun bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan' wajar dijadikan sempadan terutamanya kepada para pelajar serta ibu bapa.

Ditambah pula, peperiksaan-peperiksaan ini lumrahnya dijadikan kayu ukur dalam mencerminkan masa depan akademik para pelajar serta jaminan untuk mereka diterima menyambung pengajian ke peringkat menara gading, sama ada di dalam atau luar negeri.

Menyedari akan hal ini, Masjid Negara dengan kerjasama Akademi Minda Bistari akan menganjurkan program yang dikenali Latihan Latih Tubi Subjek Kritikal atau singkatannya Lasak 2011 bermula 13 Februari ini.

Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara dalam kenyataannya berkata, objektif program itu adalah membimbing pelajar memahami topik-topik sukar, meningkatkan prestasi subjek kritikal, memantapkan keyakinan pelajar dan menggalakkan sesi interaksi serta soal jawab bersama tenaga pengajar

Program ini selain disasarkan kepada para pelajar yang akan menduduki UPSR, PMR dan SPM bagi tahun 2011, juga dibuka untuk pelajar Tingkatan 2, 4 dan Darjah 4 dan 5, jika ada kekosongan kelas.

Selain itu, program berbentuk tuisyen dan kelas ini akan diadakan setiap Ahad bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 6 petang (kecuali Ahad minggu pertama). Kelas-kelas akan dijalankan di Kelas Pendidikan Islam, Masjid Negara.

Yuran bulanan bagi peserta adalah RM150 yang merangkumi kos pembelajaran, nota, fail, makan dan minum.

Bagi calon UPSR, subjek yang disediakan adalah subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Subjek yang sama juga bagi calon PMR.

Sementara itu, bagi calon SPM (Sastera dan Sains) pula - Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan.

Tempat adalah terhad iaitu 100 orang pelajar sahaja bagi setiap modul peperiksaan. Para pelajar akan dibimbing oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada guru pakar yang bertauliah dan berpengalaman sekitar Lembah Klang (disediakan oleh Akademi Minda Bestari)

Mereka yang berminat boleh mengisi borang dan pembayaran boleh dibuat di Pejabat Masjid Negara.

Pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian am Masjid Negara di talian 03-2693 7784 (Ustazah Nor Simah) atau Ariffin (Akademi Minda Bestari) di talian 017-656 5999.

utusan online

No comments:

Post a Comment