Thursday, January 27, 2011

LZS selamatkan akidah kami"

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

KISAH ini kisah benar. Ia masih basah di lipatan memori. Tanggal April 2008, ia detik yang bersejarah bagi kami kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Kisahnya, sebuah keluarga Melayu Muslim terdampar di sebuah ceruk kampung di Batu Arang.

Tersisih dan disisihkan masyarakat. Semua ini adalah bahana AIDS yang hinggap di tubuh mereka, menjalari urat nadi dan mengecut-perutkan hati jiran tetangga.

"Kami dah tak ada apa-apa. Keluarga sudah membuang kami. Jiran tetangga menjauhkan diri. Yang mendatangi kami adalah wakil dari gereja. Kami rasa, merekalah yang simpati akan nasib kami," demikianlah luahan rasa bagai memuntahkan gelodak di dada.

Seorang ibu yang usianya masih muda tapi dituakan oleh penderitaan jiwa. Nurma (bukan nama sebenar), si ibu kurus yang berdepan dengan usaha terancang pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk menukarkan akidahnya sekeluarga.

"Mana Tuhan? Kenapa kami dibiarkan seperti ini? Apa salah saya? Apa salah anak-anak kecil ini?" Bening mata ibu kurus menancap pandangan, bagai mahu menembusi hening wajah empat orang anaknya yang comot dan berdaki!

Malang, virus HIV kini menjadi parasit dalam tubuh mereka, semuanya.

Semua ini gara-gara sang ayah berperangai musang. Dadah menjadi santapan, jarum suntikan dikongsi-kongsi menjadi mainan. Berkongsi dengan kawan-kawan yang sudah lama menjadi 'ibu tumpang' virus HIV.

Lalu tanpa disedari, virus tanpa vaksin itu kini menumpangi pula jasad diri dan keluarganya.

Menjadi satu kejutan besar bagi kami di LZS. Menangani kes rumah rosak dipukul ribut atau dinaiki banjir, bergelut dengan anak-anak fakir miskin yang ketandusan belanja untuk menyambung pelajaran ke menara gading atau kesibukan menjelang Ramadan dan Aidilfitri adalah satu kebiasaan.

Tetapi kejadian yang kami hadapi ketika itu adalah amat berbeza. Antara tanggungjawab asasi sebagai amil membantu asnaf, kami juga terpanggil atas komitmen dan tanggungjawab sesama Muslim.

Kami mungkin reda jika umurnya tercabut lantaran dikerumuni virus HIV yang menggila.

Tetapi kami tidak sanggup untuk melihat iman mereka turut tercabut di depan mata. Apakah yang akan kami bentangkan di hadapan Rabbul Jalil di hari pengadilan kelak?

Keperitan hidup terpinggir dan terasing di bumi Batu Arang adalah satu hambatan. Hambatan yang melambatkan perubahan rohani, emosi dan mental mereka. Bukankah Islam sendiri amat sensitif dengan suasana dalam memangkin perubahan. Lantas, mereka kami pindahkan!

Menyebut 'pindah' zahirnya mudah. Namun, persoalan besar ialah, ke mana harus mereka kami pindahkan?

Mereka bukanlah mangsa ombak Tsunami yang rumahnya dihanyut laut dan dipindahkan sahaja ke kawasan baru. Mereka adalah mangsa AIDS dan lebih kronik lagi, mereka mampu merebakkan AIDS.

Apa reaksi masyarakat setempat yang baru kelak? Positif atau sebaliknya? Mampukah mereka menjalani kehidupan normal? Lebih 'memeningkan', adakah ini penyelesaian terbaik?

Akhirnya, kata putus dibuat. Pindah! Lokasinya, kawasan perumahan baharu yang nyaman dan kejiranan yang ringan tangan - bayangkan, saat berpindah, jiran tetangga mereka datang dan bergotong-royong membantu membersihkan rumah dan melengkapkan apa-apa yang patut bagi sebuah keluarga. Paling utama, mereka mudah diakses oleh para pegawai LZS.

Setelah dipindahkan, LZS berusaha mengukuhkan kembali keyakinan mereka kepada Allah dan juga kepercayaan kepada sesama saudara se-Islam.

Kami berusaha mendahului dalam usaha memberi bantuan kepada keluarga tersebut berbanding pihak lain.

Kami membantu sampai ke tahap membelikan pakaian dalam kepada keluarga berkenaan.

"Ustaz…tolong, anak saya demam dah tiga hari masih tak kebah lagi…," suara bergetar di hujung telefon. Jelas, itu suara si ibu kurus yang khuatir hayat anaknya.

Seakan si ibu kucing yang sayu melihat anaknya terkapai-kapai kelemasan setelah terjatuh ke dalam longkang di pasar yang penuh berair lagaknya, sedang dirinya sendiri kian tenggelam dimamah air hanyir. Mahu dibuat apa lagi, melainkan LZS sahajalah tempat mengadu.

Demikianlah, saban waktu tanpa mengira siang atau malang, LZS segala-galanya.

Pegawai kami umpama doktor yang sentiasa bersedia untuk on call. Kepentingan keluarga kadang-kadang tergugat juga, menguji hati dan jati diri seorang amil yang ikhlas di jalan-Nya.

Hari ini, kenangan menguruskan keluarga Nurma adalah satu sejarah unik lagi tersendiri kepada kami.

Ia adalah bukti nyata akan komitmen warga kerja LZS membantu sesiapa sahaja, demi Islam tercinta!

utusan online

No comments:

Post a Comment