Wednesday, January 19, 2011

Perawi kedua Imam 'Asim

OLEH: KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Pada hari ini kebanyakan umat Islam membaca riwayat Hafs sebagai amalan harian. - Gambar hiasan

Kebanyakan umat Islam pada hari ini membaca al-Quran dengan mengamalkan riwayat Hafs daripada Qiraat Imam 'Asim. Riwayat ini menjadi amalan umat Islam kerana senang difahami dan kerana khilaf qiraatnya amat sedikit berbanding dengan riwayat-riwayat lain.

Riwayat Hafs juga telah ditulis dan dicetak dalam bentuk mushaf dan tersebar dengan banyaknya dalam dunia Islam termasuk Malaysia. Selain itu, kebanyakan rakaman 30 juzuk al-Quran juga dibuat mengikut riwayat Hafs.

Bacaan dalam solat di masjid-masjid utama di negara Islam seperti Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabi di Madinah, Jami' al-Azhar di Mesir dan beberapa negara Islam lain menggunakan riwayat ini sebagai bacaan dalam solat mereka.

Inilah beberapa gambaran menunjukan bahawa riwayat Hafs adalah bacaan yang paling tersohor di kalangan umat Islam pada hari ini.

Ringkasnya riwayat Hafs mendapat tempat dalam dunia Islam kerana menjadi amalan bacaan harian, dicetak dalam mushaf, dirakam dalam bentuk cekera padat dan dibaca dalam solat. Bahkan jika dibaca riwayat lain di hadapan mereka, mereka menyatakan ini adalah bacaan tidak sah.

Jika begitulah pengetahuan kita terhadap riwayat Hafs maka amat wajarlah kita membuat sorotan siapakah Imam Hafs? Siapakah guru dan muridnya? Bagaimana peribadi dan sumbangannya?

Sebenarnya hal yang sama juga kita perlu mendalami tentang setiap ilmu yang kita amalkan seperti ilmu fiqh, tauhid, hadis, tafsir dan lain-lain. Ini supaya apa yang kita amalkan itu bukan sekadar taklid tetapi memahami dasar amalan kita.

Nama Imam Hafs ialah Hafs Ibn Sualaiman Ibn al-Mughirah Ibn Abi Daud al-Asadi al-Kufi. Lahir pada tahun 90 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 180 hijrah.

Beliau adalah anak tiri kepada Imam 'Asim.

Di antara majoriti murid Imam 'Asim yang paling alim tentang Qiraat 'Asim ialah Imam Hafs. Keperibadiannya amat dipercayai atau disebut thiqah. Beliau juga mempunyai ingatan yang kuat dan mantap.

Berbeza dengan Qurra yang lain, semasa hayatnya Imam Hafs selalu berulang-alik antara Baghdad, Mekah dan Kufah dengan tujuan mengajar umat Islam dengan Qiraat 'Asim.

Pada kebiasaannya, Qurra mengajar al-Quran di kawasannya sahaja seperti Imam Ibn Amir mengajar di Damsyik dan Imam Ibn Kahthir mengajar di Mekah sahaja.

Antara muridnya ialah Husin Ibn Muhammad al-Maruzi, Hamzah Ibn Qasim al-Ahwal, Sulaiman Ibn Daud al-Zahrani, Hamdan Ibn Abi Uthman al-Daqqaq, Muhammad Ibn al-Fadl al-Zarqan, 'Umru ibn al-Sabbah, 'Ubaid Ibn al-Sabbah dan lain-lain.

Usaha yang dibuat oleh Imam Hafs semasa hayatnya dalam mengembangkan Qiraat 'Asim membuahkan hasil di mana pada hari ini kebanyakan umat Islam membaca riwayatnya sebagai amalan harian.

nKHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.

utasan malaysia online

No comments:

Post a Comment